Friday, July 31, 2009

Program konservasi Orang Utan


NEW Hope For Orang Utan School Programme menyuntik kesedaran kepada warga muda.


MENYEDARI hakikat bahawa Orang Utan berada dalam golongan spesies terancam, ramai pihak tampil bagi membantu usaha memulihara haiwan tersebut.

Terbaru, jenama teh terkemuka Malaysia, BOH Plantations Sdn. Bhd. dengan kerjasama Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF-Malaysia) dan TV9 bertindak melancarkan program konservasi Orang Utan baru-baru ini.

Menerusi program ini, mereka akan berusaha meningkatkan kesedaran terhadap keadaan Orang Utan yang lebih dikenali sebagai Man of the Forest.

Program ini diisi dengan cadangan terhadap usaha berterusan untuk mencipta kesedaran terhadap kepupusan Orang Utan dalam kalangan generasi muda.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BOH Plantations, Caroline Russell berkata, BOH sudah lama menyokong usaha pemuliharaan hidupan liar dan persekitaran.

"Kami percaya bahawa golongan muda di Malaysia boleh menjadi instrumental dalam mencipta perubahan dan menyediakan dorongan ke arah masa depan yang lebih baik. Justeru, kami berharap program ini akan berjaya mencapai matlamatnya," ujarnya.

New Hope For Orang Utan School Programme akan dipanjangkan menggunakan blog sebagai medium urusan dan membolehkan peserta melahirkan kreativiti mereka secara talian.

Program ini terbuka kepada semua pelajar yang berusia antara 14 hingga 17 tahun dari semua sekolah menengah kerajaan dan swasta. Untuk menyertainya, pelajar dikehendaki melengkapkan tiga ujian penting termasuklah mencipta kempen kesedaran terhadap isu survival Orang Utan.

Selain itu, pasukan Kawan 9 dari TV9 akan menjelajah ke 30 buah sekolah di sekitar Lembah Klang untuk mempromosikan program ini. Liputan terhadap jelajah itu akan disiarkan di saluran tersebut.

Pertandingan akan berlangsung hingga 31 Ogos ini. Mereka yang berminat, boleh layari laman web www.orangutan.com.my atau www.tv9.com.my. Untuk maklumat lanjut, hantarkan pertanyaan melalui e-mel di adikdi9@tv9.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: