Tuesday, December 29, 2009

Pulang tangan kosong


PERCATURAN Malaysia terhadap tiga filem, Papadom, Talentime dan Wayang ke Festival Filem Asia Pasifik ke-53 (FFAP53) yang berlangsung di Kaohsiung, Taiwan dari 17 hingga 20 Disember lalu, nyata gagal membuahkan sebarang hasil apabila pulang dengan tangan kosong.

Pencapaian kita sebelum ini tidak pernah mengecewakan seperti FFAP49 di Fukuoka, Jepun, apabila Maya Karin menang Aktres Terbaik melalui filem Pontianak Harum Sundal Malam 2, FFAP50 di Kuala Lumpur dengan kejayaan Datin Seri Tiara Jacquelina (Puteri Gunung Ledang The Musical) manakala FFAP51 di Taipei, kita masih mampu berbangga dengan anugerah khas juri diberikan kepada filem Bilut.

Malah Hans Isaac menjadi satu-satunya delegasi Malaysia disenaraikan ke peringkat Top 2 untuk kategori utama, tewas hanya dengan perbezaan satu mata kepada aktor Korea, Moon So-ri untuk Aktor Terbaik. Hans dicalonkan menerusi filem Persona Non Grata.

FFAP53 yang dianjurkan Persekutuan Filem Asia Pasifik (FPA), dihadiri 17 anggota FPA termasuk tuan rumah, Taiwan, Malaysia, Myanmar, Thailand, Hong Kong, Vietnam, Kuwait, Indonesia, Macau, Filipina, Rusia, India, Korea, Singapura, Australia, Iran dan Jepun.

Presiden PFM yang juga ketua delegasi Malaysia ke FFAP53, Ahmad Puad Onah berkata, pihaknya tidak terkilan apabila pulang dengan tangan kosong di Taipei kerana menghantar penyertaan sebagai tanda sokongan Malaysia terhadap penganjuran FFAP53 dan bukan mengharapkan kemenangan.

Katanya, tiga filem itu mempunyai kekuatan sendiri dan mencatat kejayaan di Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) di Kuching, Sarawak, Ogos lalu. Papadom arahan Afdlin Shauki menang Filem Terbaik serta Aktor dan Aktres Terbaik, Talentime arahan Yasmin Ahmad menang Pengarah Terbaik manakala Wayang arahan Dr Hatta Azad Khan dipilih kerana tema dipaparkan lebih dekat dengan budaya Malaysia.

"Kita juga sedar saingan hebat yang bakal dihadapi dari filem Hong Kong dan India yang menghasilkan filem setaraf Hollywood tetapi kemampuan tiga filem itu juga tidak boleh diperkecilkan.

"Bagaimanapun, kita memang tidak meletakkan sebarang harapan untuk menang sebaliknya menghantar pencalonan sebagai tanda sokongan Malaysia dengan penganjuran FFAP53.

"Sejak dua tahun kebelakangan ini, pelbagai masalah dihadapi apabila masing-masing tidak menunjukkan komitmen menganjurkan FFAP52. Ia sepatutnya diadakan di Hong Kong pada 2007 tetapi ditunda pada 2008 apabila Jakarta bersedia menjadi tuan rumah.

"Bagaimanapun, ia tidak dapat diadakan tahun lalu kerana masalah kewangan dihadapi Indonesia dan hanya diadakan mesyuarat tahunan membabitkan ahli PFA. Apabila tahun ini Taipei bersetuju menganjurkan FFAP53, kita hantar tiga filem sebagai tanda sokongan. PFM juga tidak tahu filem bagaimana disukai juri kerana Malaysia tidak diundang sebagai juri," katanya.

Kata Puad, dilema dihadapi FFAP ialah tiada komitmen tinggi dari setiap anggota untuk jadi penganjur tetapi perkara itu ada dibincangkan dalam mesyuarat kali ini yang mencadangkan pindaan perlembagaan supaya tidak timbul masalah penganjuran pada masa akan datang seperti penjenamaan semula FFAP serta bantuan tajaan daripada setiap anggota FPA untuk membantu penganjurannya.
"India dan Hong Kong yang aktif menghasilkan filem tidak berminat jadi tuan rumah manakala Australia dan New Zealand pula diwakili individu, bukannya persatuan pengeluar filem menyebabkan wakilnya tidak mampu bersuara. Kuala Lumpur pula tiada masalah tetapi kita baru saja jadi penganjur FFAP50.


"Itulah sebabnya dalam mesyuarat baru-baru ini diputuskan, Taipei yang menjadi ibu pejabat sekretariat FPA, memikul tanggungjawab sebagai tuan rumah untuk tiga tahun berturut (2010 hingga 2012) demi memastikan kelangsungan FFAP pada masa akan datang.

"Bagaimanapun, jika ada negara bersedia menjadi tuan rumah, Taipei bersedia menyerahkan tanggungjawab itu seperti Macau ada meluahkan minatnya menjadi penganjur tahun depan," katanya.

Mengenai keputusan FFAP53 yang mengangkat filem Indonesia, Laskar Pelangi sebagai Filem Terbaik sebaliknya filem Taiwan untuk Pengarah Terbaik manakala kategori lain, Lakon Layar Terbaik, Sionematografi Terbaik serta Aktor dan Aktres Terbaik dimenangi negara berbeza, Puad enggan mengulas lanjut apabila dikatakan juri seolah membahagikan kemenangan kepada negara tertentu.

Biasanya, karya yang dinobatkan Filem Terbaik mempunyai kekuatan dari segala segi seperti arahan, lakon layar, sinematografi ataupun pelakon tetapi Laskar Pelangi hanya menang satu kategori.

Katanya, ketiadaan wakil juri dari Malaysia menyebabkan pihaknya tidak tahu genre filem yang disukai barisan juri dari Taiwan, Korea, Indonesia dan Perancis.

"Sebelum ini kita diundang menjadi juri jadi kita tahu filem bagaimana yang diinginkan penganjur. Jadi, kita hantar tiga filem yang dirasakan mempunyai kekuatan sendiri. Kalau berjaya satu bonus," katanya.

Puad juga mengakui ada pihak mempersoalkan mengapa tidak menghantar filem Kala Malam Bulan Mengambang arahan Mamat Khalid yang menang Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik di FFM21 tetapi PFM ada alasannya kerana mahu menghantar filem baru yang ditayangkan 2008 hingga 2009.

FFAP53 mempertandingkan 15 kategori untuk Filem Cereka, Dokumentari dan Filem Pendek. Taiwan menang besar dengan lima anugerah manakala Indonesia tiga, Hong Kong dan India masing-masing dua anugerah manakala Thailand dan Vietnam satu anugerah.

Dua anugerah khas diberikan kepada penggiat filem rantau Asia Pasifik yang banyak memberi sumbangan iaitu Raam Punjabi (Indonesia) dan John Woo (Hong Kong).

Malaysia juga mengantar 16 delegasi termasuk produser Pansha, Gayatri Su-Lin Pillai, Afdlin, Hans Isaac, Liyana Jasmay, Mohd Syafie Naswip, Mahesh Jugal Kishor dan Mas Muharni.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: