Monday, June 29, 2009

Sah vokalis MUH bawa haluan sendiri


PERJUANGAN MUH akan diteurskan oleh Afat dan Taja (kanan).

Persembahan terakhir Lan sebagai anggota kumpulan popular di Hard Rock Cafe, 5 Julai

TAK mampu diselamatkan lagi! Segala permasalahan dan kontroversi yang melanda kumpulan Meet Uncle Hussain (MUH) berakhir apabila vokalisnya, Lan meninggalkan kumpulan itu.

Pengumuman secara rasmi dilakukan pada 25 Jun lalu bertempat di premis hiburan popular, Hard Rock Cafe serentak dalam satu sidang media konsert penampilan terakhir MUH bersama Lan sempena Festival Muzik Kuala Lumpur 2009.

Festival anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi Dan Kebudayaan Malaysia di bawah pelaksanaan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) yang bermula 1 hingga 10 Julai akan mempersembahkan enam konsert istimewa.

Salah satunya membabitkan MUH dan Koir Kebangsaan dalam Konsert Generasi Baru 5 Julai ini. Hard Rock Cafe juga bakal menjadi saksi sejarah tersendiri perpisahan Lan dan anggota MUH yang lain.

Sepatutnya Lan hadir pada sidang media petang itu, bagaimanapun kelibatnya tidak langsung kelihatan. Difahamkan Lan sudah dimaklumkan mengenai majlis itu, namun ketiadaannya terus mengundang tanda tanya. Hip diberitahu beberapa hari sebelum sidang media berlangsung, satu pertemuan diadakan membabitkan Lan dan anggota MUH yang lain, malah Lan sudah bersetuju dan bersedia untuk meletakkan komitmen sepenuhnya melunaskan persembahan terakhirnya itu.

Persoalannya di sini adakah Lan akan mengotakan janjinya untuk terbabit dalam konsert terakhirnya bersama MUH? Kita tunggu sajalah. Kali terakhir MUH membuat persembahan ialah pada Anugerah Industri Muzik ke-16 beberapa bulan yang lalu. MUH sepakat untuk mengambil cuti berehat selepas dua tahun sibuk memenuhi jadual persembahan seni. Malahan, keputusan itu dibuat dalam usaha menyelesaikan masalah dalaman yang berlaku di antara mereka.

Menurut Pengurus MUH, Nafisah Mohd Yusof Khir yang lebih mesra disapa Kimi, ‘kehilangan’ MUH bersebab.

“Begitu juga dengan ketiadaan MUH pada Konsert Inspirasi TV3 20 Jun lalu. Kami memohon maaf kepada sesiapa yang berkenaan kerana selama ini tidak dapat membuat kenyataan rasmi. Lalu, ruang sidang media ini digunakan sebaik mungkin untuk menjelaskan sedikit sebanyak apa yang berlaku sekian lama.

“Dalam masa yang sama MUH juga akan memberi tumpuan untuk pembikinan album terbaru di samping mencari penyanyi baru menggantikan tempat Lan. Mengenai pembabitan MUH dalam Festival Muzik Kuala Lumpur ini, ia mula dipersetujui awal tahun ini sebelum MUH meneruskan hasrat ‘bercuti’. Harapnya konsert ini akan berjalan lancar seperti yang dirancang dan harapnya juga Lan akan menunaikan janjinya,” kata Kimi.

Hala tuju berbeza, lebih baik berpisah

MENGIMBAS kembali sejarah kemunculan MUH, selain Lan, kumpulan ini turut diasaskan oleh Taja dan Afat. Mula ke arus perdana sejak dua tahun lalu, bagaimanapun kumpulan ini sudah mula bergerak secara indie sejak lapan tahun.

Berjaya mencipta fenomena, Lagu Untukmu menjadi penanda awal kebangkitan jalur muzik MUH. Malah, lagu ini yang diperkenalkan dalam drama bersiri Kami di saluran 8TV menjadi siulan.

Awal tahun lalu, MUH juga mencipta kejayaan berganda apabila Lagu Untukmu memenangi kategori Pop Rock, Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-23. Istimewanya lagu itu turut memenangi kategori keseluruhan Juara Lagu AJL 23. Mengharap tuah dan tempias populariti terus memuncak, namun apa yang diharapkan tidak kekal berpanjangan. Semuanya bermula selepas Anugerah Planet Muzik tahun lalu, apabila vokalisnya sendiri menimbulkan masalah termasuk dalam soal disiplin dan sikap.

Hal ini terus berpanjangan apabila ia terus menjadi perbualan dan isu di media. Ia terus digembar-gemburkan dan terus menjadi wabak yang mencalar imej dan kredibiliti MUH. Sangkakan Lan akan berubah dan insaf dengan apa yang ditimbulkan tetapi ternyata dia masih begitu apabila semakin menjadi-jadi kerenahnya. Nasi sudah menjadi bubur, Lan kini memilih haluan sendiri manakala MUH masih diteruskan perjuangannya oleh Taja dan Afat. Taja atau nama sebenarnya Nik Mustaza Nik Mustapha yang ditemui sebelum sidang media berlangsung sempat memberikan kenyataan dan jawapan ‘selamat’ di atas pengunduran Lan.

“Apa yang kami nampak, idealogi serta hala tuju kami dan Lan sudah mula berbeza. Tiada guna juga nak bersama kalau sudah tidak sehaluan. Kepala sudah tidak seiring hinggakan benda kecil boleh menjadi isu yang melarat. Kalau kami ‘bergaduh’ pun semua membabitkan soal kerja sebab ketidakserasian mula terserlah. Ini pilihan Lan dan kita tidak boleh menghalang tindakannya.

“Perjuangan MUH harus diteruskan dan dalam masa terdekat saya dan Afat akan mencari dua orang lagi anggota baru termasuk vokalis. Jujur saya akui agak terkilan tindakan Lan ini, namun dalam masa yang sama saya lega kerana mengharapkan permasalahan selama ini akan berakhir. Perasaan teruja pun ada menunggu perkembangan terbaru MUH. Rasa takut dan tertekan pun turut bermain dalam hati sebab nak cari anggota baru.

“Yang terjadi sudah terjadi dan apa yang saya pelajari tidak guna merumitkan keadaan yang sedia keruh. Tak perlu menuding jari menentukan siapa salah, siapa betul kerana kalau terus ‘berperang’ sampai bila pun takkan habis. Demi kebaikan semua, keputusan yang diambil ini mungkin antara jalan terbaik. Tiada jodoh antara kami dan saya tak mahu mengenang semua ini lagi,” kata Taja yang melangsungkan pertunangan dengan Kimi sehari selepas sidang media ini diadakan pada minggu lalu.

INFO: Album baru dan vokalis yang bakal menggantikan Lan

  • Menurut Taja, ketika ini mereka sudah mempunyai beberapa orang bakat baru yang boleh diketengahkan sebagai vokalis MUH. Katanya lagi, ia masih belum disenarai pendekkan lagi dan tidak terlalu tergesa-gesa mencarinya. Biarlah ‘dia’ (vokalis baru) itu datang dengan sendirinya.
  • Kriteria yang ditekan Afat dan Taja kepada vokalis baru ini diharap tidak mempunyai tona suara seperti lain, biarpun pada akhirnya kemungkinan untuk vokalis baru itu dibandingkan dengan Lan akan tetap ada.
  • Mengenai lagu, mereka tengah mengumpul lagu yang betul-betul berkualiti dan tidak asal boleh saja. Daripada 100 buah lagu akan ditapis dan dikecilkan jumlahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: