Tuesday, June 30, 2009

Siti memang No 1

Tiada apa yang perlu dikritik selain melontarkan pujian buatnya. Ternyata aura anak jati Kuala Lipis, Pahang ini tidak pernah pudar walaupun sudah berkeluarga. Justeru, pengaruh wanita jelita ini terhadap peminat setianya dan industri muzik sangat besar. Malah, yang pasti Siti sudah membuktikan siapa sebenar dirinya di Konsert Eksklusif Satu di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada 26 hingga 28 Jun lalu, jam 8.30 malam.

Konsert selama dua jam 15 minit itu adalah dedikasi bermakna Siti untuk peminat. Kata Siti, ini adalah julung kalinya dia mengadakan konsert solo itu di IB. Bahkan, Konsert Eksklusif Satu juga merealisasikan impiannya untuk menggabungkan melodi, tarian, grafik dan emosi dalam satu persembahan pentas yang sangat menghiburkan.

”Apapun, saya sesekali tidak lupa pada asal-usul dari mula hingga kini sebagai anak seni. Justeru, konsert ini menceritakan perjalanan karier nyanyian saya yang mana dipenuhi suka, duka dan kontroversi yang membawa Siti Nurhaliza hingga ke tahap sekarang.

”Malah, sokongan peminat yang tidak berbelah bagi juga menjadi tunjang pada karier saya. Lihat sajalah, mereka (peminat) yang hadir ini. Kalau dulu kecil (kanak-kanak), sekarang mungkin sudah berkahwin. Begitu juga yang bergelar makcik kini sudah jadi ‘nanny’ (nenek).

”Tidak terkecuali, yang belum berkahwin sekarang sudah berkeluarga seperti saya. Inilah proses kematangan hidup yang dilalui setiap insan. Cuma, dalam waktu bergembira ini usahlah lupa pada yang memerlukan. Oleh itu, ini juga konsert amal,” katanya.

Pada malam konsert itu, Siti cukup anggun dalam busana menawan tajaan Jakel, ketika asyik menghiburkan pengunjung dengan rangkaian lagu popularnya seperti Hati, Seindah Biasa dan Sutramaya, Siti juga tidak lupa mendendangkan lagu irama tradisional yang menjulang namanya.

Bahkan, hakikatnya diva tersohor ini cukup mengenang jasa komposer yang membantunya dalam memartabatkan lagu irama tradisional dan kontemporari iaitu komposer terkenal, Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah. Katanya lelaki itu penggubah lagu hebat.

”Apa tidaknya, beliaulah penggubah lagu untuk kempen kraf tangan, membaca dan budi bahasa. Malah, siapa yang dipilihnya sebagai penyanyi, saya jugalah yang diberi peluang. Oleh itu, irama tradisional juga adalah latar belakang pada muzik yang saya bawa,” kata Siti yang turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pak Ngah.

Antara lagu irama tradisional dan kontemporari yang diperdengarkan Siti ialah medley Cindai, Balqis dan Nirmala. Asyik mengenang memori indahnya, secara tidak langsung Siti sudah menceritakan ‘separuh’ daripada kehidupannya sebagai anak seni.Namun, hakikat hidup manusia tidak semua yang dilalui itu gembira. Ada ketikanya, diduga dengan kesedihan. Malah, kata Siti, dia juga tidak dapat lari daripada melaluinya. Dari permulaan karier, kegemilangan dan kesedihan adalah asam garam kehidupan.

Sebanyak 23 lagu didendangkan Siti setiap malam konsertnya. Antara lagu diperdengarkan ialah Cinta Ini, Bulan Yang Mesra, Pendirianku, Pada Cintanya, Ku Mahu, Biarlah Rahsia, Siti Situ Sana Sini, Destinasi Cinta, Di Taman Teman dan Cahaya Cinta.

Bukan saja peminat, namun ramai juga rakan artis hadir antaranya Azizah Mahzan, Ziela Jalil dan Habsah Hassan. Ternyata, Konsert Eksklusif Satu Siti melakar sejarah kerana persembahan sangat berkesan.

Apapun, sebelum Siti memulakan persembahannya, penonton lebih dulu dihiburkan dengan persembahan bertenaga bintang Akademi Fantasia 5 (AF5) Aizat. Maxis Communications Berhad selaku penaja turut menyampaikan sumbangan hasil kutipan konsert itu sebanyak RM120,000 kepada Yayasan Nurjiwa yang ditubuhkan Siti dan suami.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: