Sunday, November 29, 2009

Rahsia artis kita


Mawi dan Ekin.


SEBELUM ini Siti fikir artis kita selalu menghabiskan masa di rumah. Kalau pelakon mereka berkepit dengan skrip filem atau drama. Kalau penyanyi berkepit dengan nota lagu. Inilah kehidupan mereka yang terbayang dalam kepala Siti.

Kalau pelakon yang tak boleh hafal skrip dan tak faham skrip bukanlah pelakon namanya. Mereka hanya penutur dialog, pelakon tidak menuturkan dialog.

Tapi bila kita sudah ada Internet, ada pula blog tentang dunia hiburan terbongkarlah banyak rahsia artis. Rupa-rupanya banyak artis kita yang suka menghabiskan masa di pusat-pusat hiburan. Mereka suka berfoya-foya sambil mabuk-mabuk dan pakai pun ala kadar saja.

Siti banyak juga menjelajah dalam Internet melihat paparan-paparan yang tidak diketahui orang sebelum ini. Artis wanita kelihatan sudah tidak ada moral sedangkan “lakonan” mereka sungguh terpuji.

Patutlah lakonan sebahagian besar pelakon kita sangat buruk. Mereka langsung tidak berlakon, sebaliknya hanya ke hulu ke hilir di depan kamera sambil memuntahkan kata yang berjela-jela. Rupa-rupanya mereka tidak ada masa untuk membuat kajian tentang watak. Mereka jenis ini tak tahu pun apa itu “watak mencabar”.

Maka adalah yang jawab, watak mencabar kerana ada adegan bergaduh, jadi orang tak siuman. Bagi mereka itulah watak mencabar. Sebabnya mereka malas mempertajamkan lakonan kerana asyik ke pusat hiburan kerana fikir mereka, itulah kehidupan artis.

Apabila semua orang ada kamera (kamera telefon bimbit) dan mudah sekali menyiarkan di laman blog, maka terbongkarlah perangai buruk sesetengah artis kita. Tak kira lelaki atau wanita, banyak yang menggunakan lesen artis untuk memburukkan nama artis.

Apabila tersiar gambar bercium, berpelukan macam suami isteri atau di tangan tergenggam gelas arak, mulalah kata ada orang berniat jahat nak rosakkan imej mereka. Kalau niat orang sejahat mana sekalipun, yang kelihatan adalah bukti yang mereka pun tak baik sangat.

Ada artis yang gambar mereka disiarkan di Internet mendakwa, itu ada tertutup. Private. Masyarakat bukan nak tau tertutup atau terbuka tapi mereka nak tau perangai artis kita.

Siti fikir kita kena berterima kasih kepada “wartawan tak bertauliah” yang menyiarkan gambar-gambar eksklusif perangai buruk artis-artis kita. Tanpa mereka, kita tak boleh melihat bagaimana aksi “melampau” artis-artis Melayu di pusat hiburan.

Seperti biasa, artis yang kena akan menjawab, “Ala biasalah, kita orang macam abang dengan adik.” Itulah dungunya jawapan yang selalu diberikan kepada kita.

SITI JARUM: Banyak simpan rahsia artis.

Mawi, Ekin dan apa?

MAWI penyanyi yang dilahirkan menerusi proses “demokrasi” iaitu mengundi. Undi kepada Mawi adalah majoriti dan dia dipilih untuk duduk di kerusi penyanyi popular selepas keluar dari Akademi Fantasia. Mawi dalam erti kata sebenarnya belum teruji sebagai penyanyi.

Siti adalah satu-satunya yang belum meminati Mawi. Siti sedang mencari sudut untuk meminati Mawi tapi belum terjumpa lagi. Tapi berjuta orang meminati Mawi, dan dia tak perlu kisah dengan seorang Siti tak meminati dia.

Daripada sudut seorang artis, Siti melihat Mawi sebagai seorang peniaga yang kekurangan modal. Dia mempunyai modal kecil untuk perniagaan yang besar. Akhirnya Mawi kehabisan modal kerana tidak banyak ranjau duri yang mengajar dia menjadi penyanyi yang hebat.

Kerana itu sejak akhir-akhir ini kita lebih banyak nampak Mawi memperagakan “kemesraan” dengan isterinya Ekin. Siti tidak melihat ini satu yang bijak daripada Mawi. Dia boleh merancang untuk tidak terlampau memperagakan isterinya kepada media.

Mawi mesti memperagakan hasil karyanya. Mana lagu-lagu baru Mawi? Penyanyi mesti ada lagu. Lagu pula mestilah yang baru supaya ini menunjukkan kerjaya dia konsisten. Mawi dapat peluang keemasan apabila orang simpati dia dikeluarkan dari Akademi Fantasia dulu.

Tidak semua orang mendapat peluang itu. Tapi Mawi mesti realistik untuk menjadi penyanyi yang berjaya, tidak boleh bergayut pada simpati sepanjang masa. Mawi mesti tunjukkan bahawa dia bukan penyanyi yang naik kerana simpati.

SITI JARUM: Nasihat Mawi janganlah berlakon lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: