Tuesday, September 29, 2009

Jee tak sabar rakam single baru

SUDAH tiga tahun penyanyi yang pernah popular dengan lagu Teratai Layu Di Tasik Madu ini tidak tampil dengan album baru.

Malah, dalam tempoh itu, setiap kali ditanya tentang karier nyanyiannya, Fauziah Latiff yang mesra disapa Jee ini hanya berkata ingin 'berehat' seketika daripada bidang tersebut dan memberikan tumpuan terhadap perkara lain.

Namun, penyanyi berusia 37 tahun ini bijak merencanakan karier seninya. Tatkala mengambil keputusan untuk bergerak 'perlahan' di dalam bidang nyanyian, Jee cuba membabitkan diri di dalam bidang lakonan pula

Jee akan tampil dengan single baru ciptaan Ross Arifin

Telefilem Kudrat Iman dan drama bersiri Gelora Di Hati Sara menyaksikan kemampuan ibu kepada dua orang anak ini bergelar pelakon. Dan ternyata, percaturannya itu membuahkan hasil apabila lakonan Jee turut mendapat respon baik.

Jee juga diberikan tanggungjawab besar memegang watak Tun Rahah di dalam teater muzikal Tun Abdul Razak yang dipentaskan di Istana Budaya pada 16 hingga 20 Ogos lalu.

Meskipun semakin selesa dengan bidang lakonan, Jee akui, minatnya terhadap bidang nyanyian masih menebal. Malah, dia sendiri amat rindu untuk kembali 'aktif' dan mempunyai album baru.

Impian tersebut akhirnya tercapai jua apabila penyanyi jelita ini bakal muncul dengan sebuah single baru berkemungkinan awal tahun depan. Dalam nada ceria, Jee akui, tidak sabar untuk kembali ke studio setelah lama tidak berbuat demikian.

"Memang sangat gembira, tetapi pada masa yang sama, saya agak gementar juga. Lama betul saya tidak masuk studio rakamkan lagu.

"Kalau ikutkan, memang sudah lama saya rancang untuk buat single baru, apatah lagi peminat-peminat sering bertanya bila saya akan tampil dengan album baru. Tapi ketika itu, saya tidak mahu terburu-buru.

"Sekarang, saya rasa masanya sudah tiba. Kebetulan pula saya sudah jumpa lagu yang sesuai dan saya rasa 'kena' dengan jiwa saya.

"Saya tidak mahu mengatakan ini adalah 'comeback' saya dalam bidang nyanyian kerana saya sentiasa ada...malah banyak juga undangan menjayakan persembahan sering saya terima. Cuma tidak ada album baru saja," kata Jee.

Menurutnya, lagu tersebut merupakan ciptaan Ross Arifin. Kata Jee lagi, lagu yang berkonsepkan pop komersial itu juga agak istimewa kerana dia berbeza dengan lagu-lagu yang pernah dibawanya sebelum ini.

"Setakat ini, lagunya hampir siap. Cuma liriknya belum ada lagi. Tapi saya tertarik dengan melodi lagu ini yang ada menyelitkan elemen muzik Korea dan Sepanyol.

"Memang ini sesuatu yang baru bagi saya dan harap-harap, peminat juga akan suka. Tetapi saya percaya dengan kredibiliti Ross. Saya pernah bekerja dengan dia sebelum ini dan saya akui, dia adalah antara komposer hebat yang saya pernah bekerjasama.

"Insya-allah, saya ingin lihat dulu bagaimana respon terhadap single saya ini sebelum terus hasilkan album penuh kelak," kata Jee.

Ditanya tentang bidang lakonan pula, ujar Jee, dia akan memulakan penggambaran bagi musim kedua Gelora Di Hati Sara pada bulan depan bersama barisan pelakon drama itu seperti Rosyam Nor dan Datuk Rahim Razali.

"Sejujurnya, saya memang tidak sangka drama ini mendapat sambutan memberangsangkan daripada penonton. Bila dapat tahu drama ini akan diteruskan, saya memang sangat gembira kerana dapat berpeluang lagi bekerja dengan nama-nama besar.

"Apa yang pasti, bila bermulanya penggambaran nanti, saya akan kembali sibuk di lokasi sehinggalah Januari tahun depan," tutur Jee tentang drama bersiri 26 episod terbitan Suhan Movies itu.

Mengimbas kembali drama yang pernah menemui penonton di RTM1 itu, secara ringkasnya, ia berkisarkan tentang Sara (Jee) dan Asrul (Rosyam) yang berkahwin secara rahsia ketika sama-sama belajar di luar negara.

Pelbagai cabaran perlu diharungi pasangan ini ketika mereka pulang ke Malaysia dan terpaksa merahsiakan perkahwinan mereka daripada pengetahuan keluarga masing-masing.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: