Tuesday, June 30, 2009

'Nabil tak ancam saya'


ANTARA Saiful Apek dan Ahmad Nabil Ahmad, mereka berkongsi persamaan iaitu pelawak. Biarpun Nabil meraih populariti dalam masa singkat menerusi program realiti, Raja Lawak musim kedua hingga dinobatkan Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian (ABPBH) 2008, Apek pula pernah menyatakan dia menunggu masa selama sembilan tahun untuk capai ke tahap Nabil yang mempunyai ramai peminat.

Berbanding Nabil, kebelakangan ini nama Apek seakan tenggelam. Sebelum ini, Apek dan Nabil bergandingan menerusi filem komedi, Sifu & Tongga yang ditayangkan 29 Januari lalu.

Selepas itu, cerita Apek sepi seketika hanya menunggu dua filem baru, Shh... Dia Datang (arahan pertamanya) dan Kecoh Betul yang bakal menemui penonton di pawagam tahun ini.

Apek atau nama sebenar, Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff berkata, dia masih laris menerima tawaran berlakon hingga sibuk dengan beberapa filem baru yang dijayakan tahun ini.

Antaranya, filem 4 Madu arahan Prof Madya A Razak Mohaideen. Menariknya, dalam filem itu dia masih diberi kepercayaan untuk membawakan watak utama.

"Saya syukur kerana masih menerima tawaran berlakon. Walaupun Nabil lebih mencuri tumpuan, saya tidak mempunyai masalah atau cemburu dengannya.

"Pada saya, saingan antara kami suatu yang positif dan kami sebenarnya bersama menyumbang bakat seni kepada dunia hiburan tempatan.

"Dalam pada itu, kemunculan pelapis baru seperti Nabil sebenarnya tidak menutup rezeki atau mengancam kedudukan saya. Berbanding zaman sekarang, penerimaan penonton pada pelawak makin terbuka.

"Dulu, ketika saya menang Bintang Paling Popular, ABPBH 2003, ia membuktikan kedudukan pelawak setaraf pelakon. Sejak itu, pelawak turut memainkan peranan penting dalam menjayakan filem atau program TV. Apa yang saya lihat penerimaan pelawak turut membantu sambutan penonton.

"Hingga kini, saya berpendapat belum ada filem komedi yang saya lakonkan gagal di pasaran. Meskipun segelintir menganggap kejayaan filem lakonan saya sebelum ini banyak bergantung pada kehadiran saya, tetapi ia kerjasama semua pelakon dan kru produksi terbabit," katanya.



Mengenai 4 Madu, Apek melakonkan dua watak berbeza sebagai Azlan dan Azrul. Untuk mendapatkan lakonan berkesan, dia turut membawa adiknya, Syawal terbabit sama dalam filem ini. Katanya, kemunculan dia dan Syawal memberi kelebihan untuk mendapatkan syot yang sama.



Untuk aspek komedi, Apek berkata ia diolah menerusi perbincangan bersama pengarah selain dibantu idea pelakon lain. Bagi Apek, pelawak tidak semestinya mengikut skrip yang hanya dijadikan panduan.

"Ada orang kata saya gila bila masih menampilkan karakter Apek menerusi filem Cicakman. Walaupun lawak sering dilabel stereotaip, tetapi ia subjektif untuk diperjelaskan. Selagi lawak diterima penonton, tidak timbul isu ia stereotaip atau tidak," katanya.

Apek menyatakan dia akan terbabit dengan latihan untuk pementasan teater Cicakman The Musical yang dijangka Disember depan manakala dia juga akan kembali ke lokasi penggambaran sekuel Cicakman 3 yang akan bermula awal tahun depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: