Wednesday, September 30, 2009

Penjara sudah ada tukang sebat




KAJANG - Jabatan Penjara Malaysia kini sudah mempunyai pegawai terlatih dan bersedia untuk menjalankan hukuman sebat pada bila-bila masa terhadap bekas model pelancongan Kartika Sari Dewi Shukarnor (gambar) kerana kesalahan meminum arak.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, hukuman itu akan dilaksanakan selepas Jabatan Penjara memperoleh perintah daripada Mahkamah Syariah.

"Bagi Jabatan Penjara, apa sahaja hukuman yang dijatuhkan kepada pesalah oleh mahkamah kita akan laksanakan, cuma tarikh dan waktu hukuman itu dilaksanakan akan ditentukan oleh mahkamah,'' katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri perbarisan tamat latihan Kursus Sijil Menengah Pengurusan Penjara di sini semalam.

Kartika, 32, dari Sungai Siput, Perak didenda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lepas setelah mengaku salah meminum arak di sebuah hotel di Cherating pada 11.40 malam 11 Julai tahun lepas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: