Tuesday, June 30, 2009

'Konsert Lelaki Ini' Anuar Zain imbau banyak kenangan lagu lama

Anuar bakal jayakan 'Konsert Lelaki Ini Anuar Zain' pada 1 dan 2 Julai, pukul 8.30 malam di Istana Budaya.

SEPANJANG berkecimpung dalam industri ini, buat pertama kalinya mulai esok selama dua hari berturut-turut penyanyi Anuar Zain akan menjayakan konsert solonya di Malaysia.

Sebelum ini, Anuar pernah membuat konsert solonya di pentas bertaraf antarabangsa, iaitu di Esplanade Theater, Singapura pada November lalu.

Kali ini, konsert yang dinamakan ‘Konsert Lelaki Ini’ itu menampilkan persembahannya bersama iringan Orkestra Simfoni Kebangsaan selama dua jam di Istana Budaya, Kuala Lumpur anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara sempena Festival Muzik Kuala Lumpur 2009.

Persembahannya pada dua malam itu akan diiringi oleh 55 orang pemuzik dan penyanyi latar di bawah iringan Orkestra Muzik Kebangsaan di bawah pimpinan Mustafa Fuzer Nawi manakala muzik ‘live band’ di bawah arahan Aylwin Santiago.

Yang menariknya, penyanyi popular menerusi lagu ‘Lelaki Ini’ dan ‘Ketulusan Hati’ ini bukan sahaja akan mendendangkan lagu popular daripada album-album lama dan barunya malah buat pertama kalinya turut menyanyikan lagu nostalgia yang menjadi kegemarannya.

“Anuar akan menyanyikan lebih 20 buah lagu dari albumnya sewaktu kecil hingga ketiga-tiga album sekarang iaitu ‘Bila Resah’, ‘Keabadian Cinta’ dan ‘Lelaki Ini’

“Dia juga akan menyanyikan lagu-lagu kegemarannya semasa dia sedang membesar seperti lagu Penantian nyanyian arwah Zubir Ali dari kumpulan Harmoni dan Berdirinya Seorang Perindu oleh Ibnor Riza,” kata pengurusnya, Rohila bagi pihak Anuar yang kini sibuk dengan latihan sekarang.

Ditanya tentang kelainan yang ditonjolkan, Rohila menyifatkan konsert Anuar tiada yang ‘extra-ordinary’.

“Saya rasa tiada apa yang berbeza dengan ‘showcase’ yang pernah dia lakukan di sini dan Anuar akan sekadar menyanyi dan menghiburkan peminatnya sahaja.

“Lagipun, dia tiada masa untuk membuat kelainan,” ujar Rohila lagi.

Diaju tentang perkembangan Anuar selepas menjayakan konsert ini, Rohila berkata Anuar mempunyai projeknya tersendiri namun tidak boleh diuar-uarkan buat masa ini.

“Apa yang saya boleh katakan, dia juga sedang mengumpul lagu untuk album terbarunya yang melibatkan komposer tempatan dan komposer Indonesia.

“Kita belum tahu lagi bila dia dapat mengeluarkan album terbarunya sebab Anuar ni jenis selagi tiada lagu dan tidak mencapai sasarannya, selagi itu dia akan menunggu,” ulas Rohila seakan sudah ‘masak’ dengan perangai Anuar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: