Thursday, July 30, 2009

Rashidi kempunan berlakon dengan Vee

Aksi Rashidi ketika melakonkan watak Tun Abdul Razak disamping Jee.

SAYA ada impian untuk berlakon sekali dengan Vee terutama dalam filem tetapi selalu tak jadi sebab anak-anak kami,” luah aktor Rashidi Ishak yang sukar untuk menerima tawaran berlakon watak utama bersama isterinya, aktres Vanida Imran.

Sebelum ini, mereka pernah berlakon sekali dalam beberapa buah filem seperti 'Cinta' dan 'Setem' namun bukanlah selalu digandingkan bersama dalam set pengambaran.

Jelas Rashidi, bukan mudah untuk kedua-duanya beraksi bersama memandangkan dua orang anak mereka yang berusia lapan dan lima tahun masih memerlukan perhatian salah seorang antara mereka sama ada dia atau Vee.

“Susah untuk dua-dua berada dalam produksi yang sama kerana jika hendak berlakon filem misalnya, kami perlu mengambil masa satu hingga dua bulan di luar.

“Jika anak-anak dah besar nanti mungkin boleh..,” kata Rashidi yang menganggap persefahaman penting dalam mengekalkan keharmonian rumah tangganya.

Tambahnya, “Selagi ada masa, saya akan ‘involve’ untuk mandikan dan suapkan makanan kepada anak-anak. Saya tak nak rugi masa dengan mereka..”

Isteri sebagai tukang kritik

Dalam seronok berbual, Rashidi tidak lupa untuk mengenang jasa Vee yang banyak membantunya dalam selok-belok lakonan sekaligus menjadi tukang kritiknya.

“Vee selalu memberi semangat untuk saya mencuba sesuatu perkara baru seperti teater ini. Dia seorang yang memahami walaupun saya tidak kata ‘ya’.

“Saya juga tak menyesal menolak teater sebelum ini. Mungkin ada hikmahnya.." katanya.

Pengiat seni yang ‘pelik’

Sebelum ini, kebanyakan tawaran teater yang tampil pasti ditolaknya dengan memberi alasan sibuk dengan pengambaran.

Namun tidak pula dengan ‘Teater Muzikal Tun Abdul Razak’ apabila dia menerima panggilan daripada penulis skrip dan pelakon Mohd. Kamaruzaman Taib atau Che Kem sebulan yang lalu untuk melakonkan watak utama, Tun Abdul Razak.

“Mungkin saya terus bersetuju kerana teater ini arahan Datuk Rahim Razali.

“Sebelum ini, saya terlampau takut dan gerun untuk tampil sebagai pelakon pentas tetapi lepas beberapa lama ni baru saya berani untuk tampil buat pertama kalinya selepas 10 tahun bergelar pelakon.

“Saya juga tak tahu nak cakap ya sehinggalah saya rasa perlu buat benda ni selepas tengok isteri saya, Vee seronok buat teater berbanding filem dan drama.

“Dulu, saya rasa belum cukup ilmu walaupun banyak mendapat tawaran dari produksi yang besar jadi saya bagi helah kata sibuk ‘shooting’.

“Jadi, apabila dah kata ya, saya rasa saya perlu komited. Bila dah terima terus tak dapat tidur malam.

“Alhamdulillah, nasib baik saya ada isteri yang faham dan tahu tentang selok-belok teater,” jelas pemain gitar kumpulan Dead Mushroom ini.

Seawalnya, Rashidi tidak begitu menyukai bidang lakonan dan menceburi bidang ini hanya untuk menyara hidupnya namun sekarang berlainan pula walaupun dia masih lagi aktif dengan aliran muzik.

“Saya kategori penggiat seni yang ‘pelik’. Orang lain pun pernah tanya ‘Shidi, you ni apa’. Saya kata saya suami Vee.

“Minat saya berubah-ubah..dalam hidup kita kena ada langkah pertama. Bila difikirkan balik, perkara ni memang kelakar. Setakat ni, memang Tuhan bagi rezeki dengan murah,” luah Rashidi yang pertama kali berlakon menerusi iklan komersial Mild Seven.

Selepas itu, pada tahun 1997 dia berlakon filem pertamanya, ‘Senario The Movie’ dengan melakonkan watak seorang pengawal peribadi seterusnya melakonkan filem kedua, ‘Mimpi Moon’ sebagai Munir.

Kata Rashidi, bagi menjayakan watak itu, dia telah membuat banyak kajian dengan dibantu oleh pihak produksi seperti mendengar rakaman audio teks ucapan, visual dan membeli buku sendiri.

“Saya juga telah membuat temujanji dengan Tan Sri Michael Chen, orang yang rapat dengan Tun Razak. Cuma dengan keluarga Tun sahaja yang belum berpeluang lagi kerana tidak mempunyai 'contact'. Mungkin mereka sibuk..Insya-Allah, dalam tiga minggu ni mungkin boleh.

“Kiranya banyak yang saya dapat. Sebelum ini, kita tengok dia sebagai ‘public figure’ yang kita kenal sebagai Tun Razak tetapi sekarang saya mendapat input tentang kehidupan peribadinya yang boleh membantu pembentukan watak.

“Jadi, penting juga untuk mengenali orang yang kenal dengan dia,” cerita Rashidi yang akan menyanyikan hampir 11 buah lagu dalam teater ini.

Berkobar-kobar untuk berjumpa Perdana Menteri

Mengamati peribadi Tun Abdul Razak mengikut ilmu yang dikumpul, Rashidi menganggap beliau merupakan seorang yang merendah diri dan berjiwa rakyat walaupun datang dari latar belakang keluarga yang berada.

Bagi menambah ilmu di dada, Rashidi juga meluahkan yang dirinya juga berkobar-kobar untuk berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan ibunya, Tun Rahah Mohd Noah.

Kata Rashidi, hampir 90 peratus babak yang dilakonkannya berusia lebih 40 tahun, lalu ia tidak memerlukannya untuk melakonkan adegan mesra dengan heroinnya, aktres dan penyanyi Fauziah Latiff sebagai Tun Rahah.

“Saya ‘ok’ bekerja dengan Jee kerana dia seorang yang terbuka dan banyak memberi idea serta nyanyian,” ulas Rashidi mengakhiri perbualan.

Saksikan Rashidi dan Jee dalam 'Muzikal Tun Abdul Razak' mulai 16 hingga 20 Ogos ini di Panggung Sari, Istana Budaya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: