Thursday, July 30, 2009

Kecualikan yuran pelajar miskin - Alumni UiTM


MOHD. ZIN (kiri) menerima cenderamata daripada Ibrahim selepas mengadakan kunjungan hormat
di UiTM Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) memohon supaya pihak pengurusan universiti itu menimbang kemungkinan untuk mengecualikan yuran pengajian buat pelajar-pelajar yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah.

Presidennya, Datuk Seri Mohd. Zin Mohamed berkata, dua kategori pelajar yang dirasakan perlu mendapat pengecualian itu ialah kalangan mereka yang tinggal di bandar dengan pendapatan keluarga kurang daripada RM3,000 sebulan, serta mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan ibu bapa berpendapatan bawah RM1,500.

Beliau berkata, pelajar yang layak juga perlu diambil kira berdasarkan bilangan tiga orang adik-beradik mereka yang masih bersekolah.

"Kami memandang serius isu kebajikan serta usaha yang memberi manfaat kepada pelajar yang masih menuntut di UiTM di samping memastikan UiTM terus relevan dalam melahirkan graduan yang berkualiti seiring dengan kuantiti," katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof. Ibrahim Abu Shah di sini semalam.

Katanya, pengecualian yuran itu dirasakan perlu selaras dengan kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini.

Sementara itu, Mohd. Zin berkata, Persatuan Alumni UiTM sedang merancang untuk menubuhkan Pusat Perkhidmatan dan Kemahiran Alumni UiTM di setiap negeri.

Beliau berkata, menerusi pusat itu, pihaknya akan berusaha menyediakan kelas Bahasa Inggeris, pusat latihan serta kepimpinan, bimbingan kerohanian dan latihan kemahiran kepada mereka yang tercicir dari sekolah dengan mengenakan caj minimum.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: