Friday, July 31, 2009

Orang dalam' seludup eramin 5


AyUb (tengah) menunjukkan dadah eramin 5 bernilai RM20 juta yang dirampas di Sungai Dua, Pulau Pinang semalam.


PULAU PINANG - Kemasukan pil eramin 5 bernilai RM20 juta dari Taiwan melalui kargo udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL) secara mudah Selasa lalu disyaki membabitkan 'orang dalam' di kompleks kargo LTABL.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, kesemua pil khayal dipercayai berjumlah sejuta butir itu dibawa masuk dengan kontena yang melalui kargo udara LTABL dari Taiwan tanpa sebarang masalah.

"Kita sedang siasat dan teliti semua dokumen perjalanan kontena yang membawa dadah bagi mengenal pasti siapa yang terlibat memudahkan kemasukan dadah itu," kata beliau di sini semalam.

Kelmarin, seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk' adalah antara enam lelaki dan dua wanita yang diberkas berhubung penemuan sejumlah besar pil khayal Selasa lalu dalam serbuan di sebuah gudang yang terletak di belakang sebuah restoran di Sungai Dua di sini.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas dadah jenis ketamin seberat 374 gram dan menahan lima lelaki yang berada dalam gudang itu bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: