Saturday, January 30, 2010

Legasi SUV

SUV Cayenne daripada Porsche dan LM002 daripada Lamborghini wajar menjadi SUV yang perlu diingati sehingga hari ini. Kedua-duanya mencatatkan rekod tersendiri bukan sahaja untuk keluarga Porsche dan Lamborghini bahkan keseluruhan industri kenderaan utiliti sports.




APABILA Porsche mengumumkan projek Cayenne, ia menimbulkan kontroversi dalam kalangan pemain industri automotif. Adalah mustahil untuk sebuah syarikat yang dikenali selama ini kerana membina kereta sports ingin beralih kepada produksi sebuah SUV. Porsche dilihat hilang falsafah, hala tuju dan ia menjadi satu kenyataan yang tidak boleh diterima oleh para peminat Porsche.

Namun itulah hakikat yang terpaksa ditelan Porsche dalam dekad 1990-an yang hampir menyebabkan syarikat itu bankrap. Hakikatnya, setiap kali kegawatan ekonomi melanda, industri automotif menjadi rapuh dan terdedah kepada kerugian besar. Apatah lagi jika melibatkan sebuah syarikat yang hanya membuat kereta sports dengan pasaran yang kecil.

Apabila Wendelin Wiedeking dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Porsche, beliau memberi gambaran jelas kepada lembaga pengarahnya bahawa mereka mesti keluar daripada tradisi Boxster dan 911.

Mereka perlu ada rangkaian produk baru agar terus dapat bersaing. Wiedeking yang melihat kejayaan SUV buatan Mercedes dan BMW di Amerika sebagai inspirasi mencadangkan sesuatu yang tidak pernah difikirkan oleh pemilik Porsche selama ini - SUV.

Pada tahun 2001 Cayenne telah diperkenalkan sebagai pilihan SUV mewah dari pembuat kereta sports terkemuka Jerman itu. Seperti yang dijangka, ia mendapat sambutan menggila ketika mula menerjah ke pasaran Amerika pada tahun 2003.

Hasilnya, dalam tempoh setahun sahaja, syarikat yang sebelum ini mencatat kerugian AS$128 juta (RM448 juta) telah mengaut keuntungan sebanyak AS$2.1 bilion (RM7.35 bilion), mewakili 10.1 keuntungan peratus daripada keseluruhan perniagaan Porsche.

Kejayaan LM002

Jadi, apa kaitannya Porsche dengan Lamborghini? Kedua-duanya membuat kereta sports mewah. Namun tidak ramai yang sedar bahawa selain Porsche, Lamborghini juga pernah menghasilkan SUV mereka sendiri pada penghujung tahun 1980-an.

Jumlahnya mungkin tidak sebesar Cayenne, tetapi ia merupakan model yang kekal diingati. Lamborghini LM002.

Pembuat kereta sports Itali itu pernah membuat kejutan pertama dengan menghasilkan SUV konsep pada 1977 yang diberi nama Cheetah. Projek tersebut adalah untuk kegunaan tentera Amerika. Malangnya kenderaan itu jahanam sewaktu diuji. Cheetah dipasang dengan enjin Chrysler.

Selepas itu model gantiannya LM001 dipadankan dengan enjin AMC V8. Namun menyedari kelemahan SUV berenjin belakang, konflik dengan kerangka dan enjin bukan milik mereka, Lamborghini akhirnya bermula semula dengan konfigurasi enjin hadapan. Mereka menggunakan enjin daripada kereta sports Countach V12. Ia dipertontonkan di pameran auto Brussel pada tahun 1986.

Antara tahun 1986 hingga 1993 adalah zaman kelahiran dan kegemilangan LM002. Begitupun, hanya 301 unit yang dibina dan ia kekal sebagai SUV paling hebat dalam abad ke-20.

Tiada model seumpamanya dibina dan kebanyakan teknologi yang digunakan pada era tersebut merupakan revolusi yang mencetuskan evolusi terhadap SUV mewah yang direka pada hari ini.

Selain enjin V12 5.2 liternya yang berkuasa 450 kuasa kuda dan 368 paun kaki tork, ia merupakan SUV yang direka untuk menjadi perentas alam dengan ciri-ciri mewah. Idea itu digunakan kembali oleh British Leyland ke atas Range Rover untuk mengembangkan pasaran Land Rover (yang bersaing dengan Land Cruiser). LM002 juga memberi inspirasi kepada Hummer.


KEPUTUSAN Porsche mengeluarkan Cayenne walaupun mengejutkan ramai orang namun telah membawa keuntungan lebih RM7 bilion kepada syarikat itu.


Enjin penuh kuasa

Apa sebenarnya yang menjadikan kenderaan itu begitu istimewa? Dengan bentangan enjin V12 yang terbukti berkuasa pada model Countach, ia menjadi satu-satunya SUV yang disuapkan dengan enam unit karburator Weber dan dipasangkan bersama tujuh bebola galas enjin utama.

Konfigurasi omboh susunan sebelah menyebelah dipermudahkan dengan pemantauan silinder daripada unit sensor berasingan. Terdapat dua butang amaran memeriksa enjin yang mengesan sekiranya berlaku kerosakan di barisan silinder kiri dan kanan.

SUV itu sangat besar. Hampir dua meter tinggi dari permukaan bumi dan 4.8 meter. Lebarnya 1.9 meter. Tidak ada kenderaan bersaiz itu pada eranya, hatta bagi sebuah lori. Beratnya menjangkau 2.7 tan. Tangki bahan apinya berkapasiti 290 liter. Kalau diisi dengan RON95, anda perlu bersedia membayar RM522 untuk setangki penuh petrol.


RUANG kabin Lamborghini LM002 yang ringkas dan nampak klasik.


Laris di negara Arab

Untuk mencuri pasaran Asia Barat, SUV itu menggunakan khidmat tayar Pirelli Scorpion bersaiz 325/65/17. Malah jika mengikut ukuran hari ini pun, ia adalah yang paling lebar dan besar.

Tayar itu direka khas oleh Pirelli untuk LM002 dengan permukaan leper untuk memudahkannya bergerak di atas padang pasir. Sebelum kehadiran teknologi run flat, tayar itu sudah pun wujud dengan kemampuannya bergerak walaupun ia bocor sepenuhnya.

Idea itu menarik minat ramai hartawan negara Arab. Arab Saudi dilaporkan membeli 50 unit LM002 yang kemudian dilengkapkan dengan mesingan. Presiden Libya, Muammar Qadaffi pula didakwa membeli 100 unit LM002 untuk kegunaan tenteranya. Dalam perlumbaan lasak padang pasir Rally of Pharoah di Mesir pada tahun 1987, LM002 telah digunakan sebagai kereta pendahulu yang bertugas memberi laluan awal kepada peserta.


SAIZ yang besar, tahan lasak dan dilengkapi dengan pelbagai teknologi terkini membuatkan LM002 begitu laris di pasaran Asia Barat.


Selain daripada versi lasak dan padang pasir, LM002 juga dibina untuk pasaran mewah dengan aksesori tayar jalan raya biasa, tempat duduk bersalut kulit, sistem audio di atas konsol bumbung, cermin berlaminasi, bampar dan aksesori krom serta roda aloi berjenama OZ atau MZW.

Ketika dilancarkan, versi itu dijual pada harga AS$130,000 atau RM455,000. Ya. Itu harga pada tahun 1986.

Dalam industri hari ini, kenderaan serupa yang boleh dikaitkan dengan kejayaan LM002 ialah Hummer (H1 - H3). Saya yakin, jika hari ini VW AG mengambil keputusan mengembangkan SUV gergasi itu dalam era moden, ia akan memeriahkan lagi industri dan pastinya sejarah perlu ditulis kembali!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: