Friday, July 31, 2009

Amy mahu hasilkan album ketuhanan

Kelmarin Kumpulan Karangkraf menerima kunjungan daripada 'otai rock', Amy Search sempena mempromosikan siri jelajah Konsert Penghargaan Search di Awan Biru yang ditaja khas oleh Celcom Sabtu ini di Pusat Ekuestrian Bukit Kiara, Kuala Lumpur jam 8.30 malam.

Kunjungan Amy disambut mesra Pengarah Eksekutif Kumpulan Karangkraf, Firdaus Datuk Hussamuddin serta karyawan Kumpulan Karangkraf.

Ketika ditemui, Amy mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Kumpulan Karangkraf kerana telah banyak membantu beliau memberikan publisiti sepanjang penglibatannya dalam bidang seni selama tempoh 28 tahun.

“Sebagai sebuah band lama, wartawan-wartawan di Kumpulan Karangkraf telah banyak membantu Search untuk menghadapi liku-liku bergelar anak seni sepanjang 28 tahun melibatkan diri dalam bidang ini,” kata Amy.

“Konsert ini adalah penghargaan buat peminat Search yang banyak memberi sokongan kepada kami. Merekalah yang membantu kami untuk menjadi Search seperti hari ini,” jelas Amy sambil menyatakan bidang seni adalah sesuatu yang indah.

Menurut Amy ,setelah berakhir konsert pada Sabtu ini, Search dijangka membuat persembahan di Manchester, Ireland dan Dublin.

Amy juga menyatakan hasratnya untuk menghasilkan album solo berkonsep ketuhanan dan juga berharap suatu hari nanti beliau akan menubuhkan sebuah yayasan kebajikan untuk anak-anak yatim.

Amy turut berkongsi berita gembira bahawa dia bakal menimang cahaya mata lelaki sebelum sambutan Aidilfitri akan datang.

1 comment:

  1. syabas buat amy,mudah mudahan hasrat nya untuk menubuhkan yayasan islam untuk anak yatim di makbul tuhan. inshaallah kalau ada niat yg baik tu pasti baik juga balasan nya.amin............

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: