Tuesday, June 30, 2009

Vokal unik Black atasi semua peserta Mentor

Black dan mentornya, Mas Idayu.

SETELAH diumumkan mara ke peringkat separuh akhir, kumpulan A dan B digabungkan untuk meneruskan perjuangan di pentas Mentor 3. Peserta yang berjaya menumpaskan Evo (kumpulan A) dan Keena (kumpulan B) ialah Black, Fira, Thye dan Chaq.

Ternyata mereka harus melipatgandakan usaha memantapkan persembahan untuk terus kekal meneruskan perjuangan bergelar juara. Konsert malam ini bakal menentukan nasib seorang lagi perserta Mentor yang akan diumumkan tersingkir di akhir persembahan mereka nanti.

Markah-markah terkumpul terdahulu tidak lagi dikira untuk peringkat separuh akhir ini. Penyingkiran akan dikira melalui markah yang diperolehi pada malam konsert tersebut yang diadili oleh juri undangan, juri awam dan undian SMS penonton.

Persembahan akan menjadi bertambah sengit kerana peserta yang mendapat markah terendah akan disingkirkan bagi mencari dua peserta ke peringkat akhir. Juri undangan untuk konsert separuh akhir ini ialah Shafinaz dan Hattan.

Chaq (kanan) dan mentornya, Ajai.

Jika konsert-konsert yang lalu para peserta menyanyi secara solo dan duet, malam ini mereka harus menyerlahkan kemantapan vokal mereka dengan menyanyi solo secara medley. Persembahan dimulakan oleh Chaq, protege kepada Ajai yang terkenal dengan bakat tarian yang mengiringi setiap persembahannya.

Chaq menyampaikan lagu Inilah Nasibku/Fanatik, diikuti oleh Fira protege kepada Lah Ahmad. Thye yang sememangnya diakui oleh mentornya, Adibah Noor mempunyai keunikan vokal membawakan lagu-lagu asli akan menyampaikan lagu Keroncong Untuk Ana/Hatinya Tak Tahan malam ini.

Kemudian, Protege Mas Idayu, Black beraksi di pentas menyanyikan lagu Tasik Utara/Cek Mek Molek/Hijau disusuli dengan persembahan penutup oleh keempat-empat peserta mendendangkan lagu, Bila Aku Sudah Tiada.

Menurut Penerbit dan Pengarah Mentor musim ke-3, Muhamad Sufian Isa, “Empat peserta yang layak ke peringkat akhir ini mempunyai keunikan masing-masing dari segi vokal dan bakat sebagai penghibur.

Para Mentor yang seharusnya mencorak mereka untuk menentukan arus perjalanan sebagai penyanyi berdasarkan kualiti yang mereka miliki. Persaingan ini bertambah sebgit apabila mereka digabungkan kerana inilah kali pertama mereka bertanding sesama sendiri.

Fira satu-satunya calon wanita yang berjaya ke peringkat separuh akhir.

Jika dilihat markah terdahulu, Chaq mengungguli kumpulan A manakala Black mendahului untuk kumpulan B. Namun setelah digabungkan, tidak mustahil jika Fira berjaya mengalahkan Black dan Thye berkemungkinan mampu menewaskan Chaq. Apa yang pasti, dua peserta yang layak ke peringkat akhir nanti merupakan yang terbaik dari pemerhatian pihak juri dan penonton.”

Mentor musim kali ini mempamerkan sedikit perubahan dari segi format pemarkahan di mana markah akan diberikan melalui 3 bahagian iaitu 50% dari juri profesional, 30% melalui undian SMS dan 20% lagi melalui juri awam yang terdiri daripada pelajar-pelajar muzik, wartawan, penerbit rancangan dan golongan semi-profesional dalam bidang industri muzik. Setiap protege akan diberi peluang membuat persembahan sebanyak 3 kali mengikut kumpulan masing-masing melalui konsert yang diadakan secara berselang-seli antara kumpulan A dan B.

Markah dari ketiga-tiga persembahan ini akan digabungkan bagi menentukan 2 peserta yang mendapat markah tertinggi dari setiap kumpulan untuk ke separuh akhir. Protege yang mendapat markah terendah akan disingkirkan.

Pada peringkat separuh akhir, 2 protege dari kumpulan A dan B ini akan digabungkan semula untuk berentap dan seorang protege akan disingkirkan setiap minggu bagi mencari 2 peserta ke peringkat akhir.

Juara pertandingan realiti ini akan menerima hadiah lumayan, protege membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM 100,000 dan kereta Kia Spectra 5 tajaan Oriva dan Mentor pula meraih RM 100.000 manakala tempat kedua, protege dan mentor memenangi wang tunai, RM 30,000.

Thye tersingkir pada minggu lalu.

Mentor 3 menampilkan pengacara terkenal, Ally Iskandar Mohd Mardzi sebagai pengacara program dan Jurnal Mentor. Selain dari itu, wartawan sensasi Nas Ahmad juga turut sama dalam program ini bagi mencungkil kisah-kisah yang berlaku di sebalik tabir dan di belakang pentas.

Mentor kali ini juga turut menjemput peserta-peserta yang pernah datang ke ujibakat yang dirasakan ‘unik’ untuk /membuat persembahan pada setiap minggu.

Program Mentor ini telah menemui penonton TV3 mulai 19 April 2009 yang lalu dengan rangkuman sesi ujibakat manakala konsert Mentor bermula 3 Mei 2009 dengan konsert pengenalan bagi memperkenalkan protégé sebelum berentap pada Ahad (10 Mei 2009) dalam konsert mingguan.

Program ini bersiaran setiap Ahad jam 9.00 hingga 10.30 malam. Selain dari itu, penonton juga boleh menyaksikan sorotan persediaan serta aktiviti-aktiviti protégé bersama mentor mereka melalui Jurnal Mentor, setiap Ahad jam 5.30 hingga 6.00 petang manakala Jurnal protégé yang memaparkan diari harian protégé akan ditayangkan setiap hari Isnin hingga Jumaat jam 7.28 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: