Wednesday, September 30, 2009

Libas cedok idea Shaolin Soccer?


PENGERUSI Finas, Datuk Wong Kam Hoong (berdiri, empat dari kiri) serta Jurey Latif Rosley (berdiri, kanan) bersama barisan pelakon Libas.


MELIHAT kepada triller filem lakonan pelakon handalan, Rosyam Nor iaitu Libas pasti ramai yang menyamakan jalan ceritanya mirip kisah komedi sukan popular dari Hong Kong, Shaolin Soccer.

Namun, jangan lekas membuat telahan. Ini kerana kedua-dua kisah tersebut mempunyai keistimewaan dan kelainan yang tersendiri.

Biarpun dari segi jalan cerita, memaparkan seorang jaguh sukan mencari pelapis serta menyelitkan watak seorang gadis sebagai salah seorang ahli mereka jelas memperlihatkan persamaan. Namun, pengarahnya, Jurey Latif Rosley mempunyai pandangan berbeza.

Menurut sutradara itu, idea penerbitan filem sulung terbitan MDAG Marketing Sdn. Bhd., itu tercetus sejak tahun 2002 lagi.

"Kalau dilihat daripada keseluruhan filem, tiada persamaan dengan filem Shaolin Soccer. Kalau ada sekalipun mungkin daripada segi idea dan konsep," Jurey menjelaskan pandangan skeptikal sesetengah pihak.

Semasa idea menghasilkan Libas diperoleh dan ketika skripnya diolah, Jurey awal-awal lagi sudah membayangkan Rosyam sebagai pendukung watak utama.

Katanya, sayang sekali, ketika itu idea berkenaan gagal direalisasikan kerana dia belum mempunyai peruntukan untuk memulakan pengambaran.

"Jika ada yang cuba membandingkan filem ini dengan Shaolin Soccer, saya telah bersedia. Saya anggap ini sesuatu perkara yang mesti ada pro dan kontranya dalam menghasilkan sesebuah filem.

"Apa yang penting, saya ingin buat filem yang orang ramai seronok untuk tengok," kata Jurey yang memulakan pengambaran selama 35 hari bermula 6 Jun hingga 14 Julai lalu.

Libas dijangka menemui peminatnya sekitar September tahun depan.

Tempoh tujuh tahun bukanlah singkat. Tertangguhnya filem yang mengangkat kisah sukan sepak takraw yang sedikit waktu dahulu begitu gah di kalangan peminat sukan negara ini ternyata menguji kesungguhan pengarah tersebut.

Dengan kos melebihi RM1.9 juta, filem Libas direalisasikan sebaik mungkin. Malah, kata Jurey, sebanyak 80 peratus daripada keseluruhan jalan cerita dibantu oleh teknik janaan komputer, CGI.

Menyingkap kisah penangguhan filem tersebut, Jurey berkata, pada tahun 2002, dia pernah menerima bantuan kewangan sebanyak RM450,000 daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), menerusi Skim Kemudahan Produksi (SKP).

Namun, Jurey membuat keputusan memulangkan semula wang itu kerana modal yang diperlukan untuk filem ini mestilah sekurang-kurangnya RM1 juta.

Justeru, sepanjang tujuh tahun, Jurey berusaha mencari pihak yang sudi bekerjasama merealisasikan filem ini.

"Bagaimanapun, komen yang mereka berikan agak 'memedihkan' kerana mereka beranggapan filem yang fokus kepada sukan tidak boleh mendatangkan pulangan," luahnya penuh kesal.

Enggan patah semangat, Jurey selagi boleh percaya bahawa karyanya itu mampu diangkat dan dipersembahkan dalam bentuk filem.

"Usaha saya selama enam tahun akhirnya membuahkan hasil apabila dipertemukan dengan syarikat MDAG melalui seorang kenalan dan mereka bersedia bekerjasama secara perkongsian menghasilkan filem ini," jelas Jurey lagi.

Belum puas hati

Hampir dua bulan menamatkan pengambaran, Libas kini menjalani proses suntingan. Menyambung perbualan mengenai hasil yang diperoleh sehingga kini, akui Jurey, sehingga kini beliau belum berasa puas.

Kekurangan yang dapat dirasakan Jurey ialah, kekangan dari segi dana penerbitan.

Menurutnya, jika ada peruntukan yang lebih, sudah tentu pelbagai pertambahan boleh disediakan khususnya dari aspek melengkapi props untuk mencapai situasi yang diharapkan.

Bagi Jurey, walaupun ada idea untuk menghasilkan lebih baik tetapi faktor kos mendorong beliau lebih berhati-hati.

"Satu yang saya tidak dapat laksanakan ialah props orang ramai. Ketika pengambaran kami menggunakan lebih 100 pelakon tambahan dan pengambaran setiap hari mencecah sehingga pukul 3 pagi.

"Lama-kelamaan, ramai yang pulang dan mencari sisi yang cantik dengan jumlah pelakon yang sedikit merupakan cabaran buat saya.

"Menyediakan props dan elemen tambahan memang memberi cabaran baik saya sebagai pengarah dan juga kepada syarikat penerbitan. Saya bukan minta bulan dan bintang tetapi dalam mencantikkan lagi sesebuah filem, elemen itu perlu ada," katanya memberikan pandangan.

Libas memaparkan kesungguhan seorang pemuda, Adnan Saladin (lakonan Rosyam) yang juga seorang pemain handalan skuad sepak takraw negara.

Melewati hari-hari kejatuhannya, Adnan menjejaki barisan pemain pelapis bagi memastikan sukan sepak takraw tidak terkubur begitu sahaja.

Namun, yang menjadi halangannya, mampukah Adnan yang juga dikenali sebagai Raja Libas menunaikan tuntutan jurulatih negara, mencari barisan pelapis dalam tempoh waktu yang singkat?.

Selain Rosyam, barisan pelakon yang turut membintangi filem tersebut ialah Scha, Johan Raja Lawak dan Corrie Adam Lee.

Pendekatan berbeza

Sementara itu, bagi aktor ternama itu pula, minatnya membintangi filem tersebut ialah semata-mata kerana kupasan berbeza dari segi lakonan dan teknik yang digunakan dalam Libas.

Apatah lagi, daripada puluhan malah lebih ratusan drama yang pernah dilakonkannya sebelum ini menawarkan sesuatu yang berbeza dan tidak harus dilepaskan.

"Filem ini nampak hebat apabila dibantu oleh teknik CGI. Malah, banyak bermain dengan teknik gantungan.

"Di negara luar (Hollywood) banyak yang menggunakan teknik CGI, cuma di negara ini ia masih baru. Orang Malaysia kebanyakannya ingin melihat sesuatu yang baru diketengahkan di pawagam. Aspek ini saya lihat sangat membantu.

"Saya sebenarnya telah ditawarkan oleh Jurey untuk berlakon dalam filem ini sejak tujuh tahun lalu. Sebaik membaca skripnya, saya terus tertarik," kata pelakon filem KL Menjerit itu.

Sepanjang bergelar pelakon, akui Rosyam, inilah kali pertama dia mengalami kecederaan.

"Saya tidak menyesal jadi begini walaupun terpaksa menjalani pembedahan untuk tempoh waktu tiga jam dengan kos RM39,000.

"Sebelum pembedahan, saya pergi berubat dengan lapan tukang urut termasuk seorang tukang urut Cina. Selepas hampir empat minggu cedera barulah saya saya ke hospital.

"Kata doktor, jika saya lambat melakukan pembedahan tangan saya akan jadi lemah dan lama-kelamaan tangan saya mungkin akan lumpuh.

"Saya diberi cuti selama enam minggu oleh doktor tetapi ada berbaki tiga hari lagi pengambaran sebab itu saya teruskan juga walaupun berasa sakit," cerita Rosyam yang memerlukan masa tiga bulan untuk pulih sepenuhnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: