Tuesday, December 29, 2009

Menyingkap Sejarah Gedung 'Raja Sutera' Malaysia

Pengurus Eksekutif Kumpulan Euro Moda dan Gulati's Jasleen Kaur sedang mempamerkan salah sebuah kain yang dijual dikedainya.

BERMULA secara kecil-kecilan sebagai perniagaan keluarga dari sebuah rumah di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur, 40 tahun lalu, Kumpulan Euro Moda dan Gulati's (EMG) sekarang merupakan salah sebuah gedung tekstil terkemuka yang menjadi tumpuan masyarakat seluruh negara, khususnya bila tiba musim perayaan mahupun perkahwinan. Berkat ketekunan dan kerja keras, perniagaan EMG kini berkembang sehingga berjaya membuka 14 buah gedung di seluruh tanah air, termasuk tiga buah di Jalan Tunku Abdul Rahman, di ibu negara.

Pandangan jauh setiap ahli keluarga yang terbabit sama dalam bidang ini membolehkan EMG mencapai statusnya sebagai Raja Sutera setelah berjaya memperkenalkan pemakaian sutera secara berleluasa dalam kalangan semua lapisan masyarakat.

Pengurus Eksekutifnya Jasleen Kaur berkata, perniagaan keluarganya dimulakan oleh ibu mertuanya, Kirpal Kaur Gulati secara kecil-kecilan di sebuah bilik kecil di rumah mereka.

“Kedai tekstil pertama Gulati's di buka 25 tahun lalu. Kini di Jalan Tunku Abdul Rahman sahaja terdapat tiga gedung dan 11 buah lagi di seluruh negara,” kata Jasleen ketika menyingkap sejarah perkembangan perniagaan itu.

“Pada mulanya kedai-kedai kami di Jalan Tunku Abdul Rahman Kuala Lumpur hanya dikenali sebagai Gulati's. Kami pula mula menjual kain-kain berjenama dari negara-negara Eropah selepas penubuhan rangkaian Euro Moda,” ujar Jasleen.

Menurutnya, pernigaan EMG mula berkembang dengan pesat ke seluruh negara hanya 12 tahun lalu apabila gedung pertama Euro Moda dibuka dengan memberi penekanan kepada kain-kain yang diimport dari negara-negara Eropah seperti Perancis dan Itali, selain menjual pelbagai jenis kain dari India dan Korea Selatan.

Gedung-gedung baru di bawah jenama ini mula berkembang dan menjadi sebutan banyak pihak sebahagian besarnya kerana menawarkan pelbagai corak dan warna kain sutera yang menarik dan bermutu tinggi setelah suami Jasleen, Pavitar Singh Gulati giat menjelajah Eropah untuk menempah dan membeli kain-kain berjenama tersebut dari Itali dan Perancis selain Korea Selatan pada sekitar 1990-an.

“Kami mahu memenuhi cita rasa dan kehendak pelanggan kami yang inginkan kain sutera berjenama berkualiti tinggi seperti Ungaro dari Itali. Pada masa yang sama kami juga tidak lupakan para pelanggan yang mahukan jenis kain sutera yang harganya sederhana dan jenis yang boleh dicuci (washable silk) dari Korea Selatan.

Jasleen Kaur merupakan ibu kepada empat orang cahaya mata.

“Sejak itu jugalah EMG mula dikenali sebagai ‘Raja Kain Sutera’ kerana menjual pelbagai jenis kain sutera.

“Pelanggan kami datang dari seluruh negara dan kami ingin memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka dengan membuka kedai EMG berhampiran mereka.

“Selain itu, kami juga memenuhi cita rasa pelanggan kami dengan memberikan pelbagai pilihan kain. EMG memiliki kumpulan pereka sendiri untuk mereka corak-corak mengikut cita rasa rakyat tempatan.

“Kami kemudiannya meminta pembekal tekstil kami di Korea Selatan dan India untuk mengeluarkan kain-kain mengikut corak yang kami cipta dalam kuantiti yang besar,” jelas ibu kepada empat orang cahaya mata itu.

Jasleen yang berkelulusan ijazah sarjana dalam bidang sains mula berjinak-jinak dalam perniagaan ini selepas berkahwin dengan suaminya Pavitar Singh Gulati 12 tahun lalu.

“Saya tidak tahu apa-apa mengenai tekstil pada masa itu dan mengikuti kelas-kelas akaun secara sambilan untuk belajar mengenai selok-belok dunia perniagaan.

“Ketika itu saya terpaksa menguruskan bahagian sumber manusia, perhubungan komunikasi, perakaunan dan belajar perniagaan tekstil, semuanya secara serentak. Manakala suami pula sibuk menguruskan hal-hal membeli kain-kain secara pukal dari India, Korea Selatan dan di negara-negara Eropah.

“Bukan mudah bagi kami pada mulanya tetapi lama-kelamaan saya dapat menguasainya dan kini saya merupakan seorang ibu berkerja yang sangat sibuk,” kata Jasleen.

Sementara itu, menurut Jasleen ibu mertuanya, Kirpal Kaur akan meninjau keadaan di kedai-kedai mereka dari masa ke masa dan akan memberi idea dan tunjuk ajar kepadanya untuk memperbaiki mutu perkhidmatan perniagaan keluarga.

Hasil kegigihannya itu beliau telah dipilih untuk memenangi Anugerah Keushawanan Ernst And Young di bawah kategori wanita pada 15 Disember lalu.

“Apa yang membezakan kami dengan pesaing-pesaing kami adalah mereka menjual kain-kain yang direka oleh pengeluar-pengeluuar tekstil.

“Tetapi kami di EMG, melangkah setapak lagi kehadapan kerana kami membuat kajian dan mencipta rekaan-rekaan yang lebih sesuai dengan cita rasa masyarakat tempatan selain menjual kain-kain yang dijual kain sedia ada,” ujar Jasleen.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: