Wednesday, December 30, 2009

Perkahwinan Serina & Gavin cecah jutaan ringgit


Dalam kesibukan pelakon dan pengacara jelita, Serina Redzuawan, 26, dan bapanya, Chef Wan melakukan persiapan akhir untuk majlis perkahwinannya yang hanya tinggal beberapa hari saja lagi, ada pula yang sibuk bercakap tentang kos perkahwinannya itu yang kononnya menelan perbelanjaan hingga jutaan ringgit. Manakan tidak, hari bersejarahnya itu akan melibatkan enam majlis resepsi yang bukan sahaja akan diadakan secara gilang-gemilang, tetapi juga bakal melakar sejarahnya sendiri.

Walaupun memang mengimpikan yang terbaik untuk majlis perkahwinannya itu, Serina bagaimanapun menafikan kos perbelanjaan untuk kesemua majlis itu mencecah hingga jutaan ringgit seperti mana yang didakwa oleh sesetengah pihak.

“Memang, papa mahukan yang terbaik untuk majlis perkahwinan saya, tapi tak adalah kosnya sampai berjuta ringgit. Adalah sikit. Itu pun mengikut kemampuan kami anak-beranak. Lagipun papa buat semua ini untuk mempromosikan negara kita juga yang mana majlis perkahwinan saya akan disiarkan di Asian Food Channel (AFC).

“Pada mulanya saya agak tertekan kerana banyak majlis yang akan berlangsung. Semakin hampir harinya, semakin saya risau, tetapi syukurlah kerana semuanya berjalan dengan lancar. Saya dan papa banyak berbincang dan saya harus berterima kasih pada papa kerana dialah yang banyak bersusah payah menguruskan kesemua majlis itu,” katanya.

Serina dan bakal suami, Gavin Edward O’luanaigh atau nama Islamnya, Salahudin Ghaffar, 33, akan disatukan pada 1 Januari 2010 dalam majlis akad nikah dijadualkan berlasngung di Majlis Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur. Majlis persandingannya pula akan diadakan pada keesokan harinya iaitu pada 2 Januari di The Royale Chulan, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, sebelum diijabkabulkan, pasangan ini akan terlebih dahulu disempurnakan dengan majlis merisik dan bertunang pada 31 Disember Di The Royale Chulan Diadakan secara tertutup, kedua-dua majlis ini hanya dihadiri oleh keluarga dan saudara terdekat kedua mempelai sahaja.

Pada sebelah malam pula, majlis berinai pula akan diadakan di Hotel JW Mariot, Kuala Lumpur. Berkonsepkan ‘Maghribi’, majlis berinai antara Serina dan Gavin ini juga hanya dihadiri oleh keluarga dan saudara mara terdekat sahaja. Sementara itu, majlis berinai secara besar-besaran yang berkonsepkan Jawa Moden Kontemporari pula akan diadakan di NEO, Jalan Sultan Ismail, pada sebelah malam hari pernikahan mereka.

“Sekarang ini semuanya berjalan dengan lancar dan sudah 100 peratus persiapan dibuat. Keluarga Gavin pun sudah ada di sini dan mereka pun tidak sabar untuk merasai sendiri pengalaman untuk kesemua majlis itu nanti. Untuk pengetahuan anda, mereka juga akan memakai baju mengikut adat kita, pihak perempuan akan memakai baju kurung dan lelaki pula akan pakai baju Melayu. Kita lihatlah nanti macam mana ‘mat saleh’ pakai baju kebangsaan kita,” katanya.

Menyentuh busana ketika enam majlis persepsi itu, Serina memberitahu, dia akan memakai baju berwarna putih dan merah jambu hasil rekaan Jovian Mandagie untuk majlis akad nikahnya. Sementara itu, untuk majlis persandingannya, dia akan memakai baju rekaan Radzuan Radziwill yang berwarna ‘lavender’.

Bagi upacara memotong kek pula, Serina akan mengenakan gaun pengantin rekaan Jovian manakala Gavin pula akan mengenakan ‘tuxedo’ bertemakan klasik sedondon tajaan Lord’s Tailor.

Untuk majlis bertunang dan berinai pula Serina akan mengenakan busana dari rekaan Kapas. Selain itu, pelakon Akademi Polis ini juga akan menggayakan barangan kemas tajaan Habibs Jewels untuk kesemua majlis resepsinya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: