Monday, August 31, 2009

Parti berkuasa 54 tahun kalah


HATOYAMA



ASO


TOKYO - Parti pemerintah Jepun, Liberal Demokrat semalam mengaku kalah kepada pembangkang, Parti Demokrat dalam pilihan raya parlimen.

Kekalahan itu merupakan satu sejarah kerana parti Liberal Demokrat kalah selepas 54 tahun berkuasa.

Menurut satu tinjauan yang dilakukan oleh semua stesen televisyen utama, Parti Demokrat dijangka memenangi 300 atau lebih 480 kerusi di Dewan Parlimen.

"Keputusan itu cukup teruk," kata Perdana Menteri, Taro Aso pada satu sidang akhbar di ibu pejabat parti Liberal Demokrat sekali gus mengaku kekalahan kepada pembangkang.

"Terdapat perasaan tidak berpuas hati yang mendalam dengan parti kami," katanya.

Aso berkata, beliau akan memikul tanggungjawab berikutan kekalahan itu.

Menurutnya, beliau akan meletakkan jawatan sebagai presiden parti Liberal Demokrat.

Beberapa pemimpin anggota parti itu akan turut meletakkan jawatan walaupun keputusan rasmi dijangka dikeluarkan pada pagi ini.

Kekalahan parti Liberal Demokrat akan membuka jalan kepada pemimpin parti Demokrat yang diketuai Yukio Hatoyama untuk menggantikan Aso.

Kekalahan parti Liberal Demokrat itu berpunca daripada kebimbangan berhubung isu ekonomi seperti peningkatan hutang negara dan masalah penduduk tua yang semakin ramai.

Parti Demokrat semasa berkempen berjanji untuk membina semula ekonomi dan menetapkan gaji minimum pada kadar yang lebih tinggi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: