Tuesday, December 29, 2009

Persis mahkamah sebenar

Penganjuran Pertandingan Mahkamah MUT Syariah anjuran USIM itu mendedahkan para pelajar dan khalayak umum tentang pelaksanaan dan amalan undang-undang syariah di negara ini.


PERTANDINGAN Mahkamah Mut Syariah dihakimi oleh hakim-hakim syarie dan peguam-peguam syarie sebenar negara.

KEADAAN di mahkamah pada pagi itu cukup mendebarkan. Peguam plaintif bertindak tegas memohon agar mahkamah meluluskan permohonan plaintif untuk memiliki harta seperti rumah, tanah, Amanah Saham Bumiputera (ASB), kereta dan lain-lain.

Namun, permohonan plaintif tidak semudah yang disangka. Mereka ditentang hebat oleh peguam-peguam defendan yang menyatakan tidak semua harta tersebut layak dituntut plaintif kerana sebahagiannya adalah milik syarikat defendan dan defendan hanya pemegang amanah atau pengurusnya sahaja. Tambahan pula defendan mendakwa yang plaintif ialah seorang isteri yang nusyuz (derhaka).

Masing-masing menegakkan hujah untuk menang dalam kes harta sepencarian. Berpakaian lengkap seperti di mahkamah-mahkamah syariah di Malaysia, ia bukanlah perdebatan sebenar sebaliknya perdebatan dalam Pertandingan Mahkamah Mut Syariah Peringkat Kebangsaan 2009 baru-baru ini. Ia dianjurkan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

Berlangsung di Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM, penganjuran pertandingan seumpama itu mempertingkat martabat undang-undang syariah. Seterusnya, mempersembahkan kepada para pelajar dan umum tentang pelaksanaan undang-undang syariah substantif dan prosedural, sesuai dengan amalan undang-undang syariah di negara ini.


UNIVERSITI Sains Islam Malaysia berjaya dinobatkan sebagai pasukan terbaik dan membawa pulang wang RM5,000.

USIM sebagai Sekretariat Majlis Tatatertib dan Disiplin Universiti-Universiti Malaysia (Matdum) telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan Pertandingan Mahkamah Mut Syariah Peringkat Kebangsaan (PMMS) yang pertama di Malaysia.

Pertandingan itu melibatkan institusi-institusi pengajian tinggi awam dan swasta dari seluruh negara.

Badan bebas

Bagi mengekalkan mutu pertandingan, soalan mut disediakan oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), sebuah badan bebas yang berkelayakan dan berkuasa dalam amalan perundangan syariah di Malaysia.

Langkah itu diambil selaras dengan penyediaan soalan di dalam penganjuran pertandingan mut lain di peringkat Malaysia dan Antarabangsa. Misalnya pertandingan LawAsia International Moot yang soalan mutnya disediakan oleh Majlis Peguam Malaysia.

Begitu juga dengan pertandingan International Humanitarian Law Moot Court Competition yang disediakan oleh International Committee of the Red Cross (ICRC), Geneva Switzerland dan The Phillip C. Jessup International Law Moot Court Competition oleh International Law Students Association, Chicago, Amerika Syarikat (AS).

PMMS telah dihakimi oleh hakim-hakim syarie, peguam-peguam syarie, ahli-ahli akademik dan tokoh-tokoh penting dalam amalan perundangan syariah negara.


USIM sebagai sekretariat Majlis Tatatertib dan Disiplin Universiti-universiti Malaysia (MATDUM) mengambil inisiatif untuk menganjurkan pertandingan mahkamah yang pertama di Malaysia.

Melalui PMMS yang telah berlangsung pada 12 dan 13 Disember lalu, USIM berjaya meraih ketiga-tiga anugerah yang dipertandingkan.

Anugerah Pasukan Terbaik melayakkan USIM menerima RM5,000, piala dan sijil penyertaan. Selain itu, pelajar Tahun Empat, Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang USIM, Ummu Umairah Azahari turut dinobatkan sebagai penghujah terbaik dan menerima RM1,500, piala dan sijil penyertaan.

Kes yang dipertandingkan adalah berkisar kes harta sepencarian. Perdebatan hebat antara 14 pasukan membuatkan Pertandingan Mahkamah MUT Syariah itu begitu berlangsung dalam suasana yang hangat.


KES yang dipertandingkan adalah berkisar kes harta sepencarian.

Sementara itu, bagi Anugerah Hujahan Bertulis Terbaik, USIM membawa pulang RM3,000, piala iringan beserta sijil penyertaan.

PMMS anjuran USIM juga mendapat kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM), Majlis Tatatertib dan Disiplin Universiti-Universiti Malaysia (Matdum) dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

Aktiviti rutin

Sebanyak 14 pasukan dari tujuh Institusi Pengajian Tinggi telah menyertai pertandingan itu. Antaranya ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Darul Iman (UDM) dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

"Inisiatif ini ialah satu usaha yang memartabatkan disiplin pengajian undang-undang syariah di negara ini," kata Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Muhamad Muda, mewakili Menteri Pengajian Tinggi Malaysia pada Majlis Penutup PMMS 2009 baru-baru ini.

Tambahnya, sudah tiba masanya program-program pengajian syariah melaksanakan kaedah Mut sebagai aktiviti rutin seperti yang dilakukan dalam pengajian undang-undang sivil memandangkan pendekatan itu bersesuaian dengan tradisi keilmuan dan kesarjanaan Islam yang berasaskan hujah dan dalil yang mantap.

Sementara itu, seorang penghujah USIM, Siti Hajar Jamil, 21, berpendapat pertandingan itu merupakan satu pendedahan yang bagus untuk pelajar-pelajar jurusan Undang-Undang khususnya syariah menghadapi situasi mahkamah yang sebenar.



"Sepanjang proses perdebatan, hakim-hakim yang mengadili adalah terdiri daripada hakim-hakim sebenar mahkamah syriah.

"Ia memberikan saya keyakinan yang tinggi untuk bergelar peguam syariah pada satu hari nanti," kata pelajar semester lapan, Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang, USIM itu.

Selain berhujah dengan peruntukan undang-undang dan kes-kes syariah, Soti Hajar mengakui pertandingan tersebut juga memerlukan penghujah memperkukuhkan hujah masing-masing dengan dalil-dalil al-Quran dan Sunnah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: