Tuesday, December 29, 2009

MUALLAF Penuh Emosi

Linangan air mata mengiringi majlis tayangan media buah tangan terakhir Allahyarham Yasmin Ahmad, Muallaf. Tiada kata dapat diungkap, suasana syahdu menyelubungi setiap insan yang hadir tatkala tersedar permata berharga yang mengilhamkan Muallaf telah pergi menghadap Ilahi.

Malah Datuk Farid Ridzuan yang turut hadir kelu tanpa sebarang bicara, hanya mata berkaca memohon hadirin sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah.

Datin Orkid Ahmad mewakili kakaknya, Yasmin Ahmad bangga dan terharu dengan kehadiran media yang banyak membantu sepanjang penglibatan arwah dalam bidang seni.

"Sebenarnya filem ini sudah dilepaskan oleh Lembaga Penapisan semasa Kak Yasmin masih ada lagi dan sepatutnya disiarkan pada Julai 2009, namun disebabkan terpaksa bersaing dengan Harry Potter, kami terpaksa menukar tarikh lain. Atas bantuan Datuk Farid kami berjaya mendapatkan slot pada 24 Disember 2009 namun amat malang Kak Yasmin terlebih dahulu pergi meninggalkan kita semua," ujarnya dalam nada sebak.

Filem kontroversi ini bukanlah diangkat untuk menceritakan kehidupan individu yang memeluk agama Islam, namun ianya menekankan keyakinan yang ikhlas di dalam hati terhadap kewujudan tuhan yang satu, tidak kira kepercayaan yang didasari dalam diri. Muallaf mengikut pemahaman saya setelah menontonnya adalah mengisahkan kejahilan seseorang itu terhadap agamanya.

Dibintangi oleh Brian Yap (Brian), Sharifah Amani (Rohani), Sharifah Aleysha ( Rohana), Datuk Rahim Razali (Datuk), Ning Baizura (Datin), dan Tony Savarimuthu (Bro. Anthony). Ia mengisahkan Brian seorang guru Sejarah di sebuah sekolah di Ipoh Perak yang hilang kepercayaan terhadap agama setelah dimalukan oleh ayahnya (seorang pengikut Katholik). Peristiwa silam terus menghantui dirinya sehingga memaksa Brian untuk berjauh hati dengan ibunya.

Manakala Rohana dan Rohani pula tinggal di sebuah banglo usang setelah kehilangan ibu. Mereka kemudiannya melarikan diri daripada ayah mereka yang hidup bergelumang dosa. Terdapat pelbagai metafora dan sinisan yang terdapat dalam Muallaf yang cuba ditonjolkan oleh Yasmin. Bagaimana seorang Islam yang minum arak takut untuk menyentuh anjing walhal kedua-duanya sama haram disisi Islam.

Dapat dilihat bagaimana pemerhatian Yasmin yang tajam apabila memperlihatkan Rohana sering mengulangi beberapa nombor yang sebenarnya mempunyai makna tersirat yang amat bermakna untuk dijadikan panduan kehidupan manusia.

Pertembungan tiga insan ini telah menyingkap kisah tiga jiwa yang mencari erti sebenar kehidupan. Filem ini banyak mengajar nilai murni dalam kehidupan sementara ini. Bagaimana insan yang kecil seperti kita mampu untuk memaafkan kesalahan insan-insan yang pernah menyakitinya sebelum tidur? Namun Nani menegaskan begitulah Yasmin yang pernah dikenali suatu ketika dulu dan nilai itulah yang cuba diterapkan dalam Muallaf.

Saksikan filem penuh makna dan kehidupan yang bakal ditayangkan kepada khalayak bermula 24 Disember 2009 di pawagam seluruh negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: