Thursday, July 30, 2009

Blog novelis

Menjadikan blog sebagai platform untuk berkongsi minatnya menulis novel, Habibah mengumpul ribuan peminat di laman maya itu.


HABIBAH menggunakan medium blog untuk mengulas buku tulisannya dan filem-filem terbaru ditayangkan di pawagam.


Ramai di kalangan kita memilih untuk menceritakan pengalaman harian hidup menerusi blog. Ia bukanlah menghairankan kerana blog kini menjadi medium baru sebagai buku cacatan diari.

Lebih dari itu, ada juga yang menjadikan kecanggihan berinteraksi di alam maya tersebut sebagai ruang berurus niaga tidak kira sama ada makanan, fesyen ataupun cenderamata.

Bagi penulis blog, Habibah Mohd. Idris, 29, dia lebih berminat untuk menjadikan blognya (http//bikashnuridris.blogspot.com) sebagai medan untuk membicarakan salah satu pekerjaan sambilannya iaitu penulis novel.

"Blog saya ini sudah berusia empat tahun. Ilham untuk memiliki blog sendiri terdetik memandangkan saya seorang penulis novel.

"Jadi, dari sini saya lebih mudah berinteraksi dengan peminat dan penulis yang lain. Kami akan bertukar pendapat dan mencari idea baru untuk tatapan pelawat," katanya yang bekerja sebagai kakitangan swasta.

Menceritakan mengenai intipati blognya, Habibah yang peramah memberitahu, secara keseluruhan blog tersebut lebih mengutamakan soal rebiu novel dan filem.

Itulah kelebihan dan pengetahuan yang diperoleh sebaik sahaja anda menekan tetikus komputer untuk melayari blog milik Habibah.

"Saya telah menghasilkan sebanyak 13 buah novel, jadi pelawat boleh membaca beberapa sinopsis novel hasil karya saya menerusi blog ini.

"Para pelawat juga diberi kebenaran untuk mengkritik hasil penulisan saya," jelasnya yang merupakan bekas pelajar jurusan penulisan kreatif di Akademi Seni Kebangsaan (Aswara).


ANTARA buku nukilan Habibah.


Sedang rancak berbual mesra, Habibah turut menyatakan penggunaan blog dianggap sebagai persaingan yang sihat di kalangan penulis-penulis novel tempatan.

Namun, di sebalik kemeriahan itu beliau mengakui blog tidak sepatutnya digunakan untuk memfitnah dan menjatuhkan orang lain.

Tidak salah memberi komen atau pendapat tetapi bagi Habibah penggunaan bahasa dan komen seharusnya lebih membina.

"Kalau apa yang kita paparkan di blog dikritik secara positif daripada pelawat atau penulis lain, ia dapat memberi cabaran kepada pemilik blog memberikan hasil yang lebih baik," ungkapnya yang menulis novel sejak berusia 18 tahun.

Melalui blog Habibah, anda dapat membaca sinopsis beberapa novel hasil karyanya seperti Dengan Nama Cinta dan Nur Kasih.

Lebih membanggakan lagi, karya novel berjudul Kau Sayangku telah menarik perhatian penerbit drama untuk ditayangkan di televisyen.

"Inilah satu-satunya perhargaan yang tidak dapat saya lupakan apabila novel saya dijadikan drama. Diterbitkan di RTM 2, drama itu diberi judul Dari Mata Arisa," ujarnya.


HABIBAH telah membina blognya sejak empat tahun lalu.


Sama juga seperti blogger lain, Habibah turut menerima tempahan daripada pelawat untuk mendapatkan buku-bukunya.

Inisiatif tersebut diambil bagi memudahkan para peminat mendapatkan novel-novelnya tanpa berkunjung ke mana-mana kedai buku berdekatan.

Menariknya lagi, Habibah juga gemar memberi ulasan mengenai beberapa filem yang digemarinya di laman web tersebut.

Antara filem ulasan Habibah yang dapat anda saksikan menerusi ruangan rebiu filem ialah The Exocist, Airport, Ginger Snaps Back, The Texas Chainsaw Massacre, Suiced Club dan banyak lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: