Sunday, August 30, 2009

Emosi Que, Linda


RAMADAN kali ini sungguh istimewa buat Que Haidar kerana menunaikan rukun Islam ketiga itu buat pertama kalinya sebagai suami dan bapa.
Lebih bermakna apabila isteri tercinta, Linda Jasmine kini sarat hamil.

Namun di sebalik kegembiraan itu aktor berbakat besar ini terkilan apabila tidak dapat menemani Linda berbuka puasa lantaran terikat dengan jadual penggambaran.

Naluri lelakinya tidak sampai hati membiarkan Linda sendirian, tapi apakan daya dia tidak boleh mengetepikan kerjaya.

"Sedih memikirkan keadaan Linda yang semakin lemah. Insya-Allah bila kerja selesai minggu depan bolehlah saya luangkan lebih masa dengan Linda dan anak kami, Qalif Khan.

"Saya mahu bawa Qalif menunaikan solat Tarawih dan membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan," katanya yang menerima banyak undangan berbuka puasa sepanjang bulan ini.

Berbicara sisi peribadinya, ternyata aktor popular ini sungguh bahagia dengan wanita pilihannya. Lebih bermakna apabila doanya untuk menimang cahaya mata secepat mungkin dimakbulkan Sang Pencipta.

"Insya-Allah anak kami perempuan dan akan dilahirkan di Hospital Gleneagles penghujung Oktober depan sebaik saja kandungan matang.

"Kalau ikutkan Linda dijangka bersalin pada pertengahan November, tetapi doktor menyarankan supaya proses itu dipercepatkan demi keselamatan ibu dan anak.

"Linda mahu melahirkan bayi kami secara normal tapi tidak kesampaian apabila terpaksa menjalani pembedahan sekali lagi.

"Kami menggunakan khidmat doktor yang menyambut kelahiran Qalif sembilan tahun lalu. Apa yang terbaik di matanya, terbaik jugalah di mata kami," katanya yang sudah menyediakan nama untuk bayi itu namun mahu merahsiakannya sehingga Linda selamat bersalin.

Menurut Que, dia akan menemani Linda di bilik pembedahan nanti dan akan merakam detik bersejarah itu untuk dijadikan kenangan bersama.Baginya, setiap momen kehamilan sungguh bermakna, justeru dia tidak pernah gagal mengikuti perkembangan Linda dan bayi dalam kandungan. Perasaan teruja kian memuncak apabila dapat merasa pergerakan kandungan.


"Alhamdulillah anak kami aktif. Bila kandungan semakin besar, Linda semakin lemah, malah kebelakangan ini dia kerap mengadu tidak selesa dan badan terasa panas, lebih-lebih lagi waktu malam.

"Emosinya juga tidak menentu tapi saya faham itu pembawaan wanita mengandung. Hakikatnya Linda kelakar orangnya, suka buat saya ketawa dan pandai ambil hati saya. Dalam keadaan sekarang saya kena jadi pendengar yang baik dan perlu banyak bersabar.

"Apabila Linda bersalin nanti, saya akan bercuti sebulan. Saya cuba pastikan Linda benar-benar sihat baru kembali aktif berlakon," katanya sambil memaklumkan Linda mahu berpantang cara Melayu dan akan diuruskan oleh bidan selama 44 hari.

Meskipun keluarga kedua-dua belah pihak mengingatkan membeli keperluan bayi selepas kandungan berusia tujuh bulan, sukar untuk pasangan ini akur dengan nasihat itu.

Sebaik mengetahui Linda hamil, Que rancak membeli keperluan bayi mereka, terutama baju. Pantang nampak yang comel dan menarik, pasti beli hinggakan ditegur ibu dan mentua.

"Tak boleh tahan, baju anak perempuan cantik-cantik dan banyak pilihan. Setiap kali ke pusat membeli-belah saya mesti beli kalau jumpa yang berkenan.

"Banyak baju saya dan Linda beli sampaikan ibu cakap jangan beli lagi sebab bayi cepat besar.

"Selain baju, kami sediakan katil, bekas mandi, kereta sorong, mainan, pengetip kuku dan bekas stim peralatan penyusuan," katanya ceria.

Menyentuh penerimaan Qalif, jelas Que, putera kesayangannya gembira apabila mengetahui Linda hamil. Bahkan dari awal dia menunjukkan ciri-ciri seorang abang, termasuk sering mengusap perut ibunya dan berbual dengan kandungan.

Meskipun mengharapkan kehadiran adik lelaki dengan harapan dapat menemaninya bermain, Qalif tetap gembira apabila mengetahui bayi yang bakal lahir adalah perempuan.

"Saya selalu mengingatkan Qalif tanggungjawab anak sulung. Sebagai abang dia kena sayang, menjaga dan melindungi adik.

"Saya sayangkan Qalif dan kami sangat rapat. Saya mahu beri Qalif kehidupan terbaik dan kerana itu ada kalanya saya agak tegas, lebih-lebih lagi perkara membabitkan disiplin. Kalau Qalif buat salah, saya pasti tegur. Itu tanggungjawab saya sebagai bapa.

"Pernah Linda cakap saya garang, tapi saya jelaskan itu untuk kebaikan Qalif. Mungkin Linda sudah lama membesarkan Qalif sendirian, bila saya tegas dia terperanjat. Namun jauh di sudut hati dia tahu saya sayangkan Qalif," katanya.

Membesar dalam keluarga seni secara tidak langsung membuatkan permata hati pasangan ini cenderung dengan dunia lakonan. Pernah tawaran menyusul, namun Que dan Linda menolak kerana mahu Qalif tumpukan perhatian terhadap pelajaran terlebih dulu.

Bagi mereka, dalam usia semuda itu ada baiknya Qalif menikmati keindahan zaman kanak-kanak dan bebas daripada pancaran glamor.

"Pulang dari Festival Filem Malaysia baru-baru ini, Qalif menyuarakan keinginan untuk berlakon. Pernah tiba-tiba dia menangis depan saya, rupa-rupanya dia mahu tunjuk pada saya yang dia boleh berlakon.

"Memang sebelum ini ada yang tawarkan Qalif berlakon tapi saya dan Linda tolak kerana Qalif masih kecil. Saya tidak kisah andai besar nanti Qalif jadikan lakonan sebagai profesion kerana saya juga pelakon, tapi biar dia tamatkan pelajaran dulu.

"Namun bila Qalif yang mahu berlakon, saya kena pertimbangkan semula perkara ini. Kalaupun ada tawaran selepas ini, kena melalui saya dulu. Saya mahu pastikan jadual penggambaran tidak mengganggu waktu sekolah," katanya yang kini sibuk dengan penggambaran filem Jalan Lama arahan Afdlin Shauki.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: