Monday, June 29, 2009

Kumpulan muzik perlu lebih banyak persembahan pentas

Ikon rock negara Amy Search berkata kumpulan muzik tempatan atau indie perlu mengadakan lebih banyak persembahan pentas untuk berjaya dalam dunia hiburan.

Katanya persembahan pentas yang lebih kerap merupakan usaha baik bagi kumpulan muzik itu untuk membantu meningkatkan mutu persembahan mereka.

“Selain dari membantu mereka menghilangkan rasa gemuruh di atas pentas, persembahan pentas akan membantu memperkenal kumpulan mereka kepada pencinta muzik. Lebih ramai orang melihat mereka dan menggemari muzik mereka dan ini baik bagi meningkatkan jualan album,” katanya yang berpengalaman lebih tiga dekad dalam persembahan di pentas.

Amy atau nama sebenar Suhaimi Abd Rahman berkata kesan daripada persembahan pentas adalah lebih hebat daripada lagu mereka berkumandang di corong radio, kerana kumpulan pancaragam itu dapat berinteraksi dengan para peminat mereka.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan persembahan dengan sebuah kumpulan muzik ‘Projek Pistol’ pada ‘Konsert Radio Rosak’, sebuah pertunjukan konsert amal bagi Tabung Gaza di Pasir Gudang, Johor Bahru, malam kelmarin.

Konsert itu juga menyaksikan persembahan beberapa kumpulan rock tempatan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: