Thursday, July 30, 2009

Hafiz bangga dapat bekerja dengan M Nasir

Meskipun baru dua bulan meraih takhta Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7), impian Mohd Hafiz Mohd Suip atau lebih dikenali dengan nama Hafiz untuk memiliki album sendiri telah pun tercapai.

Hafiz begitu teruja dengan kelahiran album pertama beliau, Masih Jelas yang juga tajuk singlenya yang dibawa ketika Konsert Akhir AF7 yang lalu. Paling manis, lagu Masih Jelas telah dipilih oleh peminat-peminat untuk berada di kedudukan Top 5 carta radio Era dan HotFM.

Album terbitan Astro Entertainment Sdn. Bhd. dan Warner Music ini telah pun berada di pasaran 14 Julai lalu dengan harga RM21.

Album ini memuatkan lima lagu nyanyian Hafiz termasuk Masih Jelas dan turut diselitkan dengan empat buah lagu nyanyian bekas finalis AF7 yang lain.

Ketika ditemu bual, Hafiz meluahkan rasa syukurnya dengan kelahiran album tersebut dan begitu berbangga kerana komposer-komposer yang menyumbangkan lagu di dalam album itu terdiri daripada komposer-komposer yang hebat seperti Aidil Alfian, M. Nasir, Ajai, Aiman dan Tun Taja.

“Berkongsi album ini dengan rakan-rakan finalis yang lain merupakan satu penghargaan buat mereka dan saya rasa ianya sesuatu yang meriah,” kata Hafiz ketika majlis pelancaran album Masih Jelas di Restoran Delucca Italian, Kuala lumpur baru-baru ini.

Hafiz turut berkongsi pengalaman sepanjang proses pembikinan album beliau. Menurut beliau, bekerja adalah sesuatu yang menyeronokkan dan tidak memenatkan. Beliau mengambil masa hampir dua bulan untuk menyiapkan album tersebut.

“Lagu yang cukup mencabar adalah lagu Awan Nano yang menggunakan khidmat sifu M. Nasir sebagai komposer dan Buddhi Hekayat sebagai penulis lirik. Alhamdulillah, M. Nasir hanya menegur dan tidak memarahi saya,” jelas Hafiz mengenai pengalamannya.

Hafiz yang sedang mengikuti pembelajaran di Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL), Kuching dalam bidang Hotel dan Pengurusan terpaksa menangguhkan sesi pembelajarannya selama setahun untuk memberi tumpuan terhadap promosi album dan kerjaya nyanyian.

Hafiz turut akui bahawa beliau seronok mempunyai kerjaya sendiri. Mempunyai kerjaya adalah diimpikan kerana dengan bekerja, pendapatan yang dapat sedikit sebanyak boleh membantu dirinya dan keluarga.

“Saya juga seronok menjalani penggambaran Menuju Puncak sebanyak lapan episod. Selepas tamat sesi penggambaran Menuju Puncak, barulah saya mula pandai untuk bersikap ramah dengan semua orang berbanding sebelum itu yang agak pendiam dan pemalu," kata Hafiz menjawab isu dikatakan ‘plastik’ dalam program Menuju Puncak.

Beliau juga cuba untuk meninjau peluang untuk menceburi bidang lakonan setelah berpengalaman menjadi hos dalam Menuju Puncak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: