Thursday, July 30, 2009

Filem 'kita' dan kesakitan!


MAYA KARIN berjaya memberi impak kepada filem Duyung.


SEMINGGU lagi, sinema Malaysia bakal meraikan Festival Filem Malaysia siri ke-22 (FFM22).

Memilih Kota Kinabalu, Sabah sebagai lokasi perkampungan hampir lebih 600 delegasi termasuk artis, media dan karyawan filem tanah air, barangkali FMM22 mahu dilihat sudah cukup intelek dengan memilih institusi pengajian tinggi, Universiti Malaysia Sabah (UNIMAS) sebagai saksi penganjuran.

Ini bukan satu pendekatan baru. Ketika penganjuran FFM20, ia berlangsung di Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang dan meraih sukses dalam usaha merakyatkan filem tempatan kepada khalayak khususnya pelajar filem.

Mungkin juga itu satu simbolik kepada para karyawan seni untuk keluar daripada satu lubang kepada satu tahap yang lebih terbuka, progresif dan matang segala segi agar filem tidak sekadar dilihat sebagai pengisi hiburan semata-mata.

Seni filem sebaliknya satu kegiatan intelektual, berbudaya, kreatif, kemahiran serta sebuah industri.

Masalahnya, perfileman sebagai sebuah industri sering dikaitkan dengan kekurangan suntikan modal, kemiskinan dana dan keengganan pelaburan daripada sektor korporat.

Bagi penerbit dan pembikin filem yang miskin, bajet menjadi penghalang kreativiti mereka bahkan menjadi penyakit yang tidak pernah terubat.

"Sebagai sebuah produksi yang produktif para penerbit bukannya tidak berdepan masalah modal. Masalah yang lebih besar lagi adalah bagaimana hendak mendapatkan lebih ramai penonton," kata, Pengurus Besar Filem dan Drama, Primeworks Studios, Ahmad Puad Onah.

Merangkap Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) dan Presiden Persatuan Pengeluar Filem (PPFM), Puad menjelaskan, secara purata, penonton filem Melayu di Malaysia hanyalah berjumlah 300,000 orang. Satu jumlah yang dilihat masih terlalu kecil untuk dibuat perbandingan dengan filem-filem bertaraf antarabangsa yang mempunyai lebih banyak khalayak.

"Satu tiket berharga RM8 dan ada filem ditonton oleh 80,000, 200,000 atau 500,000 penonton. Penerbit pula akan berkongsi 50 peratus hasil jualan tiket filem bersama pemilik pawagam.

"Jika sebuah filem dapat kutip RM2.4 juta, maknanya penerbit hanya dapat RM1.2 juta. Tolak kos promosi sebanyak RM300,000 dan kos cetakan filem sebanyak RM200 (sekurang-kurangnya 50 cetakan) untuk 50 panggung, baki hanyalah RM700,000. Filem bagaimana yang hendak dibikin dengan kos sebenar RM700,000?" anggar Puad lagi.

Filem terpaksa mencari kelainan memandangkan drama TV juga tidak kurang hebatnya, kos untuk filem perlu bertambah dan dalam masa yang sama jumlah penonton juga harus meningkat.

"Jika mahu untung, sekurang-kurangnya harus ada 400,000 penonton untuk sesebuah filem yang berbajet RM2.5 juta. Penonton di Malaysia pula lebih rela berhabis RM8 untuk tonton filem Hollywood yang berbajet RM200 juta.


PUAD ONAH


"Itulah situasi sebenar, itulah penyakit yang sedang dihidapi perfileman Melayu di Malaysia. Penonton tak boleh disalahkan kerana mereka ada banyak pilihan," kata Puad lagi.

Suntikan dana - kerajaan sekadar membantu

Dari segi modal juga, kerajaan sebenarnya ada menyediakan dana pinjaman sebanyak RM50 juta melalui SME Bank dengan kelulusan pinjaman sebanyak RM1.5 juta untuk setiap permohonan di bawah Skim Pinjaman Filem Cereka (SPFC).

Sementara itu, Kementerian Sains dan Teknologi Malaysia (MOSTI) juga menyediakan geran pembikinan filem animasi sebanyak RM1 juta setiap projek.

Bagaimanapun ada yang menyifatkan jumlah dana tersebut cukup kecil dan jauh daripada mencukupi untuk menggerakkan industri perfileman ke tahap yang mampu menyaingi negara luar, Thailand sekalipun. Ia boleh diibarat bagaikan mimpi untuk menjadikan negara ini sebagai hab industri animasi digital yang bergantung kepada kreativiti dan kemahiran serta pembangunan teknologi komputer.

Secara purata kos sebuah filem yang dihasilkan oleh pembikin filem Thailand tidak kurang daripada RM10 juta.

Filem King Nerusuan sahaja dihasilkan dengan kos tidak kurang daripada RM60 juta dan dengan dana mencukupi itu, hari ini Bangkok menjadi hab perfileman Asia yang penting.

Singapura juga sedang berusaha membangunkan kota tersebut sebagai hab animasi digital melalui kerjasama dengan Lucas Film. Hasilnya mereka telah berjaya menghasilkan Star Wars: The Clone Wars. Tetapi bagaimana dengan kita?

"Kita harap kerajaan mainkan peranan yang lebih besar. Perancangan jangka masa panjang harus diambil. Karyawan filem pernah mencadangkan kepada kerajaan supaya diwujudkan geran khas untuk pembikinan lima filem bajet besar setiap tahun. Geran khas itu hanya layak diberikan kepada pengarah berprofil tinggi dan genre filem pula haruslah sarat nilai budaya, kritik sosial serta bukan karya hiburan semata-mata.

"Dengan bajet RM5 juta untuk sebuah filem, pasti segala keperluan filem yang sempurna dapat dipenuhi. Kalau perlu, boleh upah pengarah atau pelakon popular dari luar negara, jika itu yang dimahukan oleh penonton kita.

"Selepas lima tahun, saya yakin projek itu akan menunjukkan hasil. Setidak-tidaknya, jika satu produksi terbitkan tiga setahun pun sudah memadai, khazanah filem negara akan bertambah dan saya yakin, masyarakat Malaysia akan secara tidak langsung terdidik untuk menghargai filem tempatan. Tidaklah setiap kali menjelang Hari Kemerdekaan, kita cuma ada filem Bukit Kepong atau Sarjan Hassan," tegas Puad lagi.

Menyentuh soal dana dan bantuan kerajaan, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) ada prinsip sendiri. Ketua Pengarah FINAS, Mahyiddin Mustakim tampil dengan kenyataan berikut.

"Bantuan kerajaan memang terhad tetapi ada penerbit dan pengarah yang boleh menjana untung sehingga RM6 juta daripada filem yang mendapat bantuan dana. Ada juga penerbit yang tidak mampu mendapat pulangan modal hasil jualan tiket. Itu bukti dan cabaran agar suntikan dana kerajaan harus digunakan sebaik mungkin dan pengarah harus lebih kreatif.

"Memang ada filem Thailand yang berbajet jutaan ringgit tapi di Thailand, penerbit guna duit sendiri kerana kerajaan langsung tidak menyediakan dana. Singapura memang ada beri bantuan, tapi kita harus tahu, di Singapura hanya ada lebih kurang lima buah filem setahun dan kerajaan mereka dalam kempen untuk meningkatkan industri filem.

"Sinema di Indonesia juga tidak banyak dibantu kerajaan. Di negara luar hanya Malaysia yang kembalikan duti hiburan dan amalkan Skim Wajib Tayang. Kerajaan hanya bantu seberapa yang boleh kerana banyak sektor yang harus dijaga," beritahu Mahyiddin mewakili FINAS.

Strategi pemasaran kurang kukuh

Orang kata, ada duit semua kerja jadi, namun penyakit atau kekangan dalam perfileman Malaysia sebenarnya tidak terbatas kepada sumber kewangan semata-mata.

Jika hendak dihitung, sebenarnya ada seribu satu masalah perfileman tempatan, berhelai-helaian artikel pun masih belum dapat merungkaikan satu persatu-satu masalah yang sedang dihadapi karyawan filem sedunia, khususnya di Malaysia ketika ini.

Ketika ini industri perfileman memerlukan kemantapan modal insan yang bukan sahaja mengetahui perkembangan teknologi maklumat dan komputer terkini, tetapi juga memahami strategi pemasaran yang kompleks.

Aktres juga penerbit filem epik termahal dalam sejarah pembikinan filem Malaysia, Tiara Jacquelina pernah membawa filemnya Puteri Gunung Ledang merentasi festival-festival antarabangsa antaranya ke Festival Filem Antarabangsa di Venice (2005) dan pernah ditayangkan pada Anugerah Akademi ke-77 di Los Angeles, Amerika Syarikat pada tahun yang sama.

Kepada Tiara, tujuan utama PGL ke festival-festival filem antarabangsa bukanlah untuk mengejar anugerah tetapi sebagai satu usaha kecil pihaknya untuk memperkenalkan filem Malaysia ke peta perfileman dunia.

U-Wei Saari juga mencipta sejarah perfileman tempatan apabila filem arahannya, Kaki Bakar berjaya menerima anugerah Un Certain Regard di Festival Filem Cannes. Filem itu telah membuka mata masyarakat filem global sekali gus memperkenalkan pasaran filem tempatan.

Penerbit David Teo juga sanggup mengambil risiko untuk menayangkan filem-filem terbitannya ke luar negara. Filem Jangan Pandang Belakang misalnya mendapat sambutan ketika ditayangkan di 23 panggung di Filipina sekitar September 2007.


DR. ABU HASSAN


Walaupun dikritik kerana filem-filemnya dianggap filem 'mi segera', David sendiri pernah menganjurkan Minggu Filem Pelajar di London beberapa tahun lalu untuk memperkenalkan filem-filem Malaysia kepada pelajar-pelajar Malaysia di luar negara. Biarpun tidaklah meninggalkan impak yang besar, itu antara contoh usaha peribadi penggiat filem tempatan untuk memasarkan filem ke luar negara.

Di Malaysia, setakat ini filem yang paling menguntungkan hanya memberikan pulangan sekitar RM10 juta. Tahun ini sebuah filem animasi Geng: Pengembaraan Bermula yang dihasilkan oleh sekumpulan anak muda tempatan dan diterbitkan oleh Les' Copaque telah mencipta fenomena. Berbajet RM4 juta, filem yang ditayangkan sekitar Februari 2006 itu berjaya meraih jualan tiket sebanyak RM6.20 juta.

Apabila penerbit dan pengarah filem sendiri berusaha memasarkan filem ke luar negara, ramai mempersoalkan mana usaha kerajaan dalam soal ini sedangkan kita faham bahawa filem adalah produk dan pembuat produk harus juga ada usaha sendiri untuk menjual produk masing-masing.

Masalah dalaman lain

Itu dari segi modal dan pasaran, bagaimana pula dengan masalah-masalah lain, kreativiti pengisian kandungan misalnya? Terubatkah sakit filem Melayu jika sekadar modal dan pasaran yang diberi fokus?

Untuk melihat industri kreatif berkembang maju, kita tidak boleh melihat pada satu bidang sahaja. Industri ini melibatkan banyak bidang yang saling berkaitseperti dunia kesusasteraan, seni budaya, seni teater, seni lukis, muzik dan teknologi multimedia.

Pensyarah Filem dan Penyiaran Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah tampil dengan satu pandangan yang berani.

Katanya, penyakit atau sindrom sebenar yang mampu meruntuhkan filem sebagai satu institusi seni yang dihargai adalah sikap segelintir pembikin filem tempatan yang tidak menghormati dan tidak mengamalkan kaedah pembikinan filem secara intelektual dan konvensional.

Kewangan sebenarnya bukan penghalang utama bahkan skeptikal masyarakat juga bukan penyebab yang menentukan teori kejayaan atau kegagalan sesebuah filem. Penonton bersedia untuk ke panggung pada bila-bila masa asalkan bahan yang bakal disaksikan menjanjikan pengalaman luar biasa.

Sebagai pemerhati perkembangan perfileman Malaysia, Abu Hassan merangkumkan beberapa punca yang berkembang menjadi barah sehinggakan meletakkan kondisi sesebuah filem dalam status yang tidak 'sihat'.

"Pembikinan filem di Malaysia tidak mempedulikan proses pra-produksi, jarang adasesi lampas otak untuk membentuk cerita atau skrip yang luar biasa atau ajaib. Mereka tidak sanggup luangkan masa dan berhabis untuk sebuah skrip yang bagus selain tidak pentingkan pemilihan pelakon. Pengarah atau penerbit hanya pilih aktor bukan pilih watak. Saya sendiri terlibat dengan beberapa produksi, itu yang berlaku depan mata saya. Hasilnya, penonton akan tengok pelakon yang tampan atau cantik tapi tidak sesuai dengan watak yang dibawa," katanya.

Apabila skrip tidak dibikin dengan sempurna apa yang terhasil adalah naratif yang lemah, pelakon pula tidak mampu merealisasikan watak, maka filem yang terhasil juga sebuah filem yang lemah.

Satu lagi kelemahan yang cukup ketara adalah ketiadaan amalan story board sebelum penggambaran dilakukan. Lazimnya, sesudah skrip dan serba sedikit pra-produksi dilakukan, team produksi terus akan turun ke lokasi. Segala-galanya berlaku di lokasi penggambaran bahkan ada juga pengarah menulis skrip di lokasi penggambaran.

Sikap individual sesetengah pembikin filem turut menyumbang keruntuhan filem tempatan. Kata Abu Hassan, sikap sesetengah pembikin yang mahu melakukan semua kerja dalam satu masa turut menyumbang ke arah itu. Sikap itu dilabelkan sarjana filem itu sebagai sikap yang tidak serius.

"Bila penulis skrip jadi pengarah dan dalam masa yang sama pengarah juga jadi pelakon, pengarah juga mahu penyunting. Semuanya kelam-kabut dan setiap jabatan jadi tidak tentu arah.

"Saya juga lihat, ada penonton yang ke panggung bukan kerana keinginan tetapi kerana kerajinan menonton filem. Awal-awal lagi penonton ditanamkan dengan tanggapan bahawa pengamal filem Malaysia sebagai tidak serius. Kenapa? Kerana ada pengarah atau penerbit bangga kerana dapat siapkan penggambaran filem mereka dalam masa 14 hari.

"Di Thailand, peminat sudah bercerita tentang segala aspek kehebatan filem Ombak 2 sejak dari awal pembikinan," katanya seperti menempelak.

Dalam membincangkan penyakit filem yang sukar sembuh itu, Abu Hassan akur dan memuja kreativiti sutra- dara yang telah meninggalkan impak besar terhadap perkembangan filem tanah air.

"Mereka telah meletakkan satu konseptual dalam karya-karya. Mereka ini telah membuktikan sebuah filem yang baik adalah didasari sebuah penceritaan yang baik. Cerita lebih penting daripada kesan khas atau bajet jutaan ringgit.

"Saya pelik kenapa penerbit dan pengarah filem kita terlalu bangga dengan efek dan CGI sedangkan skrip filem mereka hanya berharga 'RM35'. Filem bukan hanya visual tetapi dunia di dalam filem itu sendiri," getus Abu Hassan.

Bercakap tentang isu kekangan kerajaan dan Lembaga Penapisan Filem Negara (LPF) yang gemar bermain teka-teki tentang dasar penerbitan filem tempatan, Abu Hassan bersetuju, perkara itu juga satu penyakit yang menyekat filem Malaysia untuk berkembang maju. Ketika filem di negara lain waima negara miskin seperti Vietnam dan Mongolia juga sedang menerokai perfileman sebagai industri, Malaysia pula terperangkap dalam visi negara yang berubah-ubah.

Inilah penyakit industri filem Malaysia yang perlu diberi suntikan paling mujarab.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: