Saturday, October 31, 2009

Jacques Chirac dituduh amal rasuah



Jacques Chirac


PARIS – Reputasi Jacques Chirac tercemar selepas seorang hakim memerintahkan bekas presiden Perancis itu dibicara berhubung beberapa dakwaan salah guna kuasa dan rasuah yang berlaku sepanjang beliau memegang jawatan Datuk Ban dar Paris.

Satu kenyataan dari pejabat Chirac semalam menyatakan bahawa beliau dan sembilan yang lain didakwa berhubung peranan mereka memberikan 21 kontrak untuk projek yang tidak wujud.

Ia turut memberitahu bahawa Chirac tenang dalam menghadapi semua pertuduhan tersebut.

Walaupun perintah hakim telah dikeluarkan, Chirac, 76, yang merupakan Datuk Bandar Paris dari 1977 hingga 1995 sebelum beliau dipilih sebagai presiden, belum pasti dihadapkan ke mahkamah.

Ia berikutan pendakwa raya kanan Paris, Jean-Claude Marin sebelum ini menyatakan, tiada kes salah laku melibatkan bekas presiden itu.

Marin dijangka mengemukakan rayuan berhubung keputusan hakim berkenaan, Xaviere Simeoni, yang diberi kuasa untuk membawa semua suspek tersebut ke muka pengadilan.

Sekiranya beliau berbuat demikian, keputusan muktamad sama ada Chirac akan dihadapkan ke mahkamah atau sebaliknya, hanya akan diketahui dalam tempoh satu atau dua tahun.

Dakwaan yang disiasat Simeoni berkait rapat dengan 35 kontrak yang diberikan oleh Dewan Bandar Raya Paris kepada beberapa rakan dan sekutu politik Chirac.

Chirac memperoleh imuniti sepanjang 12 tahun menjadi presiden sehingga 2007 kini berhadapan hukuman penjara maksimum 13 tahun atau denda sehingga AS$742,000 (RM2.5 juta).

Sepanjang sejarah moden Perancis, belum pernah bekas presiden didakwa kerana rasuah dan perbicaraan Chirac merupakan satu penghinaan terbuka kepada pemimpin yang disanjung dunia politik tempatan selama empat dekad.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: