Friday, July 31, 2009

Winnie putus cinta lima kali


IMPIAN penyanyi Winnie K untuk muncul dengan album penuh berbahasa Melayu sudah pun menjadi kenyataan, tahun lalu.

Malah, album Winnie atau nama sebenarnya Kok Mui Kuan, 28, yang berjudul Kau Ada Di Mana yang dilancarkan di Jakarta, Indonesia awal tahun lalu turut mendapat sambutan di negara jiran itu.

Namun, entah di mana silapnya, album berkenaan yang dibungkus semula untuk pasaran tempatan tidak mendapat sokongan dari stesen radio di negara sendiri.

"Saya kecewa kenapa stesen radio tempatan kurang memutarkan lagu Melayu saya di stesen mereka sedangkan pihak stesen radio dan televisyen di negara jiran, Indonesia memberi sokongan dan kerjasama yang baik kepada album saya sejak ia di pasarkan di sana.

"Sebagai artis baru berbangsa Cina yang menyanyikan lagu Melayu, saya sangat mengharapkan sokongan stesen radio tempatan.

"Maklumlah, saya juga mengambil jangka masa yang lama untuk tampil dengan bingkisan album ini.

"Justeru, sudah pasti saya mengharapkan segala kerja keras saya selama ini berbaloi," katanya.

Winnie berkata, bingkisan album Melayunya itu juga berkualiti dan menampilkan gabungan komposer terkenal dua negara iaitu Ajai, Tam Spider, Cat Farish, Dewiq dan Yudis Dwikorana.

"Saya sangat mengharapkan pihak stesen radio memutarkan sekurang-kurangnya dua lagu dari album Melayu saya iaitu Kau Ada Di Mana dan Ke Akhirnya yang menampilkan Cat Farish.

"Saya difahamkan, syarikat rakaman stesen radio berkenaan hanya memutarkan lagu artis tertentu saja.

"Tidak perlulah saya sebut nama stesen radio itu, tapi saya difahamkan stesen radio itu juga turut tidak mahu memutarkan lagu baru penyanyi lelaki terkenal tanah air," katanya. Winnie yang sudah dua tahun ditaja Celebrity Fitness ditemui di sidang akhbar Celebrity Fitness & Piklife Joint Venture di Celebrity Fitness One Utama, baru-baru ini. Lebih teruk lagi, kata Winnie, ada pihak yang berpendapat lagunya, Kau Ada Di Mana adalah lagu dendangan penyanyi popular Erra Fazira.


"Mungkin kerana lagu itu adalah lagu tema drama bersiri Mertua VS Menantu yang dibintangi Erra dan Aqasha, ramai orang fikir itu lagu dendangan Erra dan bukan lagu saya.

"Sebenarnya ada pihak yang memberitahu perkara itu kepada saya.

"Sebagai penyanyi saya tidak ingin cepat melatah dalam soal ini kerana lebih suka melihat perkara itu dari sudut yang positif.

"Sekurang-kurangnya lagu saya itu diminati ramai walaupun ada orang yang tidak tahu saya adalah penyanyi lagu berkenaan," katanya.

Mengenai gosip terbarunya bersama vokalis kumpulan Indonesia, D'Masiv, Rian, Winnie yang sibuk mengumpul material untuk album Mandarinnya berkata, hubungannya dengan Rian hanya sekadar rakan artis.

"Sebenarnya, saya mula kenal dengan Rian, ketika kami sama-sama buat persembahan untuk stesen televisyen Indonesia sebelum ini.

"Selain D'Masiv, ada dua lagi band popular Indonesia terbabit dalam persembahan itu iaitu Sheila On 7 dan Samson.

"Malah, apabila D'Masiv buat persembahan di Kuala Lumpur, mereka juga mengundang saya untuk hadir di sidang akhbar mereka untuk memberi sokongan.

"Hubungan kami tidak lebih dari rakan artis dan saya juga tidak tahu bagaimana gosip saya bercinta dengan Rian itu boleh diperkatakan orang ketika ini?. Hakikatnya, saya sudah lima kali putus cinta dan masih mencari cinta sampai sekarang," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: