Saturday, January 30, 2010

Nidji 'pukau' 500 peminat



Ternyata kunjungan Nidji bagi mempromosikan album ketiga Let’s Play masih lagi berbisa dengan keunikan nuansa muzik pop alternatif mereka. Band muzik dari Jakarta yang dianggotai lima anak muda ini membuktikan mereka mempunyai kuasa luar biasa untuk menarik kira-kira 500 peminat turut serta menari dan menikmati muzik mereka ketika mengadakan ‘Showcase Nidji’ di Dragonfly.

Nidji bermaksud Pelangi dalam bahasa Jepun itu berjaya menghangatkan suasana dance floor dengan persembahan mantap, hebat dan bertenaga menerusi rangkaian lagu hits dan popular mereka dari ketiga-tiga buah album.

Kemunculan Giring Ganesha, vokalis Nidji yang digosipkan bercinta dengan janda beranak satu, Cynthia, disambut dengan teriakan kuat apabila band berkenaan memulakan persembahan dengan lagu Biarlah. Pentas semakin hangat apabila Nidji meneruskan persembahan melalui lagu tema Heroes iaitu Shadows dan semakin ‘gamat’ bila mereka mendendangkan lagu single terbaru, Sang Mantan. Tidak ketinggalan lagu tema filem hits, Laskar Pelangi yang dinanti-nantikan penonton.

Nidji berjaya mengimbangkan persembahan yang konsisten sepanjang konsert dengan menerokai ruang kreativiti yang tiada batasan dalam muzik mereka diiringi dengan pelbagai gerakan unik serta bertenaga ketika melakukan persembahan. Hasil persembahan mereka sama seperti yang didengar di dalam cakera padat tetapi ketika persembahan mereka telah menampilkan improvisasi. Suasana diwarnakan dengan stail personaliti setiap anggota band muzik melalui penampilan funky dengan imej seluar jeans skinny.

Sebelum mengundurkan diri, peminat nyata masih belum berpuas hati dengan persembahan Nidji dan melaungkan "We want more" ke arah pentas. Tidak menghampakan peminat, Nidji dengan bertenaganya mempersembahkan lagu Heaven sebagai penutup. Bagi memeriahkan lagi persembahan pada malam itu, kumpulan Sixth Sense dan Aizat turut mempersembahkan lagu popular mereka. Selain itu, pihak Universal Music, selaku penganjur showcase tersebut turut memperkenalkan tiga artis baru di bawah naungan mereka iaitu Anna Raffali, Shah dan Klangit.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: