Tuesday, June 30, 2009

Inspirasi lambang transformasi Ayu


KATA Ayu, dia tidak kisah kalau orang menyamakan imej barunya dengan personaliti tersohor dunia, Oprah Winfrey. Baginya,itu satu penghormatan.


NTAH mengapa, kisah peribadinya yang lebih banyak dijaja berbanding kariernya yang baru sahaja hendak bercambah.

Adakah dengan statusnya sebagai seorang jutawan muda sementelah menjuarai pertandingan realiti One In A Million musim kedua (OIAM 2) tahun lalu menjadikan Norayu Damit atau Ayu menyebabkan orang kurang senang dengan gelaran yang menjadi miliknya itu?

Atau mungkinkah Ayu sendiri telah menjadi seorang yang lupa diri setelah dirinya mula diuliti dengan kemewahan dengan wang RM1 juta yang dimenanginya?

Ya, seorang gadis kampung dari Putatan, Sabah yang datang ke kota metropolitan yang mahu mengubah kehidupan keluarganya dengan menjadikan dunia nyanyian sebagai mata pencarian.

Namun, dek kerana limpahan dan kemewahan dunia glamor yang sinarannya hanya sementara, ia mampu mengubah diri seseorang itu dengan sekelip mata sahaja.

Kedengaran agak klise tetapi itulah yang digambarkan tentang Ayu sehingga kisah kurang manis tentang gadis genit ini sering kali dipaparkan di media.

Biarpun ada sesetengah laporan tidak menamakan siapakah gerangan insan yang dimaksudkan dalam ruangan gosip khususnya, tetapi ia lebih menjerumus kepada Ayu.

Malah, ada juga yang membisikkan khabar angin yang mengatakan Ayu adalah seorang yang degil dan keras kepala sehingga kata-kata orang tidak langsung dipedulikan.

Sewaktu mengunjungi ibu pejabat Utusan Malaysia baru-baru ini, dengan tenang Ayu memberikan penjelasannya.

Dia tahu tentang apa yang diperkatakan orang sekeliling terhadap dirinya tetapi sedar akan dirinya yang masih mentah dalam dunia seni, dia hanya membiarkan kisah-kisah itu berlalu sepi.

Dengan nada berhemah, anak sulung daripada lima beradik ini memberitahu apa sahaja kisah yang tidak benar tentang dirinya, dia tidak akan ambil pusing.

Baginya, hanya dirinya sahaja yang tahu kebenaran di sebalik kisah-kisah itu. Yang pasti, dia sesekali tidak akan cepat melatah.

“Saya sedar saya masih baru dalam bidang seni. Baru sahaja setahun dan langkah saya masih lagi jauh. Saya sendiri tidak mengerti mengapa saya sering kali menjadi sasaran sesetengah pihak yang cuba mencari kesalahan saya.

“Tentang cerita yang mengatakan saya sering kali bersosial sehingga lewat malam, saya tidak menafikan perkara itu kerana saya memang ada keluar bersama kawan-kawan saya.

“Tetapi, saya tahu menjaga diri dan batas-batas yang perlu dijaga. Saya masih muda dan rasanya tidak salah untuk saya bersosial serta menghabiskan masa bersama rakan-rakan,” ujarnya sambil menafikan sudah lupa diri sebaik sahaja melangkah ke dunia seni.

Walau apa pun yang terjadi, kata Ayu, dia menerima segala kritikan dan menelan tohmahan terhadap dirinya kerana baginya itulah pembakar semangat untuk terus membina namanya sebagai seorang penyanyi.

Cuma, dia tidak mahu peminat dan masyarakat akan terus memandang serong kepadanya semata-mata kisah yang tidak elok tentang dirinya sering sahaja di paparkan.

Kalau boleh, biarlah kisah karier yang dicanangkan lebih-lebih lagi setelah album perdananya, Inspirasi baru sahaja dipasarkan bulan lalu.

Ternyata, dari riak wajah dan nada suaranya sudah cukup menggambarkan penantiannya selama setahun cukup berbaloi dengan kelahiran Inspirasi.

Kata penyanyi berusia 19 tahun ini, Inspirasi merupakan produk yang cukup dibanggakannya sementelah ramai nama besar dalam industri terlibat di dalam albumnya itu.

Antara komposer hebat yang menyumbangkan idea kreativiti masing-masing ialah Aubrey Suwito, Azlan Abu Hassan, Kieran Kuek, Audi Mok dan Ajai.

“Masakan tidak, ramai yang bertanya tentang album saya selepas single pertama Hanya Di Mercu mendapat sambutan yang menggalakkan. Saya tidak menafikan jika hanya berbekalkan satu single sahaja ia tidak mampu memanjangkan hayat seseorang penyanyi itu.

“Jadi, dengan kelahiran Inspirasi ini saya mengharapkan ia mampu diterima dengan baik oleh peminat serta pecinta muzik sekalian kerana saya sudah memberikan terbaik.

“Malah, Inpirasi menonjolkan kematangan saya selepas setahun menjuarai OIAM 2,” katanya penuh bersungguh tentang album yang memuatkan sembilan buah lagu itu.

Ditanya tentang proses rakaman album Inspirasi pula, Ayu bersyukur kerana diberi peluang dan kebebasan oleh syarikat rakamannya, Monkey Bone untuk berkongsi idea dalam menentukan hala tuju muziknya.

Ternyata, pop balada yang dipertaruhkan Ayu untuk Inspirasi dan sepanjang proses rakaman album, dia mempelajari serta mengutip pengalaman yang cukup berharga.

Dengan menyertai kelas vokal di bawah tunjuk ajar oleh Lah Ahmad dalam usaha untuk membaiki mutu vokalnya, Ayu sendiri gembira dengan perubahan dirinya kini.

Bukan itu sahaja, dia juga ada berguru dengan Fatimah Abu Bakar untuk memperbaiki skil komunikasinya.

Kata Ayu, semua itu adalah inisiatif dirinya dan Monkey Bone dalam memberikan yang terbaik untuk album Inspirasi dan dirinya sebagai seorang penyanyi baru.

“Setiap lagu mempunyai karakternya tersendiri dan saya sudah memberikan yang terbaik.

“Bimbang juga ketika rakaman saya tidak mampu memuaskan hati komposer tetapi dengan tunjuk ajar mereka, saya dapat memberikan seperti mana yang mereka kehendaki,” kata Ayu yang akan menginjak usia 20 tahun pada 12 Julai ini.

Selepas Hanya Di Mercu, single kedua Ayu berjudul Inspirasi Abadi yang kini mula berkumandang di corong radio dilihat mampu untuk mengukuhkan nama Ayu di persada seni tanah air.

Malah, lagu ciptaan Aubrey Suwito itu semakin mendapat tempat dan mula mendaki carta lagu-lagu popular.

Berkongsi cerita

Lagu-lagu lain seperti Ku Miliki Abadi, Cinta dan Hidup, Alam Asmara dan Ku Peluk Dunia juga mampu menarik perhatian peminat.

Ayu juga sempat berkongsi cerita tentang lagu yang paling digemarinya iaitu Cinta dan Hidup yang dicipta oleh Ajai manakala liriknya nukilan Slen.

“Lirik dan melodi lagu itu cukup indah dan mempunyai penceritaan dengan maksud yang mendalam. Malah, saya perlu menghayatinya dengan penuh emosi sehingga perlu mengulangi proses rakaman sebanyak empat kali,” cerita Ayu panjang lebar.

Dalam pada itu, Ayu bersyukur dan gembira kerana namanya masih lagi mendapat tempat dalam acara anugerah di negara ini.

Namanya pernah tersangkut sebagai salah seorang lima finalis dalam Anugerah Bintang Popular dan Anugerah Industri Muzik yang lalu.

Bukan itu sahaja, namanya juga berjaya membolosi senarai pencalonan dalam Shout! Awards dan Anugerah Planet Muzik yang bakal berlangsung pada 17 dan 18 Julai ini.

Untuk Shout! Awards, dia tercalon dalam kategori Powerful Vocal Awards dan bersaing hebat dengan Datuk Siti Nurhaliza, Dina, Jaclyn Victor serta vokalis Meet Uncle Hussain dan Love Me Butch iaitu Lan dan Syarul Reza.

Manakala untuk Anugerah Planet Muzik, Ayu menghadapi persaingan yang bukan calang-calang apabila ditempatkan dalam kategori Persembahan Vokal Wanita Terbaik (Artis Baru Wanita Terbaik) bersama-sama Aura Kasih, Cinta Laura, Nana, Stacy dan Yuna.

“Setidak-tidaknya dengan pencalonan saya dalam mana-mana anugerah membuktikan kehadiran saya masih lagi diterima dan diperhatikan. Secara tidak langsung, bakat saya diiktiraf biarpun belum berkesempatan untuk menggenggam anugerah.

“Saya juga bakal mengadakan persembahan pada Anugerah Planet Muzik. Peluang itu benar-benar buat saya teruja kerana inilah platform terbaik untuk menonjolkan bakat saya di negara luar,” ujarnya penuh teruja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: