Wednesday, December 30, 2009

'Pemuzik kecil' di konsert besar


BLACK (Mentor) tampil selaku vokalis mengiringi persembahan Meet Uncle Hussain bagi menggantikan tempat yang telah dikosongkan oleh Lan.


SUKAR untuk menafikan bahawa Rock The World (RTW) merupakan sebuah konsert atau festival muzik yang menghimpunkan paling banyak kumpulan pemuzik tempatan di mana ia juga yang terbesar pernah dianjurkan di negara ini.

Ahad lalu, RTW edisi penganjurannya kali yang kesembilan (RTW9) telah membuktikan hakikat itu menerusi bilangan pemuzik yang mengambil bahagian dan juga jumlah penonton yang hadir menyaksikan konsert tersebut.

Konsert yang mempersembahkan pelbagai gaya muzik dan persembahan lebih 60 kumpulan pemuzik tanah air di atas tiga pentas selama 12 jam itu berlangsung tanpa henti di perkarangan tempat letak kereta, Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Fat Boys Records Sdn. Bhd. (Fat Boys) selaku penganjur konsert gergasi yang berlangsung sehingga pukul 12 tengah malam itu bukan setakat menampilkan nama-nama kumpulan pemuzik popular tempatan.

Malah, kumpulan-kumpulan yang baru hendak merangkak dalam bidang muzik juga tidak dipinggirkan pada konsert yang disaksikan oleh lebih 10,000 peminat muzik alternatif, rock, metal dan indie itu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Fat Boys, Mohamed Zahid Yon, RTW9 memberi peluang kepada kumpulan yang memenangi pertandingan Hypptunes Rock The World 9 Band Search Tour yang diadakan di enam lokasi seluruh negara bermula 21 November hingga 6 Disember lalu.

"Menerusi pertandingan atau uji bakat itu, kami telah memilih sebuah kumpulan bagi setiap lokasi tempat ia diadakan di mana mereka akan diberi peluang beraksi di konsert RTW9 bersama kumpulan-kumpulan popular yang lain di atas satu pentas.

"Cara ini akan memberi ruang kepada kumpulan-kumpulan yang berbakat dari luar Kuala Lumpur bagi mempamerkan bakat mereka di atas pentas konsert yang besar seperti RTW. Walaupun masih baru tetapi kalau berbakat maka inilah peluang mereka membuktikan kehebatan mereka sebagai kumpulan baru.

"Rasanya belum ada konsert besar di negara ini yang memberi ruang kepada kumpulan-kumpulan baru beraksi sama seperti yang telah kami berikan melalui RTW hampir pada setiap tahun," katanya ketika ditemui Hits sewaktu konsert itu berlangsung.

Menerusi Hypptunes Rock The World 9 Band Search Tour itu sebanyak 10 kumpulan baru yang dicungkil daripada uji bakat itu telah diberi peluang beraksi di atas pentas konsert yang semakin melebarkan jenamanya hampir pada setiap tahun.

Sepuluh kumpulan baru yang diberi peluang beraksi pada RTW9 ialah Khottal, Wynken Delirium, Ceased War, Backtrim, Exorage, Pitbull Inc., Kyoto Protocol, Coca Di Monday, Rock N Roll Jon dan Jeopardice.

RTW9 yang menyediakan tiga pentas bagi menampung persembahan puluhan kumpulan terbabit juga kata Mohamed Zahid, turut memberi ruang kepada setiap pemuzik mempromosi serta menjual barangan mereka kepada para peminat.

"Kami telah menyediakan gerai-gerai yang terdapat di sekeliling pentas-pentas konsert ini bagi menjual barangan mereka. Contohnya, kumpulan Pesawat telah menyewa sebuah gerai bagi menjual barangan seperti album dan kemeja-T mereka," ujarnya.

Di samping bertindak selaku penganjur RTW9, beliau juga tampil selaku vokalis bersama kumpulannya, Disagree telah mengadakan persembahan pada konsert yang kebanyakkannya disaksikan oleh remaja berusia 25 tahun ke bawah.

Pada konsert yang mengenakan tiket berharga RM25 itu, hampir 80 peratus kumpulan yang mengadakan persembahan merupakan muka-muka baru yang sedikit pun tidak berasa kekok ataupun terpinggir semasa berkongsi pentas dengan kumpulan-kumpulan popular.

Vokalis Republic of Brickfields (ROB), Aru merupakan antara 'kumpulan veteran' yang paling banyak beraksi dalam RTW sejak hampir sedekad ia dianjurkan bergandingan bersama-sama kumpulan muzik pelbagai genre yang baru ditubuhkan dalam persada seni tanah air.

"Saya telah diberi peluang beraksi bersama ROB dalam RTW sebanyak lima kali. Sepanjang tempoh itu, saya lihat banyak kumpulan baru yang diberi peluang mengadakan persembahan dalam konsert ini.

"Bagi saya, ini suatu pendekatan yang positif kerana RTW memberi peluang kepada para pemuzik baru membuktikan bakat mereka. Ini kerana, mereka adalah pemuzik pelapis dalam industri muzik tanah air," komennya.

Kemeriahan persembahan ROB paling memuncak apabila Aru menjemput vokalis Search, Amy naik ke pentas bagi menyampaikan lagu Balada Pemuzik Jalanan yang digubah rentaknya dalam gaya muzik reggae.

Azlan dan kumpulannya, The Typewriters pula merupakan antara kumpulan yang baru ditubuhkan dan pertama kali beraksi dalam RTW turut menyifatkan konsert sebesar itu merupakan medan terbaik bagi setiap kumpulan terbabit mencipta nama dalam persada muzik tempatan pada masa depan.

"Dulu semasa saya bersama kumpulan Meet Uncle Hussain, kami pernah diberi peluang mengadakan persembahan di RTW walaupun kami masih baru. Kini saya bersama kumpulan baru saya, Azlan & The Typewriters juga telah diberi peluang yang sama.

"Ini adalah peluang terbaik saya mempopularkan lagi kumpulan baru saya itu. Cuma rasa tidak puas apabila dapat menyanyikan dua buah lagu berjudul Mesin Waktu dan Kelibat dalam konsert ini," katanya sewaktu ditemui selepas persembahannya itu.

Bukan setakat Azlan dan kumpulannya sahaja, malah kumpulan-kumpulan lain yang menjayakan konsert itu juga hanya diberi peluang menyanyikan tidak lebih empat lagu kerana ruang masa yang terhad.

Kumpulan-kumpulan lain yang menjayakan RTW9 antaranya Blind Tribe, Bleeding Mascara, Car Crash Hearts, Joanna & Co., Auburn, Labrat, Forty Winks, Free Love, Stonebay, Sam Kuman, Second Combat, An Honest Mistake, Robot Asmara dan The Otherside Orchestra.

Difahamkan, ekoran sambutan hebat yang diberikan oleh para penonton, pada masa sama satu lagi konsert iaitu Konsert Radio Rosak yang menampilkan kumpulan-kumpulan rock tanah air terpaksa ditunda pada Mac tahun depan bagi mengelakkan 'pertembungan' dengan konsert gergasi tersebut. Senario itu membuktikan RTW semakin kukuh dalam melebarkan lagi jenamanya!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: