Wednesday, December 30, 2009

Pandu bas melulu


MOHD KAMIL (gambar kecil) menutup muka ketika keluar dari Mahkamah Khas Trafik Ipoh, semalam.

Pemandu nahas 10 maut ikat jamin RM20,000, lesen dirampas

IPOH: Pemandu bas Sani Express, Mohd Kamil Mohd Rashid, yang dituduh memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian 10 penumpang di Kilometer 280.3 Lebuh Raya Utara-Selatan di sini, Sabtu lalu, dikenakan ikat jamin RM20,000, manakala lesen memandunya dirampas serta-merta.

Ikat jamin yang diperintahkan oleh Majistret Mohamed Ruhizat Abdullah itu lebih tinggi berbanding RM15,000 yang dimohon Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Izalina Rajaai.

Peguam tertuduh, S Arumugam dan Khairun Niza Husnin, pula memohon mahkamah mengurangkan jaminan itu dengan alasan anak guamnya tidak pernah melakukan kesalahan trafik dan menanggung ibu bapa, isteri serta tiga anak berusia antara enam bulan dan sembilan tahun.

Mohamed Ruhizat bagaimanapun, menetapkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Februari depan sebagai tarikh perbicaraan.

"Ini adalah berdasarkan kepentingan awam dan lain-lain faktor. Lesen memandu tertuduh dirampas serta-merta sehingga kes selesai," katanya.

Mohd Kamil, 37, yang berpakaian seragam Sani Express, kelihatan tenang di dalam kandang tertuduh di Mahkamah Khas Trafik Ipoh dan sebaik pertuduhan dibacakan, dia mengaku faham dan minta dibicarakan.

Tertuduh dari Taman Setia Jaya, Yan, Kedah, yang memandu bas dua tingkat dengan nombor pendaftaran WSX 5010, didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 1.23 pagi, 26 Disember lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, pada jam 11.30 pagi, polis mendapat perintah melanjutkan tempoh reman sehingga Khamis ini.

Bagaimanapun, pada jam 1 tengah hari, pihak media dimaklumkan tertuduh akan didakwa pada 2.30 petang.

Mohd Kamil yang tiba di mahkamah pada 2.10 petang, kemudian dibebaskan kira-kira 5 petang apabila dua wakil syarikat berkenaan membayar wang jaminan itu.

Sebelum itu, sebaik pertuduhan selesai dijalankan, Mohd Kamil dipeluk dan dicium isterinya, Rosnah Saad, 37, dan tiga lagi anaknya.

Keluarga Mohd Kamil termasuk bapanya, Mohd Rashid Kassim, 65, tidak sempat mengikuti prosiding kes kerana tiba lewat.

Mohd Rashid berkata, anaknya tenang, walaupun melalui keadaan paling sukar, iaitu tuduhan menyebabkan kehilangan nyawa.

"Siapa tidak sedih dan siapa mahukan keadaan itu berlaku. Bagaimanapun, sebagai ayah, saya tetap beri sokongan padu kepada anak saya.

"Saya berharap, masyarakat jangan meletakkan semua kesalahan itu kepada anak saya kerana sebagai manusia kita tidak mampu melawan takdir," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: