Saturday, January 30, 2010

Madu bumi Kenyalang




ORANGNYA sederhana. Tetapi memiliki bakat luar biasa. Dia, Izyan Alirahman. Begitu nama diberi. dilahirkan di Miri, Sarawak dan pada usia 12 tahun, berpindah ke Kuala Lumpur.

Di Kuala Lumpur, hobinya menulis lirik dan mula bermain instrumen kerana mengisi kebosanan selepas pulang sekolah. Dari situ, bakatnya dalam bidang seni bercambah menjadi sebuah ladang yang kini sedang ranum di seluruh dunia.

Mendalami ilmu fesyen dan undang-undang seawal usia belasan tahun, ironi, tiada salah satu bidang ini yang telah membuat Izyan terkenal. Sebalik, muzik telah menjadikan gadis manis ini dikagumi seluruh dunia.

Kini, seantero dunia, daripada Texas, Amerika Syarikat atau Tokyo, Jepun membawa kepada penduduk di Gong Badak, Terengganu mengenali gadis manis ini. Tetapi bukan dengan nama Izyan.

Sebaliknya, Zee Avi. Ya, Zee Avi, si pelantun lagu-lagu hitnya seperti Bitter Heart, Honey Bee dan Kantoi kini harum merentas peta dunia.

Nama Zee Avi mula meledak dalam populasi hiburan apabila debut perdananya yang menggunakan namanya sendiri dipasarkan pada tahun lalu. Ironi, dua tahun sebelum debutnya dipasarkan secara komersial, dia terlebih dahulu telah menyerang komuniti alam maya menerusi lagu pertamanya secara suka-suka.

Waktu itu, September 2007. Dunia maya telah menjadi medium yang memperkenalkan dirinya ke seluruh dunia. Suatu hal yang luar biasa bagi seorang gadis yang tidak bercita-cita menjual dirinya kepada dunia seperti mana banyak individu lain begitu opurtunis dengan teknologi terkini. Dia hanya menunaikan hajat dan menggembirakan hati temannya. Itu sahaja.

Namun sebaliknya telah berlaku. Kata Zee Avi kepada sebuah majalah antarabangsa: "Saya meletakkan video yang saya buat khusus untuk seorang teman kerana dia terlepas menyaksikan gig saya.

"Sebenarnya dia mahu persembahan saya itu disimpan dalam MP3, tetapi saya tidak tahu bagaimana mahu melakukannya. Berbekalkan sebuah laptop dan video, saya rakamkan lagu Poppy buat dia di laman YouTube. Sewaktu saya ingin membuang video tersebut, teman saya meminta saya meninggalkan saja lagu itu you tube."

Mengejutkan kerana selepas beberapa hari, dia menerima respons positif yang cukup luar biasa termasuk respons yang ditinggalkan oleh pemain drum Racounter, Patrick Keeler yang telah membuka pintu buatnya kepada pengurus White Stripes, Ian Montone. Beberapa bulan kemudian, dengan rasminya, Zee Avi menjadi artis naungan Brushfire Records.

Ia sebuah perjalanan di luar dugaan. "Malah saya juga tidak memberitahu ibu bapa dan rakan-rakan tentang hal itu (dilamar Brushfire), sehingga segala urusan selesai. Sedar-sedar

saya telah berada di dalam pesawat dari Kuala Lumpur menuju Amerika untuk merakamkan album dengan syarikat antarabangsa," katanya.


ALBUM debut Zee Avi telah terjual lebih 5 ribu unit di Malaysia.


Maka lahirlah Zee Avi pada pertengahan tahun lalu. Sebaik masuk pasaran, album debut tersebut terus menduduki nombor ke 130 dalam carta US Billboard Hot 200, nombor dua menerusi carta US Billboard Top Heatseekers. Ia kemudian terjual sebanyak 6,000 unit di Amerika hanya dalam masa dua minggu.

Paling mengejutkan, single pertamanya, Bitter Heart meledakkan sejarah tersendiri di Jepun apabila menjadi single pertama selama tiga minggu berturut-turut dalam carta Japan's Top 100 Singles.

Sementara lagu Kantoi yang menggabungkan bahasa Inggeris dan Melayu turut menjadi lagu yang paling digemari di seluruh dunia.

"Sangat menarik apabila khalayak luar menghargai 'seni Manglish'. Kita (orang Malaysia) memang bercakap dalam dwibahasa seperti itu," katanya.

Teruja dengan sambutan luar biasa itu, resipi Zee Avi melahirkan karya-karya segar itu mudah. Berbekalkan uklele yang dianggap gadis ini sebagai instrumen paling sesuai dengannya kerana berjari kecil, dia menghasilkan untaian lagu jazz mirip aliran 1920 tetapi berjaya menawan khalayak masa kini.

"Saya membuat lagu secara semula jadi dan ia terjadi begitu sahaja. Saya tidak nafikan banyak terinspirasi daripada muzik-muzik yang saya suka. Di kalangan teman-teman, hanya saya yang cenderung dengan muzik jazz. Saya rasakan muzik ini dekat dengan saya, manis dan kedengaran jujur," katanya tentang karya-karya yang dihasilkan.




Bagaimanapun kata gadis yang kini menetap di Amerika, dia menolak untuk dilabelkan sebagai penyanyi jazz. Mengakui muzik jazz di Malaysia mempunyai kelas tersendiri kata Zee Avi: "Saya tidak mahu menggelarkan diri saya sebagai penyanyi jazz. Saya hanya melakukan apa yang saya suka."

Kini dalam kesibukan mengisi padatnya jelajah memperdengarkan karya-karya ke serata dunia, dia mula kembali menulis dan menghasilkan lagu untuk album baru. Cuma kata Zee Avi, kali ini dengan perjalanan kehidupan yang sudah berbeza, dimensi karyanya turut berubah.

Berbanding dahulu dia banyak menghasilkan karya di dalam bilik tidur, kini karyanya banyak dihasilkan di jalanan.

Katanya: "Apabila kita selalu berjalan, inspirasi datang daripada pelbagai arah. Jadi saya mula menulis lirik melalui pengalaman baru sekarang di sebalik kepadatan jadual jelajah saya."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: