Monday, November 30, 2009

Tersingkir awal bukan penghalang

Walaupun tersingkir awal daripada program realiti terbitan Suhan Movies, Pilih Kasih (PK) yang disiarkan di TV2 awal tahun lalu, ianya bukanlah penghalang kepada Ana Dahlia, 26 untuk terus melangkah dalam industri seni tempatan.

Ana atau nama sebenarnya, Diyana Mastura disingkirkan dalam persaingan untuk merebut gelaran juara sulung Pilih Kasih seawal minggu ketiga. Walau pun agak kecewa disingkirkan awal, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus mendapatkan tempat di persada seni lakonan tempatan.

“Saya akui agak kecewa dahulu apabila tersingkir awal daripada program PK, tetapi saya percaya, setiap orang mempunyai rezeki masing-masing. Alhamdulillah, rezeki saya selepas keluar daripada rancangan itu semakin melimpah ruah,” jelas bekas pramugari Air Asia itu.

Gadis kelahiran Selangor itu turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada penerbit PK, aktor kacak Malaysia, Rosyam Nor kerana membuka peluang kepadanya untuk bergelar anak seni.

“Abang Rosyam banyak membantu saya dan memberi tips kepada saya untuk menjalani hidup sebagai seorang anak seni. Segala pengalaman Abang Rosyam yang dia lalui saya ambil iktibar dan panduan untuk terus bergiat aktif dalam bidang ini,” katanya lagi.

Ketika umat Islam menyambut perayaan Aidilfitri yang lalu, drama lakonan Ana, Salam Terakhir arahan Bade Hj Azmi ditayangkan di TV3. Dan baru-baru ini, telemovie tersebut diulang tayang sempena sambutan Aidiladha. Drama lakonannya di samping aktor terkenal tersebut sedikit sebanyak memperkenalkan diri Ana Dahlia kepada umum apabila wataknya sebagai tunang Rosyam, Zairin menerusi telemovie sedih itu berjaya memikat hati penonton.

Walaupun sedikit kaku, Ana masih lagi mampu untuk membuat penonton di rumah menitiskan air mata meratapi pemergian tunangnya itu yang meninggal akibat penyakit barah.

“Abang Bade sebelum ini pernah menyaksikan lakonan saya ketika menyertai PK. Dari situ, saya mengenali Abang Bade. Setelah tersingkir, Abang Bade memberi peluang kepada saya untuk menonjolkan bakat saya pada peringkat yang lebih tinggi berbanding sebelum ini.

“Saya agak gembira dan gementar kerana ia adalah drama pertama saya selepas menyertai PK. Pelbagai perkara bermain di fikiran tentang respons penonton yang menonton telemovie itu. Apa pun, saya buat yang terbaik untuk diri saya dan tanda terima kasih kepada Abang Bade,” tambahnya lagi.

Walau pun berusia setahun jagung dalam dunia lakonan, potensi Ana sebagai pelakon mendapat perhatian pengarah dan penerbit drama dan filem tempatan. Antara drama yang pernah dibintangi Ana ialah Orang Luar, Kenderaan Ke Syurga, Hadi, Hatilia dan banyak lagi. Terbaru, Ana bakal muncul di layar perak untuk pertama kalinya menerusi filem terbitan MIG, Mantra.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: