Sunday, November 29, 2009

‘My Spy’ gandingan serasiAC, Harun




Setelah Jin Notti, KRU Studios kini siap sedia untuk mempersembahkan sebuah lagi filem aksi komedi, My Spy yang akan ditayangkan di pawagam bermula 3 Disember ini. Filem arahan Afdlin Shauki yang mengisahkan tentang siri penyiasatan ini menampilkan gandingan istimewa komedian lama dan baru, iaitu AC Mizal dan Harun Salim Bachik yang bertindak sebagai peneraju utama.

Usah ditanya tentang kehebatan mereka dalam filem ini, kerana baik AC mahupun Harun mempunyai cara yang tersendiri untuk mengetengahkan watak masing-masing. Tidak perlu ‘membunuh’ antara satu sama lain, sebaliknya mereka dilihat serasi bersama dan berjaya menghidupkan elemen komedi yang bersahaja dalam My Spy.

Menerusi My Spy, AC membawakan watak AJ, penyiasat yang serba kekurangan baik dari segi kewangan mahupun dirinya yang mengalami masalah rabun warna. Harun pula memegang watak sebagai Salleh, tak ubah seperti James Bond, mampu mencipta pelbagai alatan istimewa termasuklah memiliki kereta canggih yang boleh bercakap.

Mereka yang pada mulanya bermusuhan kerana saling berebut kes akhirnya berbaik demi wang ganjaran RM100,000 yang ditawarkan oleh seorang Datin untuk menyiasat suaminya yang curang. Bagaimanapun, ketika penyiasatan tersebut, mereka secara tidak sengajanya terlibat dengan satu sindiket.

Selain jalan cerita yang menarik, sudah menjadi trademark filem KRU Studios, My Spy juga mendapat sentuhan CGI yang pastinya akan membuatkan filem ini bertambah hebat.

Filem yang menelan perbelanjaan sebanyak RM2 juta ini turut menampilkan pelakon Hannah Tan, Carmen Soo, Dahne Iking, Ridzuan Hashim dan Maria Farida.



AC kagum dengan Harun

Akui serasi digandingkan bersama Harun, AC memberitahu, pengalaman berlakon di samping pelawak veteran itu sangat menyeronokkan. Malah menyifatkan Harun sebagai komedian yang sangat berbakat.

“Kali pertama kami bekerjasama adalah menerusi filem Baik Punya Cilok tetapi dalam filem tu ada ramai pelakon utama. Tapi dalam My Spy kami berdua saja. Bayangkan sepanjang penggambaran saya boleh ketawa bila dengar dia bercakap kerana apa yang dia kata itu sangat melucukan. Biasanya saya yang buat orang ketawa, tapi dengan Harun ni, saya pula yang tak tahan ketawa,” kata AC yang cukup kagum dengan Harun.

AC berkata, dia tertarik untuk membintangi My Spy kerana merasakan wataknya yang unik dan berbeza dari lakonannya yang sebelum ini. Jelasnya, sudah lama dia mengidamkan watak AJ yang mempunyai persamaan seperti Jackie Chan dan tidak teragak-agak untuk menerimanya sebaik sahaja ditawarkan watak tersebut.

Bercerita mengenai pengalamannya pula, kata AC, penggambaran di Pulau Langkawi adalah yang paling sukar untuk dilaksanakan kerana mereka berdepan dengan pelbagai masalah terutamanya cuaca yang tidak menentu.

“Filem ini banyak melakukan penggambaran di laut dan ketika menaiki jet ski adalah yang paling sukar kerana saya harus membawa Harun sekali. Cuacanya pula tak menentu, panas dan ada kalanya hujan yang menyukarkan kita untuk meneruskan penggambaran.

“Tetapi scene bersama stunt dari Thailand paling menyeronokkan dan tak dapat saya lupakan kerana energy mereka sangat berbeza. Malah ini juga kali pertama saya bekerjasama dengan mereka,” kata AC yang pernah membintangi beberapa filem sebelum ini, antaranya Gerak Khas The Movie, Cuci dan Buli.



Harun terharu kali pertama jadi hero

Walaupun sudah berpuluh tahun berkecimpung dalam bidang lakonan, namun inilah kali pertama Harun diangkat sebagai hero di layar perak. Terharu dan gembira dengan peluang yang diberikan Afdlin dan KRU Studios itu, menggunakan peluang yang ada dengan memberikan lakonan yang sebaik mungkin.

“Saya anggap ini satu penghargaan dan tak pernah menyesal walaupun lambat menerima tawaran seperti ini. Kepercayaan Afdlin dan KRU Studios membuatkan saya ingin memberikan yang terbaik dan saya berharap penonton dapat menerima filem ini. Saya percaya anda tidak akan menyesal menonton My Spy kerana inilah filem paling komedi yang pernah saya lakonkan,” katanya.

Menjelaskan mengenai kolaborasinya bersama AC, Harun berkata, tidak sukar untuk bekerjasama dengan AC kerana masing-masing saling menyokong antara satu sama lain. Malah keserasian dan kesefahaman yang ada di antara mereka juga membuatkan mereka lebih enjoy menjayakan filem tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: