Monday, August 31, 2009

Dengarnya...: Tak tahan mulut lancang selebriti


KATA dulang paku serpih, mengata orang dia yang terlebih. Cik Normah sengaja memulakan ngomelan hari ini dengan peribahasa kerana tak tahan dengan mulut lancang seorang selebriti yang sibuk mengata selebriti lain, tapi dia tak juga sedar diri.

Tak perlulah Cik Normah berikan kiasan siapa selebriti yang dimaksudkan, nanti semua orang tahu siapakah selebriti itu. Biarlah Cik Normah dengan orang yang sewaktu dengan Cik Normah saja yang tahu gerangan selebriti itu.

Baru-baru ini Cik Normah terdengar cerita selebriti berumur ini mengkritik selebriti baru mengenai macam-macam perkara. Memanglah tak salah dia nak menegur selebriti generasi baru kerana dia ada banyak pengalaman. Tetapi ada satu bahagian yang ditegur itu memang Cik Normah tak berkenan.

Apa yang dia tegur tak payahlah Cik Normah tuliskan di sini nanti jadi isu sensitif pula, tetapi perkara yang dia tegur itu berkaitan sikap generasi baru yang menceburi bidang seni sebab mereka menyasarkan sesuatu untuk hidup mereka.

Cik Normah bukanlah nak menyokong artis baru yang terbabit dengan benda tak elok. Cuma cara dia menegur itu tak berapa kena. Sebelum nak menegur, cubalah cermin diri sendiri. Selebriti berpengalaman itu bukanlah tak baik orangnya, cuma kalau nak komen orang lain tengok-tengoklah sekeliling kita dulu.

Orang kalau tengah berkobar-kobar memberikan kenyataan memang ada kalanya sampai tak sedar apa yang diperkatakan. Apabila sudah dirasuk, kita tak sedar dalam pada kita sibuk mengata orang sebenarnya benda itu terbalik pada kita sendiri.

Cik Normah ingatkan Cik Normah saja yang emosi dengan kenyataan selebriti itu, rupa-rupanya beberapa teman di pejabat juga kurang bersetuju dengan pendapat si selebriti sebab apa yang dia katakan itu sebenarnya terkena batang hidungnya sendiri. Malah kata teman Cik Normah, dia mengata orang lebih-lebih tetapi kaum kerabatnya sendiri pun lebih teruk daripada orang yang dikatakan.

Cik Normah minta maaflah jika ada yang terasa dengan tulisan Cik Normah ini, tetapi selagi Cik Normah tak luahkan perasaan ini memang cukup meluap-luap. Bukan apa, Cik Normah harap perkara ini boleh dijadikan pengajaran oleh selebriti lain supaya sebelum mengata orang, cermin-cerminlah diri dulu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: