Tuesday, June 30, 2009

Giliran ke IB




Anuar Zain gementar menanti saat bermula konsert istimewa di Istana Budaya esok dan lusa

PADA 1 dan 2 Julai iaitu esok dan lusa, sejarah bakal tercipta buat figura terkenal ini.

Setelah sekian lama menunggu, akhirnya ruang yang dinantikan terbentang di depan mata. Usaha gigih dan tidak pernah mengenal erti putus asa akhirnya terbayar juga apabila si empunya diri diberi peluang untuk membuat konsert solo khas di Istana Budaya dan diiringi Orkestra Simfoni Kebangsaan.

Menghitung detik ketibaan hari yang penuh bermakna itu, penyanyi bersuara mantap, Anuar Zain mengakui perasaannya ketika ini bercampur baur.

“Tidak dinafikan perasaan saya ketika ini memang gementar. Gementar kerana saya sendiri kurang pasti apakah mampu menghasilkan sebuah persembahan yang mampu menghiburkan penonton yang selama ini begitu ternanti-nanti persembahan solo dari saya.

“Semua perancangan sudah diatur. Soal pemilihan lagu, susunan muzik semuanya sudah dilakukan. Cuma apa yang merisaukan adalah tempoh untuk memasang peralatan di Panggung Sari. Disebabkan Konsert Satu Datuk Siti Nurhaliza diadakan beberapa hari sebelumnya, jadi pihak IB meminta sedikit masa untuk kakitangannya menguruskan perkara itu,” kata Anuar kala berkunjung ke Balai Berita, baru-baru ini.

Tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang, Anuar berkata, dia akan menjadikan vokalnya sebagai nadi untuk menghidupkan keseluruhan persembahan pada malam itu.

“Tiada gimik atau apa-apa kejutan. Sebaliknya pada malam itu nanti, vokal saya saja yang akan menjadi pertaruhan serta suasana konsert itu sendiri. Setakat ini semua lagu yang hendak dinyanyikan sudah dipilih. Ada lebih 20 lagu semuanya.

“Tiada lagu Inggeris dan tiada juga medley. Pada malam itu nanti, saya juga akan menyanyikan lagu retro yang amat saya minati seperti Penantian (Harmoni), Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta (Flybaits), Epilog Cinta Dari Bromley (Sohaimi Mior Hassan) dan Berdirinya Seorang Perindu (Ibnor Riza).

“Saya juga akan menyanyikan lagu yang pernah saya rakamkan sewaktu berduet dengan Ellina dulu seperti Seruling, Kesan Kelukaan dan kain Pelikat. Lagu ini akan dinyanyikan mengikut segmen yang disediakan nanti,” jelasnya lagi.

Berbeza dengan persembahan yang biasa dilakukannya, Anuar berkata kali ini dia tidak boleh turun dari pentas untuk bertemu peminatnya.

“Kalau untuk persembahan Minggu Setiausaha, bolehlah saya turun dari pentas tetapi di IB memang ada arahan mengatakan penyanyi tidak boleh buat begitu. Tetapi itu bukanlah halangan untuk peminat berhibur dengan saya. Kalau mereka nak bangun, menyanyi dan menari bersama saya malam itu, silakan,” pelawa Anuar.

Pada malam itu nanti Anuar akan diiringi pemuzik 45 Orkestra Simfoni Kebangsaan di bawah bimbingan Mustafa Fuzer Nawi, pemimpin muzik orkestra yang amat digemarinya.

Dari segi jualan tiket, ternyata Anuar tidak berdepan dengan sebarang masalah kerana sejak mula di jual Jun lalu, tiketnya memang laku bagai goreng pisang panas.Dan tentunya perkara ini menggembirakan hati si empunya diri.

“Setakat ini saya dimaklumkan tiket berharga RM25 dan RM80 sudah habis dijual. Sekarang yang ada berharga seratus ringgit ke atas seperti RM180 dan RM250. Itupun ada di antaranya sudah 80 peratus sudah terjual. Jadi, mana-mana yang masih belum dapatkan tiket, bolehlah mendapatkannya di kaunter Box Office Istana Budaya ataupun tempahan secara online melalui www.ticket2u.biz,” katanya.

Terbit album MTV

SELAMA ini bagi peminat Anuar yang ‘kaki karaoke’ mengeluh kerana sukar mendapatkan lagu penyanyi ini untuk didendangkan di pusat hiburan itu. Masalah ini akan diatasi dengan kelahiran album MTV Anuar Zain yang muncul di pasaran tidak lama lagi.

“Sebelum ini saya memang selalu mendengar rungutan peminat yang teringin nak nyanyikan lagu saya di pusat karaoke, tetapi susah sebab tak ada. Jadi berdasarkan rungutan itu, kami ambil keputusan untuk menghasilkan album karaoke. Semua rakaman klip video sudah siap dan tunggu masa untuk berada di pasaran,” kata Anuar.

Ditanya mengenai perkembangan jualan albumnya di Indonesia yang mula dipasarkan Januari tahun lalu, Anuar berkata sehingga kini dia tidak dapat mendapat maklum balas yang sebenar.

“Apa yang saya tahu album itu hanya terjual sebanyak 5 ribu unit. Selebihnya iaitu reaksi peminat, saya sendiri tidak pasti. Mungkin ini ada kena mengena dengan dasar 90:10 yang negara kita cuba laksanakan. Dan tak mustahil juga mereka ingin melindungi karya mereka dan sebab itulah mereka langsung tidak memberi ruang kepada artis luar seperti kita mencari tapak di sana,” katanya.

Walaupun sambutan yang diberikan kurang memberangsangkan, namun jelas Anuar dia tidak pernah berputus asa dan tetap akan menggunakan khidmat komposer dari Indonesia untuk album terbarunya.

“Memang sedikit kecewa tapi tidaklah sampai nak kata serik .Untuk album akan datang, saya masih menggunakan lagu dari komposer luar. Buat masa ini, kami masih mengumpul material. Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, album ini memang mengambil masa untuk disiapkan, mungkin hujung tahun depan baru siap. Harap peminat saya sabar menunggu,” katanya.

INFO:

  • Konsert Lelaki Ini - Anuar Zain
  • Tarikh:1 & 2 Julai 2009
  • Tempat:Panggung Sari, Istana Budaya
  • Waktu:8.30 malam
  • Penganjur:Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN)


PROFIL:
  • Nama : Shahrul Anuar Bin Zain
  • Nama Artis : Anuar Zain
  • Tarikh Lahir : 15 Februari 1970
  • Anak Ke : 2 Dari 5 Beradik
  • Bintang Zodiak : Aquarius
  • Kerjaya : Penyanyi & Berlakon
  • Makanan Kegemaran : Berubah-ubah mengikut selera
  • Minuman Kegemaran : Teh Tarik
  • Warna kesukaan: Perang, biru, kelabu & merah
  • Idola : Ayah saya sendiri
  • Penyanyi Kegemaran: Ziana Zain, Dayang, Siti Nurhaliza, Whitney Houston & ramai lagi
  • Pelakon Kegemaran: Julia Roberts, Amy Mastura, Elly Suriati, Ruth Sahanaya

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: