Sunday, August 30, 2009

Hikmah Ramadan


HANYA air mata yang mampu mengiringi kedukaan sewaktu disahkan keguguran tahun lalu. Baginya yang pertama kali mengandung, kejadian itu bagaikan tamparan hebat lebih-lebih lagi harapan menimang anak kembar yang dikandungnya tidak kesampaian.

Bagaimanapun, bagi pembaca berita 7 Edition di ntv7, Sheahnee Iman Lee, semua itu adalah ketentuan qada dan qadar. Meskipun kecewa, Sheahnee pasrah dan reda kerana yakin Allah lebih menyayangi bayi yang dikandungnya.

“Pertama kali mengandung, sudah pasti saya dan suami begitu teruja untuk menimang cahaya mata lebih-lebih lagi apabila disahkan mengandung bayi kembar.

“Mungkin Allah lebih menyayangi mereka. Mungkin semuanya salah saya kerana terlalu yakin terhadap kandungan berkenaan sehingga mengabaikan kesihatan dan sibuk bekerja seperti biasa,” katanya.

Walaupun kejadian itu mencalit peristiwa hitam dalam kamus hidupnya, Sheahnee tetap kuat mengharungi hari-hari mendatang.

Kini, rezekinya sekali lagi dimurahkan Tuhan apabila disahkan mengandung tiga bulan. Meskipun gembira dengan perkhabaran itu, pengalaman lalu masih menghantuinya. Bagaimanapun, sedikit sebanyak ia mengajarnya pelbagai perkara.

“Demi kandungan kali ini, saya akan lebih berhati-hati. Malah, suami juga tidak benarkan saya terlalu taksub dengan kerja dan sering berpesan menjaga kandungan ini.

“Kini, saya tidak lagi aktif bekerja seperti dulu. Walaupun perlu bekerja, saya menghadkannya sehari seminggu saja. Saya tidak boleh terlampau aktif kerana pengalaman lalu membuatkan saya serik. Insya-Allah, jika tiada aral bayi ini akan dilahirkan tahun depan.

“Harap-harap, bulan mulia ini akan menguat semangat untuk saya menempuhi hari-hari mendatang,” katanya.

Menyentuh soal kerjaya, Sheahnee bakal bergelar penerbit untuk sebuah program baru di ntv7. Katanya, program bual bicara yang dirakamkan dalam Bahasa Inggeris itu akan menemui penonton akhir tahun ini.

“Program ini akan memfokuskan dan berkisar mengenai wanita. Tambah menarik, ia bakal memaparkan gaya hidup wanita masa kini dan mengupas pelbagai topik menarik.

“Selain itu, ia juga menjadi program pertama yang memaparkan kisah wanita secara sepenuhnya di Malaysia. Harap-harap, apa yang bakal saya lakukan ini akan diterima penonton nanti,” katanya.


Selaku saudara baru, setiap datangnya Ramadan dan Aidilfitri memberi makna besar buat wanita ini. Meskipun keluarganya tidak menyambut bulan mulia ini, namun Sheahnee tetap bersyukur apabila berada di samping suami.

“Setiap kali tiba Ramadan, saya menyambutnya bersama suami dan keluarganya. Begitu juga hari raya, saya pulang ke kampung sebelah suami.

“Sekalipun keluarga saya tidak beragama Islam, mereka pasti meraikan hari raya ini dengan berkunjung ke rumah keluarga suami. Waktu itu, perasaan terharu, sedih dan gembira bercampur dan memberi makna cukup besar buat saya,” katanya.

Bagi Azlinda Salim pula, Ramadan memberinya seribu satu makna. Malah, dia yang selesa disapa Linda cukup ternanti-nanti bulan mulia ini.

“Setiap kalinya datangnya Ramadan dan Aidilfitri, ia cukup bermakna untuk saya. Terus terang saya katakan Ramadan membuatkan hati saya tenang.

“Setiap tahun, saya bagai merindui bulan ini dan setiap hari sebelum Ramadan menjelma, hati saya cukup teruja menantinya. Mungkin ia hikmah yang dapat saya rasai,” katanya.

Selain membaca berita, Linda juga semakin sibuk di belakang tabir. Terbaru, Linda bergelar penerbit untuk program Spice Routes musim kedua yang akan menemui penonton tidak lama lagi di TV3.

“Untuk musim ini, saya dan produksi sepakat memilih Chef Sabri sebagai pengacaranya. Malah, untuk program ini kami jelajahi enam negara.

“Pengalaman yang dikutip sejak bergelar penerbit ini cukup mengujakan, lebih-lebih lagi berpeluang menjelajah negara orang. Mungkin selepas ini, saya akan bergerak aktif dalam bidang penerbitan pula,” katanya.

Tambah Linda, buat masa ini dia masih lagi dalam proses mengumpul pengalaman. Lagipun, pengacara untuk program Hak Anda ini masih belum bersedia meninggalkan bidang pengacaraan.

“Buat masa ini, saya mahu mengumpul sebanyak mungkin pengalaman terlebih dulu dan dalam masa sama meneruskan kerjaya dalam bidang pengacaraan. Lagipun, saya masih lagi membaca berita untuk Edisi 7.

“Insya-Allah, bila semuanya dah selesai dan saya sudah bersedia, langkah karier saya ini akan dipanjangkan lagi,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: