Tuesday, September 29, 2009

Bekas tentera dapat kemudahan rumah

IPOH – Sebagai menghargai jasa bekas anggota tentera menjaga keselamatan negara, kerajaan negeri akan menganugerahkan rumah kepada mereka yang layak bagi memberi keselesaan tempat tinggal.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air, Datuk Ramly Zahari berkata, menerusi Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) minggu lalu, beliau diberi tanggungjawab untuk mengenal pasti 15 lot tanah di setiap daerah untuk membina rumah bekas anggota tentera ini.

Katanya, pemberian itu adalah sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap jasa dan pengorbanan anggota tentera selama mereka berkhidmat.

Katanya, sehingga setakat ini kerajaan negeri bersama beberapa agensi telah mengenal pasti beberapa lot tanah yang bersesuaian bagi tujuan itu.

“Pada mesyuarat Exco lalu, saya telah dilantik mengetuai usaha mengenal pasti lot tanah ini. Berdasarkan perancangan, setiap daerah akan dipastikan memiliki 15 lot tanah tersebut khusus bagi tujuan pembinaan rumah.

“Bagaimanapun, lot tanah ini hanya khusus kepada bekas anggota tentera yang layak, selain belum mempunyai tanah selama ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan persidangan perwakilan tahunan Persatuan Bekas Tentera Malaysia Perak ke-22 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden PBTM, Datuk Muhammad Abdul Ghani.

Menurut Ramly, anggota tentera juga bebas untuk memilih mana-mana skim yang ditawarkan kerajaan ketika membina rumah bagi memberi lebih keselesaan kepada mereka sekeluarga.

“Kerajaan negeri akan sentiasa berusaha bagi menjaga kebajikan bekas anggota tentera di negeri ini untuk dibela,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: