Tuesday, December 29, 2009

10 Kontroversi Dunia Seni 2009

DUNIA seni tanahair 'disajikan' dengan pelbagai kontroversi sepanjang tahun 2009 ini. Benarlah kata orang, artis dan kontroversi memang tidak dapat dipisahkan.

Menyoroti kisah 'panas' yang terjadi sepanjang tahun ini, mStar memilih 10 cerita yang mencetuskan kontroversi tersendiri dan menjadi buruan media.

Ida Nerina, Ibarat Sudah Jatuh Ditimpa Tangga

Tahun 2009 mencatatkan dugaan besar buat aktres berkarisma, Ida Nerina. Pertama, dunia hiburan dikejutkan dengan insiden aktres itu tergelincir tangga di kediamannya sehingga mengalami kecederaan teruk di bahagian tulang belakang, 21 Jun lalu.

Insiden yang berlaku kira-kira pukul 3 pagi itu telah menimbulkan pelbagai spekulasi. Timbul desas-desus mengatakan insiden itu berpunca daripada Ida yang hilang pertimbangan kerana 'mabuk' dan ada juga yang mengatakan aktres itu dipukul sehingga menyebabkan dia terjatuh.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, Ida sekali lagi diduga apabila suaminya didakwa telah melafazkan cerai pada Hari Raya Puasa kedua lalu. Episod penceraian itu dilaporkan berlaku akibat pergaduhan yang tidak berkesudahan menyebabkan Shahrin tidak mampu mengawal amarahnya sehingga melafazkan cerai terhadapnya.

Pada 9 Oktober lalu, Sha'arin telah mengisi borang pengesahan lafaz cerai di mahkamah itu. Terbaru, Ida yang sedang menjalani rawatan tulang belakang di India juga berhadapan dengan perbicaraan kes penceraiannya dengan suami.

Fasha Sandha & Lamaran 4 Lelaki

Kisah 'panas' tentang aktres popular ini lebih rancak menghiasi dada akhbar dan liputan media berbanding karier seninya. Tahun 2009, Fasha sekali lagi menggegarkan industri seni dia membuat pengakuan pernah dilamar empat kali dan juga sudah empat kali menerima cincin.

Empat lelaki - Ally Iskandar, Rizal Ashram dan seorang lelaki misteri adalah empat lelaki yang menjadi bualan hangat dan dikaitkan dengan kisah lamaran aktres penuh kontroversi. Namun, kebenarannya hanya Fasha sahaja yang tahu. Sehingga hari ini, Fasha masih lagi berteka teki mengenai identiti temannya itu.

Macam-macam cerita tentang Fasha Sandha sering diperkatakan, namun aktres berusia 25 tahun ini cukup 'kuat' mengharungi segala cabaran yang singgah. Moga tahun 2010 nanti Fasha akan lebih rancak mengutarakan cerita kerjaya berbanding isu kontroversi yang tidak sudah-sudah menghambatnya.

Hans Isaac vs AC Mizal

Perang dingin antara penerbit dan pelakon, Hans Isaac dengan aktor dan pengacara, AC Mizal yang tercetus semasa pementasan teater muzikal Cuci The Musical (CTM) antara cerita kontroversi yang paling menarik dalam tahun 2009. Ketegangan antara Hans dan AC bermula apabila pemilik produksi Tall Order Productions itu mendakwa AC tidak berdisiplin dan kurang memberikan kerjasama untuk pementasan teater tersebut.

Versi Hans: Hans mendakwa AC tidak komited dengan sesi latihan dan pementasan teater itu.

Versi AC: AC bertegas bahawa Hans telah melanggar perjanjian yang dipersetujui. Hans membatalkan sesi latihan yang sepatutnya berlangsung sekitar Julai, di mana AC telah susun jadualnya seperti yang dirancangkan. Namun, sesi latihan hanya bermula pada bulan Septermber, di mana pada ketika itu jadual kerja AC sudah pun terisi untuk komitmen lain.

Sejak dari itu, hubungan Hans dan AC Mizal dikhabarkan agak tegang. Malah, baru-baru ini AC Mizal juga memberitahu yang dia tidak akan berlakon di bawah produksi Hans lagi. Terbaru, Hans bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung hal itu kerana belum mendapat apa-apa surat rasmi daripada pengacara program AC? itu.

Gambar 'Panas' Azizah Mahzan & Zaefrul Nordin

Isu gambar intim antara dua pelakon Spa Q 2, Azizah Mahzan dan Zaefrul Nordin yang tersebar di internet sekitar Februari lalu turut menjadi perbualan hangat di dalam industri hiburan tahun ini. Gambar tersebut boleh menimbulkan salah faham ke atas sesiapa yang melihatnya kerana tidak wujud langsung batasan di antara kedua-dua pelakon ini. Lebih 'panas', terdapat sekeping gambar yang menunjukkan botol minuman keras antara banyak-banyak gambar yang disebarkan itu.

Jika Zaefrul memberikan alasan terlupa batasan kerana menganggap aktres itu ibarat kakaknya. Azizah pula mengakui dirinya teraniaya namun dalam masa yang sama dia pasrah dengan apa yang terjadi. Azizah Mahzan berasa terkejut apabila puluhan gambar koleksi peribadinya yang lain termasuk gambar intim dengan Zaefrul disebarkan di internet.

Azizah turut mengakui kes gambar 'intim' itu telah mengajarnya supaya lebih berhati-hati di hari mendatang bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang lagi.

Kemelut Akhil Hayy - Waheeda - Maizawati

Kisah penceramah bebas dan penyanyi nasyid, Akhil Hayy dengan dua wanita ini telah menjadi bualan ramai berbulan-bulan lamanya. Hampir dua tahun kisah 'panas' antara Waheeda dan Akhil begitu hebat diperkatakan. Dalam tempoh itu, banyak juga kenyataan yang dikeluarkan oleh Waheeda dan Akhil sendiri berikutan isu mereka dikatakan telah berkahwin dan Waheeda menjadi isteri kedua Akhil.

Puas mereka menafikan dan menegaskan mereka hanya berkawan baik, namun isu tersebut masih belum reda apatah lagi bila kedua-duanya muncul membawakan watak sebagai suami isteri di dalam program Cafe Akhil Hayy musim kedua yang telah ditayangkan di Astro Oasis sekitar pertengahan tahun ini.

'Keakraban' Akhil dan penyanyi yang popular dengan lagu Wassini itu terus diperkatakan apabila mereka dilihat sering bersama termasuklah menonton wayang dan setelah tersebarnya gambar 'mesra' mereka bersama beberapa orang rakan di Port Dickson.

Kemuncak kontroversi ini akhirnya berlaku pada Mei lalu apabila Maizawati Zainal yang ketika itu masih merupakan isteri Akhil tampil membuat pendedahan tentang suaminya itu dan pergolakan rumahtangganya.

Antara yang didedahkan oleh Maizawati, dia pernah menyatakan persetujuan membenarkan Akhil berkahwin lagi dan bersedia hidup bermadu setelah suaminya itu mengaku tentang hubungannya dengan Waheeda.

Namun, dia tidak tahu apa status hubungan suaminya dengan penyanyi itu kini apatah lagi Akhil sendiri pada waktu itu sudah tiga bulan tidak pulang ke rumah dan hanya mengikuti perkembangan kisah suaminya itu menerusi media.

Kata Maizawati lagi, dia terpaksa mengambil keputusan bercerai untuk membina kehidupan baru dan pada 15 Julai lalu, pasangan ini sah bercerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh. Sebulan selepas itu, Akhil menamatkan spekulasi hubungannya dengan Waheeda apabila pasangan itu selamat bernikah pada 16 Ogos di Masjid Ar Rahimah Kuala Kubu Baru.

Kes Langgar Kontrak Dan Isu Peribadi Farawahida & Julfekar

Perang besar antara mereka bermula apabila komposer terkenal, Julfekar mendakwa Farawahida telah melanggar kontrak dengan syarikatnya, Millenium Art Sdn Bhd (MASB) dan penyanyi itu masih mempunyai kontrak pilihan setahun.

Penyanyi lagu Persoalan Cinta itu dikatakan pernah menghantar surat sebanyak dua kali untuk keluar daripada pengurusan MASB pada Februari dan awal Jun lalu, namun permintaannya ditolak memandangkan kuasa menamatkan kontrak pilihan bergantung kepada MASB.

Kemelut yang melanda mereka berterusan apabila Farawahida membuat laporan pada 1 Julai lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya atas dakwaan komposer itu mengugutnya mahu menyebarkan video serta gambar lucahnya.

Sebelum ini, Farawahida telah membuat dua laporan polis di Balai Polis Klang pada 6 November tahun lalu dan Taiping, Perak (9 Februari). Berikutan itu, polis telah memanggil Julfekar untuk merekodkan keterangannya berhubung dakwaan itu.

Pada masa yang sama, Farawahida menafikan kenyataan Julfekar bahawa mereka pernah menjalinkan hubungan cinta.

Julfekar turut memfailkan saman ganti rugi sebanyak RM436,700 terhadap Farawahida pada 27 Ogos lalu di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk menjelaskan kos-kos kerugian berikut yang telah ditanggung oleh pihak syarikatnya dalam menerbitkan album terbarunya Farawahida ‘09.

Nora Danish Tarik Diri Daripada Spa Qistina Gara-Gara Fasha

Kisah 'ketegangan' antara dua selebriti ini bukan lagi cerita baru dalam dunia seni tempatan. Semuanya gara-gara Fasha dikatakan menjadi punca perceraian Nora dengan Rizal Ashram pada tahun lalu.

Namun, Fasha akui sentiasa bersikap profesional dan boleh bekerjasama dengan Nora di dalam mana-mana drama mahupun filem. Persetujuan dua aktres ini untuk membintangi drama bersiri Spa Qistina menjadi perhatian ramai kerana ia adalah gandingan mereka buat pertama kalinya selepas kontroversi itu.

Menurut Nora, dia tidak ada masalah untuk berlakon di dalam drama yang sama dengan Fasha apatah lagi mereka tidak akan dipertemukan di dalam babak yang sama.

Namun, ketika penggambaran masih berjalan, Nora nekad melepaskan watak Maya yang dipegangnya itu kerana terkilan dengan sikap sambil lewa pihak produksi drama tersebut Global Station Sdn Bhd yang membiarkan Fasha hadir ke lokasi penggambaran drama itu sehingga mengganggu konsentrasi lakonannya.

Menurut Nora, dia sudah membuat perjanjian mulut dengan produser, Datin Zaiton Mohd Jiwa agar tidak dipertemukan langsung dengan Fasha. Bagi mengelakkan perkara seperti ini berulang lagi, Nora nekad mengambil keputusan untuk tidak menerima tawaran yang melibatkan dirinya dengan Fasha.

Insiden 'Tampar-Menampar' Haleeda

Sekitar Jun lalu, kecoh tentang insiden 'tampar-menampar' yang membabitkan pelakon Haleeda dan isteri kepada pelakon drama bersiri Kecuali Cintamu iaitu Shah Hassan.

Isteri Shah telah menyerbu lokasi penggambaran drama itu yang dibintangi oleh Shah dan Haleeda di Bukit Jelutong dan 'menyerang' Haleeda yang dikatakan ada hubungan dengan suaminya. Disebabkan itu. Haleeda dan Shah membuat laporan di Balai Polis Bukit Jelutong, Shah Alam sejurus insiden tersebut.

Bekas isteri kepada pemain bola sepak, Azman Adnan ini mendakwa, serangan itu berlaku berikutan hasutan pihak tertentu dan dirancang untuk mengaibkannya. Seorang lelaki berstatus Datuk turut dikaitkan dengan kejadian itu.

Kisah 'Belasah' Remy Ishak & Ummi Nazeera

Awal bulan ini, Remy Ishak atau nama sebenarnya, Mohammad Zalimei Ishak dibelasah oleh sekumpulan lelaki ketika ingin menuju ke bilik persalinannya di dalam Istana Budaya (IB) sebaik pementasan teater Natrah dan sesi beramah-mesra dengan penonton berakhir.

Remy diserang oleh tujuh orang lelaki yang berjaya melarikan diri setelah kejadian tersebut disedari oleh beberapa orang yang berada di kawasan itu.

Akibat serangan tersebut, pelakon berusia 27 tahun itu dibawa ke hospital setelah mengalami kecederaan di kepala dan kakinya. Remy bagaimanapun mengalami kecederaan ringan dan kemudiannya dibawa ke Balai Polis Jalan Tun Razak untuk membuat laporan polis.

Namun begitu, semuanya dikatakan berlaku gara-gara Remy memukul kekasihnya, Ummi Nazeera sebelum itu sehingga menyebabkan muka pelakon baru itu cedera. Remy menafikan ada mengasari Ummi secara sengaja, namun mengaku wujudnya pertengkaran antara mereka pada 4 Disember lalu.

Pembantu rumah Ummi, Susi Sumarni membuat pengakuan di dalam sebuah akhbar baru-baru ini bahawa dia menyaksikan pergaduhan antara Remy dan majikannya, Ummi di bawah kondominium yang terletak di Jalan Ampang itu dan pada masa kejadian, Remy dilihat melibas tangannya dengan laju ke muka Ummi sehingga menyebabkan pelakon itu terjatuh.

Menurut Susi, Remy kemudian datang kepadanya dan memintanya agar tidak melaporkan perkara tersebut dan menyuruh Susi mengambil bedak asas di rumah bagi menutup luka di muka pelakon wanita itu. Pendedahan yang dibuat oleh Susi di hadapan ibu Ummi, Datuk Maziah Musa, itu tidak terhenti di situ saja apabila dia turut mengaku, Ummi sebelum ini juga pernah dicederakan Remy ketika mereka bertengkar.

Remy bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang perkara itu, tetapi tetap mempertahankan dirinya.

Perkahwinan Rahsia Zizie Ezette & Bung Mokhtar

Kontroversi perkahwinan rahsia aktres jelita Zizie Ezette dan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin adalah antara kisah panas yang menjadi 'penutup' tirai 2009.

Mereka dikatakan telah pun bernikah awal Disember lalu, namun masing-masing menafikan tentang perkara itu.

'Sandiwara' mereka berterusan apabila Zizie, Bung Mokhtar dan ibu Zizie, Khaty Fauziah menafikan sekeras-kerasnya tentang perkahwinan tersebut walaupun ada di antara ahli-ahli parlimen yang merupakan rakan kepada Bung Mokhtar sendiri mengaku pasangan telah berkahwin.

Kata Zizie, dia masih dalam proses perkenalan dengan ahli politik itu manakala Bung Mokhtar pula mengeluarkan kenyataan "saya tidak cukup kacak untuk beliau".

Ibu Zizie juga menegaskan bahawa anaknya sedang sibuk di lokasi drama, namun tidak menafikan kedua-duanya sedang mengenali hati budi dan turut merestui hubungan mereka jika sudah ditakdirkan jodoh bersama walaupun Zizie akan dikecam kerana berkahwin dengan suami orang.

Namun, 20 Disember lalu, Bung Mokhtar sendiri mengesahkan bahawa beliau dan Zizie memang sudah berkahwin seperti yang digembar-gemburkan. Tetapi beliau tidak memaklumkan tarikh dan tempat pernikahan itu berlangsung.

Zizie juga secara tidak langsung turut mengesahkan tentang perkahwinannya itu tetapi enggan mengulas lanjut tentang perkara ini.

"Kalau Datuk dah cakap ya (sudah berkahwin), ya lah...," kata Zizie yang dikatakan menjadi isteri kedua.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: