Sunday, August 30, 2009

Keangkuhan taruhan NABtunes


NABtuneS (dari kiri) Ceca, Adoy, NunNo, Wikers dan Beeizz.


BERBICARA mengenai kumpulan NABtuneS, pasti tidak ramai yang mengenali siapakah gerangan mereka ini. Siapakah mereka dan apa produk yang mereka hasilkan sebenarnya?

Pasti ramai yang akan menggelengkan kepala tanda tidak mengetahui siapakah sebenarnya mereka ini. NABtuneS merupakan sebuah kumpulan yang sedang meningkat naik di Indonesia ketika ini.

Sudah menjadi kebiasaan kepada setiap artis negara seberang, pasti mahu melebarkan sayap ke Malaysia. Maka hal yang sama turut berlaku kepada NABtuneS yang semakin teruja untuk melebarkan sayap bagi menjadikan kumpulan mereka lebih berpengaruh di serata dunia.

Jika dibentangkan kembali sejarah awal kumpulan ini, mereka merupakan gabungan tiga anak muda Bali dan dua lagi daripada Jakarta, Indonesia yang sama-sama mencintai bidang muzik.

"Inilah keistimewaan kita sebagai sebuah kumpulan. Biarpun baru tiga tahun NABtuneS ditubuhkan, tetapi sudah banyak pengalaman yang kami sudah tempuh,

"Kami sudah menjelajah hampir ke seluruh Indonesia. Bergerak dari satu pusat membeli belah ke satu lagi tempat, masuk kampung keluar kampung, semuanya sudah kami rasai," kata Adoy selaku vokalis kumpulan ini.

Selain Adoy, NABtuneS turut dianggotai oleh NunNo (gitar), Bee-iz (bass), Wiwi (gitar) dan Cecha selaku pemain drum.

Walaupun masih belum mengecapi populariti seperti kumpulan-kumpulan yang lain, mereka sebaliknya berbangga apabila single pertama yang berjudul Keangkuhan sudahpun dimainkan di beberapa buah stesen radio tempatan kebelakangan ini.

"Inilah saat yang kami nantikan sebenarnya. Kami sangat terharu dan berbangga apabila lagu yang kami bawakan itu mudah diterima oleh peminat di Malaysia.

"Ini menunjukkan bahawa muzik itu tidak mempunyai sempadan dan boleh diterima di mana-mana sahaja selagi apa yang dimainkan itu mempunyai kekuatan dan kelebihan untuk terus diterima ramai," kata Adoy sewaktu ditemui baru-baru ini.

Persaingan

Bukan mudah menyelusuri perjalanan sebagai anak seni. Banyak ranjau dan rintangan yang terpaksa dihadapai oleh mereka untuk bergelar anak seni.

Di sebalik semua kepayahan itu, NABtuneS yakin bahawa pengalaman tersebut bakal mematangkan mereka untuk terus kekal menjadi legenda pada masa akan datang seperti kumpulan Slank dan Dewa yang menjadi pujaan hati.

Adoy berkata, saban tahun hampir 20 buah kumpulan- kumpulan muzik akan muncul di Indonesia. Sudah pasti ia memberikan satu persaingan yang cukup kuat bagi mereka.

Jika mengikut perancangan, NABtuneS akan mengeluarkan album sulung mereka selewat-lewatnya selepas hari raya ini memandangkan semua lagu sudahpun siap direkodkan.

Akui Adoy lagi, dia dapat merasai sendiri jurang perbezaan muzik antara Malaysia dan Indonesia terutama dari segi komposisi dan melodi lagu yang mendominasi.

"Saya amat kagum dengan pemuzik Malaysia yang semakin berani membuat eksperimen dengan terhasil lagu-lagu yang lebih segar dan baru.

"Malah jika di Indonesia sendiri muziknya kini agak terkebelakang memandangkan mereka menggunakan melodi seperti yang dimainkan oleh penyanyi dari Malaysia pada tahun 1980-an dan 1990-an.

"Biar apa pun yang terjadi saya tetap yakin muzik yang baik itu akan diterima oleh sesiapa sahaja tanpa mengira sempadan politik," kata Adoy.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: