Monday, August 31, 2009

Tomok: Muzik kita pun perlu Merdeka!

SETIAP kali kita meraikan Hari Kemerdekaan, pasti ramai yang meraikannya dengan cara yang berlainan.

Ada yang mengibarkan Jalur Gemilang, ada yang hadir ke Dataran Merdeka untuk melihat sambutan merdeka dengan lebih dekat dan tidak kurang juga yang hanya menonton program merdeka di televisyen bersama keluarga di rumah.

Begitu juga dengan artis dan selebriti tempatan yang berbilang kaum iaitu Tomok, Stacy, Belinda Chee dan Indi Nadarajah yang sempat berkongsi tentang pengalaman mereka menyambut Hari Kemerdekaan sempena sambutan merdeka yang ke-52 pada tahun ini.

Penyanyi Tomok

Tomok menyanyikan lagu Allahyarham Sudirman Haji Arshad iaitu "Tanggal 31" pada Hari Kemerdekaan.

"Erti kemerdekaan bagi Tomok ialah kita perlu bebas bukan sahaja daripada penjajahan fikiran, unsur budaya yang kurang sihat.

"Dari segi muzik, kita perlu mencapai tahap yang lebih tinggi dari sekarang.. agar kita boleh bersaing di persada antarabangsa.

"Kita tidak boleh berbangga dengan apa yang kita ada. Kita perlu majukan diri kita.

"Tahun lalu, Tomok akan terlibat dengan pertunjukan pada Hari Kebangsaan. Tomok sentiasa menantikan lagu Allahyarham Sudirman Haji Arshad iaitu "Tanggal 31".

"Untuk tahun ini, Tomok menghabiskan masa bersama keluarga di rumah kerana menghormati bulan Ramadan," katanya yang merupakan juara One In A Million (OIAM) musim ketiga.

Penyanyi Stacy

Stacy berharap rakyat negara ini menghayati perpaduan yang dikecapi kini.

"Kemerdekaan negara menandakan kita telah bebas daripada ancaman peperangan dan anasir-anasir subversif. Jadi tarikh ini cukup signifikan kepada rakyat jelata negara ini.

"Walaupun negara kita telah aman damai, kita perlu menghayati erti kemerdekaan negara sebaik-baiknya.

"Kita perlu menambahkan darjah perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama.

"Untuk merayakan kemerdekaan negara, Stacy akan tampal pelekat Jalur Gemilang di kereta.

“Tahun-tahun lepas, Stacy dan kawan-kawan akan pergi melihat pertunjukan bunga api. Saat itu, Stacy terharu melihat nikmat kemerdekaan yang dikecapi pada hari ini,” katanya yang merupakan juara Akademi Fantasia yang keenam (AF6).

Hos ‘Quickie’ 8tv, Belinda Chee

Belinda biasa meraikan Hari Kemerdekaan ini di studio.

“Setiap tahun biasanya saya akan menyambut Hari Kemerdekaan di rumah tetapi sejak saya bergelar hos rancangan ‘Quickie’ dua tahun lalu, saya selalu meraikannya di studio 8tv untuk mengendalikan program merdeka secara langsung bersama hos Quickie yang lain.

“Pada 2007, buat pertama kalinya saya juga merasai sambutan malam merdeka di Dataran Merdeka. Saya tertarik dengan persembahan bunga api serta lampu-lampu yang cantik di bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Saya berasa begitu bersemangat sekali untuk meraikan Hari Kebangsaan,” katanya yang buat mengacarakan ‘countdown’ merdeka secara langsung di studio 8tv bersama Henry, Sam, Zher dan Hunny Madu.

Pelakon Indi Nadarajah

Indi berlakon dalam filem Setem.

"Hari kemerdekaan adalah hari simbolik negara kita telah berjaya dari segenap segi seperti ekonomi dan rakyat berbilang kaum dan agama dapat hidup bersatu-padu di negara ini.

"Hari ini juga menandakan negara kita boleh dijadikan contoh oleh negara-negara lain.

"Pada hari kemerdekaan, saya akan mengibarkan Jalur Gemilang untuk menzahirkan patriotisme saya,” ujarnya yang pernah berlakon filem ‘Setem’.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: