Friday, October 30, 2009

Akhil-Waheeda tunai janji


PASANGAN kontroversi yang sudah bergelar suami isteri, penyanyi Waheeda bersama penceramah bebas, Akhil Hayy yang diijab kabul di Masjid Jamek Ar-Rahimah, Kuala Kubu Bharu pada 16 Ogos lalu mengotakan janji mereka untuk mengadakan majlis persandingan yang akan diadakan esok.

Menerusi jemputan majlis berkenaan yang hanya difakskan kepada pihak media baru-baru ini, majlis sebelah pihak pengantin perempuan ini berlangsung di Dewan Guthrie, Bukit Jelutong, Shah Alam Selangor bermula jam 12 tengah hari.

Menurut wakil pasangan itu, Pengurus Media, PRO Event Management & Consultancy, Noorlizawati Mohd Akil ketika dihubungi, acara berlangsung hingga jam 5 petang manakala pengantin dijangka sampai ke lokasi majlis jam 2.30 petang.

Katanya, ketika ini persiapan seperti pelamin dan meja makan sibuk dilakukan. Sebelum acara kemuncak esok diadakan, persiapan akhir bersama pengantin dilakukan hari ini untuk memastikan segala susun atur mengikut perancangan.

"Mengenai jemputan, ia terhad kerana tempat tidak terlalu besar. Anggaran lebih 1,000 tetamu dijangka hadir pada majlis ini.

"Bagi memeriahkan majlis, tiga kumpulan nasyid iaitu Wildan, Far East dan In Team akan tampil membuat persembahan. Untuk pihak media, sidang media diadakan selepas sesi fotografi pengantin bersama anggota keluarga selesai.

"Sebenarnya, persiapan menerusi perbincangan antara kedua-dua pihak keluarga pengantin bermula lebih sebulan lalu. Ketika awal perbincangan lalu , pengantin turut hadir untuk beri pandangan.

"Bagi syarikat PRO Event Management & Consultancy, kami bertanggungjawab membuat atur cara majlis dan menguruskan jemputan media. Apa yang dimaklumkan pihak keluarga pengantin, majlis persandingan akan diadakan ringkas diikuti makan beradab dan acara memotong pulut kuning.

"Buat masa ini, semua persiapan berjalan lancar dan untuk jemputan kepada peminat, ia diuruskan keluarga pengantin sendiri dan pada majlis ini nanti, sesi fotografi bersama peminat juga diadakan ," katanya.

Mengenai konsep dan pemilihan pakaian pengantin yang akan digunakan esok, Noorlizawati sekadar menyatakan pengantin ingin membawa konsep pakaian Arab. Untuk persandingan kedua di pihak lelaki pula, ia masih dalam perbincangan tetapi tarikh ditetapkan pada 7 November nanti bertempat Gopeng, Perak.Seramai 200 anggota kedua keluarga pengantin dijangka hadir pada majlis persandingan Waheeda bersama Akhil esok. Wartawan Harian Metro cuba menghubungi pasangan ini tetapi gagal dan dimaklumkan Noorlizawati pasangan itu sibuk dengan persiapan majlis persandingan mereka.

Noorlizawati juga memaklumkan jemputan kepada media hanya dibuat menerusi faks kerana kad jemputan terhad.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: