Wednesday, September 30, 2009

Raja Farah takut jadi jahat


RAJA FARAH


MENONTON wajah si cantik manis ini di kaca televisyen pasti mengundang rasa meluat di kalangan ramai penggemar drama melayu.

Masakan tidaknya, Raja Farah sering diberi watak antagonis. Lebih mencabar lagi, watak jahat yang sangat dibenci.

Lihat saja drama bersiri slot Samarinda di TV3, Intan Asmara, yang rancak disiarkan tidak lama dahulu, Farah yang membawa watak sebagai Anita ternyata sungguh dibenci ramai.

Karakter yang ditanganinya itu mendorong ramai penonton menulis di dalam blog mereka menyatakan kesediaan menolong Intan Asmara menyepak terajang Anita.

Tidak cukup dengan itu, dramanya yang lain kebanyakannya tetap dengan watak yang sama seperti dalam Manjalara di TV3, Mertua vs Menantu di Astro Ria.

Bahkan menerusi terbarunya yang baru sahaja habis penggambaran di Jakarta, Kau Dan Aku, Raja Intan masih diberi tanggungjawab yang sama.

Walaupun watak sebegitu seakan punca rezekinya, Farah tetap risau kerana tidak mahu kehilangan peminat terutamanya dari golongan kanak-kanak kerana dia takut dianggap berperwatakan jahat walau diluar set.

"Memanglah orang kata bagus jika kita berjaya membawa watak jahat sampai orang betul-betul benci, tapi takut selalu sangat diberikan watak antagonis dan mengundang salah-faham orang ramai.

"Mungkin kerana watak jahat yang saya bawa seakan benar-benar hidup menyebabkan saya sering ditawarkan dengan watak yang stereotaip," Raja Farah meluahkan suara hatinya.

Kebimbangan paling ketara Raja Farah ialah, peminat kecil akan menganggap beliau seorang jahat dan gedik sedangkan hakikatnya, dia seorang remaja ceria.

Pada masa yang sama, Raja Farah mengakui, dia puas membawa watak jahat kerana ia lebih mencabar dan susah berbanding watak baik.

"Saya teringin membawa watak antagonis yang psiko tetapi nampak bijak, bukan watak yang selalu saya dapat, jahat dan gedik. Tapi mungkin belum rezeki saya," ujar gadis berusia 21 tahun ini ketika ditemui satu sidang media memperkenalkan Kejohanan Kek Coklat di Hotel Istana, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, bagi watak baik pula, dia menginginkan watak gadis yang dilamun cinta seakan-akan cerita drama Korea yang bisa membuat penonton jatuh hati dengannya.

Farah juga teringin watak yang boleh membuatkan penonton turut sama berair-mata melihat wataknya.

Untuk drama lakonan terbarunya, Kau Dan Aku, Farah membawa watak seorang gadis yang bersaing dengan Mila dalam merebut cinta seorang lelaki, Aril.

Menceritakan pengalamannya ketika di Jakarta selama 45 hari, dia sempat merasa bencana alam gempa bumi di sana malah Farah turut pernah dimasukkan ke hospital selama dua minggu kerana menghidap demam denggi.

"Ketika gempa bumi itu, kami berada di dalam studio. Tiba-tiba saya berasa pening dan kemudian orang ramai mula menjerit menyuruh kami menyelamatkan diri kerana gempa bumi.

"Takut memanglah takut tetapi saya berasa agak teruja kerana pengalaman sebegitu bukan semua orang dapat," tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: