Monday, November 30, 2009

Ceritanya sama saja!



NAZRUDIN, Linda dan Fazilah Hani lega sistem giliran membolehkan mereka bercuti secara saksama pada musim perayaan.

AIDILFITRI baru saja diraikan dua bulan yang lalu dan Jumaat lalu umat Islam menyambut satu lagi hari kebesarannya iaitu Aidiladha. Lazimnya perayaan menjadi hari untuk sesebuah keluarga berkumpul serta bertemu sanak saudara jauh dan dekat. Namun apabila terikat dalam dunia kewartawanan, bersiap sedia dipanggil bertugas bukanlah sesuatu yang mengejutkan sekali gus membenam hasrat untuk bergembira di samping keluarga.

Disebabkan itu, tiga personaliti Saluran Ceria Anda ini tidak lekas berlapang dada sebaliknya akur jika dipanggil bertugas. Bagaimanapun ia bergantung juga kepada nasib. Pembaca berita Edisi 7 yang turut bergelar penerbit program, Linda Mohd Salim yang memulakan kerjaya di ntv7 sejak pertengahan Disember 2004, belum pernah mempunyai pengalaman bekerja di hari raya.

Aidilfitri lalu juga dia tidak dipanggil bertugas, begitu juga pada Aidiladha kerana dia sudah pun bertugas malam sebelumnya. Personaliti kelahiran Pulau Mutiara tetapi dibesarkan di kota metropolitan Kuala Lumpur ini berkata mujur keluarga terutama anak tunggalnya yang berusia tiga tahun memahami jadual kerja ibunya yang berbeza dengan orang lain.

"Istilah berat hati meninggalkan keluarga tidak hanya timbul pada hari raya saja tetapi juga apabila perlu 'outstation'.


"Oleh kerana jadual kerja yang tidak menentu, saya akan pastikan segala keperluan keluarga dijaga sebelum keluar bertugas untuk jangka masa yang panjang. Manakala apabila ada kelapangan saya akan menghabiskan sepenuhnya masa bersama keluarga serta melakukan perkara yang saya gemari," katanya yang minat membaca, malah hobinya itu turut menjadi ikutan puterinya.

Memulakan kerjaya dalam bidang penyiaran sebagai wartawan penyiaran rogram di TV3 seperti Malaysia Hari Ini, Wanita Hari Ini dan Remaja, Linda kemudian terbabit dalam program Lanskap pada 2003 malah turut mengacarakan program berkenaan sebelum berhijrah ke ntv7.

FAZILAH Hani (kiri) dan Linda selesa bertugas di ntv7.

Hampir lima tahun berpayung di bawah stesen urban itu, wanita ini ternyata masih belum puas dengan kerjayanya. Malah dia menyimpan hasrat menerbitkan dokumentari yang mempunyai elemen peristiwa bersejarah pada skala lebih besar. Justeru, buat masa ini dia tidak terfikir untuk meninjau peluang pekerjaan lain meskipun memiliki ijazah dalam bidang Psikologi Kanak-kanak dan Perkembangan Keluarga.

Sementara itu bagi pengacara The Breakfast Show, Nazrudin Habibur Rahman pula, disebabkan dia terpaksa bertugas pada sebelah pagi hari raya lalu mengendalikan program bual bicara itu, jadi dia hanya dapat berkunjung ke rumah orang tuanya pada sebelah petang.

Bukan saja dia, malah isterinya Sheahnee Iman Lee yang turut berkhidmat di bawah stesen yang sama turut berkerja. Memandangkan isterinya saudara baru, Naz tidak berdepan dilema beraya di rumah siapa terlebih dulu.

Katanya, dia mempunyai pengalaman lucu ketika pertama kali berhari raya dengan isterinya. Disebabkan Iman tidak mengenali budaya Melayu sebelum ini, isterinya terkejut apabila melihat sesi bermaaf-maafan di hari raya.

"Ketika kami bersalam-salaman, isteri saya bimbang jika dia perlu memberi ucapan sebelum bersalam bersama ibu bapa saya. Saya pun terangkan padanya, ia bukan ucapan tetapi kita memohon maaf kepada orang tua di atas segala silap dan salah," kata Naz yang mula dikenali dengan program Kelab Disney Malaysia pada 2001.

Mempunyai pengalaman mengendalikan pelbagai program seperti MyStarz LG, Celebrity Karaoke, My Australian Adventure dan banyak lagi, Naz yang berkahwin dengan Sheahnee pada pertengahan 2008, kini berdebar menantikan kehadiran cahaya mata sulung.

Bagaimanapun, Naz tidak mahu terlalu teruja kerana tidak mahu insiden sedih berulang kembali. Sheahnee yang kini mengandung enam bulan pernah mengalami keguguran awal tahun ini ketika kandungannya berusia tiga bulan. Apa yang lebih menyedihkan, kandungannya yang dulu adalah kembar. Namun Naz tetap bersyukur kerana dia masih dikurniakan zuriat.

Personaliti yang masih solo Fazilah Hani Harun yang memulakan kerjaya sebagai wartawan penyiaran di ntv7 pada 2007, sebelum beralih membaca berita awal tahun ini sudah biasa bertugas pada hari raya.

Memandangkan dia sudah bertugas pada Aidilfitri, pada Aidiladha ini Hani berpeluang bercuti. Justeru dapatlah bekas graduan Universiti Tenaga Nasioanl (Uniten) ini menunaikan solat sunat bersama keluarga, sebelum pulang ke kampung bagi menyempurnakan ibadah korban.

"Saya tak kisah bertugas bila-bila masa saja kerana memang itu lumrah kerja dalam bidang ini. Dengan adanya sistem giliran, semua orang mendapat cuti secara saksama, ia langsung tidak dipengaruhi status sama ada sudah berkahwin atau solo," kata pembaca berita pertama yang bertudung di ntv7 itu.

Bertudung setelah menyertai ntv7, sekembali daripada mengerjakan umrah, Hani tidak menolak pada mulanya bimbang majikan tidak dapat menerima penampilannya itu. Namun dia bersyukur kerana niat murninya itu tidak mendapat tentangan.

Biarpun bidang yang dipelajari tersasar daripada kerjaya yang disandang, bekas graduan dalam bidang kewangan itu tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri. Bahkan dia semakin selesa dengan kerjaya sekarang apatah lagi berpeluang menemuramah tokoh ternama dan berpeluang melihat negara orang.

"Banyak pengalaman istimewa yang saya kutip hampir dua tahun dalam bidang ini. Selepas ini saya ingin bergelar penerbit dan mahu menerbitkan program jelajah kerana saya minat mengembara," katanya.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: