Wednesday, September 30, 2009

Sumpah Bunian kisah percintaan dua alam

Lagenda Puteri Bunian sememangnya sinonim kehidupan masyarakat Melayu malah ia menjadi kisah dongeng dari generasi ke generasi. Dipercayai kehidupan makhluk halus ini menyamai kehidupan manusia di alam nyata, bezanya makhluk bunian tidak dapat dilihat mata kasar.

Sumpah Bunian menerusi Slot Lagenda di TV3 mengisahkan percintaan di antara gadis bunian yang bernama Hawa dengan manusia biasa, Adam. Garapan jalan cerita drama ini adalah imaginasi penulis skripnya iaitu Sharifah Abu Salem yang mendapat ilham menerusi pelbagai kisah dan lagenda, juga daripada cerita rakyat dan cerita lisan golongan tua. Idea penulis disampaikan secara versi moden dengan menyelitkan dimensi dunia bunian, sesuatu yang tidak dapat digambarkan oleh alam nyata, tetapi suatu percubaan yang dipersembahkan sebaik mungkin oleh sutradara.

Sumpah Bunian akan menemui penonton TV3 bermula hari ini setiap hari Isnin hingga Khamis jam 4.30 petang dan siaran ulangan di TV9 pada jam 8.35 malam. Antara barisan pelakon yang mewarnai drama 19 episod ini ialah Nora Danish (Hawa), Rizal Jaafar (Adam), Qazem Nor (Fikri), Elly Mazlein (Azeera), Mahmud Ali Bashah (Hashim), Fetty Zul (Normah), Dian P Ramlee (Kasmah), Bienda (Jasmin), Mubarak Majid (Malik) dan Aznah Hamid (Mariam). Manakala pengarah yang menjadi tulang belakang siri ini ialah di mana Zainuddin Mohd Ismail bertindak selaku penerbit.

Episod pengenalan drama arahan Adam Hamid ini membawa penonton melihat kehidupan Hawa ketika kecil, iaitu Hawa sering memerhatikan Adam yang bermain dengan rakan-rakannya. Hawa tertarik peribadi Adam yang baik dan mulia, berbeza sikap sepupu Adam, Fikri yang mempunyai sikap bertentangan. Kekerapan Hawa ke tempat Adam membangkitkan kemarahan ibu bapanya. Bagaimanapun, Hawa tidak lagi dapat melihat Adam yang mengikut keluarganya berpindah ke kota.

Hawa merindui Adam dan berasa sunyi selepas pemergiannya. Tujuh belas tahun berlalu, Adam kini sudah dewasa dan membantu syarikat bapanya, Tuan Hashim. Namun minat Adam masih kepada alam semula jadi, flora dan fauna. Adam kembali ke hutan, tempat dia bermain sewaktu kecil untuk melihat haiwan jinak yang sering menemani zaman kanak-kanaknya. Terlihatkan kunjungan Adam, Hawa sekali lagi terpikat dengan Adam yang sudah 17 tahun dirinduinya itu.

Sama-sama kita saksikan kesudahan drama terbitan Enuja Sdn Bhd ini!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: