Friday, July 31, 2009

Skim Amanah Saham 1Malaysia Bantu Rangsang Ekonomi Negara

KUALA LUMPUR, 31 Julai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata skim Amanah Saham 1Malaysia (AS 1Malaysia) akan memberi suntikan dana baharu dalam merangsang pasaran saham tempatan dan instrumen pelaburan yang lain.

Selain itu, skim ini juga akan meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat, katanya ketika melancarkan dana Amanah Saham 1Malaysia, tabung dana amanah baharu yang diuruskan oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB), di sini hari ini. "Melalui rangsangan ekonomi ini, kerajaan berharap kegiatan dalam sektor-sektor penting ekonomi negara dapat ditingkatkan melalui penerokaan modal-modal baharu yang mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia," katanya.

Sehingga ini, Najib berkata PNB telah berjaya melaksanakan program perkongsian perniagaannya bersama semua rakyat Malaysia melalui syarikat-syarikat pelaburannya.

"Kaedah perkongsian ini juga telah menyediakan peluang pekerjaan langsung kepada lebih 135,000 orang, dan ramai lagi rakyat mendapat manfaat perkerjaan secara tidak langsung melalui syarikat-syarikat ini," katanya.

Syarikat-syarikat terkemuka yang bernaung di bawah PNB seperti Maybank, Sime Darby, UMW dan lain-lain, telah dan akan terus memperkembang aktiviti-aktiviti melangkaui sempadan negara seperti di China, Indonesia, Australia, bahkan ke Eropah, kata Najib.

"Ini sejajar dengan aspirasi negara untuk menjadikan negara luar ini sebagai "hinterland" untuk arena pelaburan baharu bagi syarikat-syarikat Malaysia," kata Perdana Menteri.

Najib berkata pelancaran dana AS 1Malaysia juga merupakan suatu kejayaan penting untuk PNB melangkah ke hadapan dalam mengurus dana-dana yang jauh lebih besar, setaraf dengan sysrikat-syarikat pelaburan antarabangsa.

Beliau juga mengharapkan penyertaan daripada seluruh rakyat Malaysia yang tidak terhad kepada dana AS 1Malaysia, malah penyertaan dan penerimaan PNB dalam aktiviti perniagaan tempatan dipertingkatkan.

"Sokongan yang saya maksudkan ialah supaya kalangan perniagaan dapat memberi ruang kepada PNB untuk melabur atau menambah pegangan dalam syarikat-syarikat baharu yang berpotensi dan mampu memberi pulangan yang tinggi," katanya.

Perdana Menteri berkata pengumpulan dana rakyat ini bukanlah simpanan wang yang hanya akan memanfaatkan pelabur individu, bahkan akan membantu negara membangunkan lagi industri pelaburan dengan perbelanjaan yang lebih teratur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: