Tuesday, June 30, 2009

Diana terkejut bertemu Syamsul




PERTEMUAN buat pertama kalinya antara pelakon Diana Danielle dan Syamsul Datuk Yusof selepas Diana menamatkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada majlis Parti Selebriti Kosmo!- One Drop Perfumes 2009 Jumaat lalu merungkai segala isi hati pasangan yang pernah bersatu ini.

Parut yang ditinggalkan ekoran isu keretakan hubungan sehingga membawa kepada kes Syamsul memukul Diana, ternyata masih berbekas dalam hati masing-masing.

Ini jelas kelihatan ketika Kosmo! meminta untuk mereka bergambar bersama, Diana seolah-olah cuba mengelak. Menurut Diana, walaupun berat pada mulanya, namun atas dasar profesional akhirnya mereka tidak mampu menolak 'pujukan' team Kosmo!.

Kata Diana, dia bukannya tidak mahu bergambar dengan Syamsul tetapi terkejut pada mulanya apabila diminta berbuat demikian memandangkan mereka baru pertama kali berjumpa sejak Diana tamat PKLN.

"Diana bukan tidak mahu, kami okey sahaja, masa majlis berlangsung kami siap berborak sakan sebab lama tidak jumpa. Cuma bila minta bergambar bersama, terkejut juga sebab Diana rasa agak kurang selesa.

"Sebabnya saya takut nanti pihak lain salah gunakan gambar itu, sedangkan kami berdua baik-baik sahaja," jelasnya.

Tambah Diana lagi, dia cukup risau akan soalan yang diajukan pihak media terutamanya berkaitan hubungan lepasnya bersama Syamsul.

Ini kerana si jelita itu bimbang kalau-kalau kenyataannya nanti akan mengguris hati mana-mana pihak.

"Percayalah, kami masih berbaik walaupun hubungan tidak seperti dulu kami kekal sebagai kawan. Buat apa nak bermusuhan sedangkan kami berkerja dalam industri yang sama. Kami akan terus bertemu di majlis-majlis hiburan seperti ini, sebab itu tak elok kalau kami terus bermusuh" tutur Diana yang ternyata sudah mampu melupakan cerita cintanya dengan anak bujang jutawan filem, Datuk Yusof Haslam itu.

Gadis berumur 18 tahun terdiam seketika apabila ditanya bagaimana penerimaannya jika diminta untuk bergandingan dengan Syamsul dalam filem mahupun drama.

"Saya tidak mampu nak menjawab soalan itu. Apa yang saya boleh katakan bergantung pada keadaan. Saya tidak mahu apa yang pernah terjadi cuba dimanipulasi pihak lain. Sebab itu saya tak ada jawapan untuk soalan itu" katanya.

Diana yang muncul dengan lagu single terbaru berjudul Tak Ada Yang Bisa bersama kumpulan Andra & The Backbone tidak lama lagi turut memberitahu sejak tamat PKLN dirinya kini lebih matang.

Persoalan pengurusan diri juga menjadi lebih mudah ekoran dirinya kini sudah menjengah era yang lebih dewasa.

"Saya lebih matang dari segi menguruskan sesuatu perkara. Seperti soal saya dan Syamsul, saya rasa saya semakin bijak menangani sekarang ini kalau masih ada yang bertanya. Bagi saya yang sudah itu biarlah berlalu dan saya mahu melihat kehidupan yang baru.

"Memang apa yang berlalu tidak boleh dipadamkan tetapi sebagai manusia kita kena teruskan kehidupan. Kami tetap kekal sebagai kawan," kata Diana sambil tersenyum.

Serik bercinta dengan artis!

Sementara itu pula, bagi Syamsul pula, dia tetap seperti biasa dan tidak ada apa yang berubah meskipun tiada lagi istilah cinta antaranya dan Diana.

Ketika diminta bergambar, Syamsul dengan mudah memberikan kerjasama dan menganggap dia harus bersikap profesional.

"Saya okey sahaja kalau diminta bergambar dengan Diana. Walaupun kami menjadi kawan biasa saya tetap menganggap Diana sebagai adik," katanya.


FOTO kandid eksklusif Syamsul dan Diana pada Parti Selebriti Kosmo! - One Drop Perfumes 2009.


Walaupun begitu, kata Syamsul, dia tidak mahu bersikap 'bodoh' semata-mata kerana apa yang pernah terjadi antara mereka suatu ketika dulu.

"Tak kan bila jumpa dia di mana-mana majlis saya nak buat bodoh hanya kerana hubungan kami tidak lagi seperti dulu. Saya dan dia masih berkawan tetapi hanya sekadar kawan sahaja, tak lebih.

"Kalau ada yang menyangka kami tidak boleh langsung bertembung, itu silap. Buktinya hari ini kami bergambar, dan bertanya khabar, kira okeylah tu," luah Syamsul.

Disoal, sejak putus cinta dengan Diana sudahkah tempatnya diganti gadis lain.

Syamsul yang tertawa menyatakan dia kini lebih fokus soal kerjaya meskipun pernah menyasarkan untuk menamatkan zaman bujang pada usia 27 tahun.

"Dulu memang saya mencari cinta. Sekarang ini biarlah cinta itu datang dengan sendirinya, kalau ada, saya bercinta kalau tidak saya fokus pada kerja.

"Soal kahwin itu, saya sudah tidak kisah. Kalau umur 35 tahun baru cinta datang, umur 35 baru saya kahwin," jelasnya penuh serius.

Namun kata jejaka berusia 25 tahun ini lagi, jika boleh dia mahu bercinta dan menamatkan zaman bujang dengan wanita yang bukan bergelar artis.

Mungkinkah pengalaman lalu membuatkan Syamsul serik untuk bercinta dengan golongan artis?

"Bukanlah serik tetapi saya memang ingin gadis biasa dan sederhana daripada segala segi. Kalau boleh tidak mahu artis, saya inginkan orang biasa. Tetapi apa boleh buat disebabkan kehidupan saya selalu dikelilingi golongan artis, secara tidak langsung saya rapat dengan mereka. Itu yang tidak boleh cakap terlebih yakin. Kalau sudah jodoh dengan artis juga nak buat macam mana," tuturnya jujur.

Bakal jadi penyanyi?

Syamsul yang kini sibuk dengan proses pasca produksi filem Evolusi KL Drift 2 dan dalam masa yang sama sedang menulis skrip filem seram pertamanya yang berjudul Kurafat turut juga bergelar penyanyi tidak lama lagi.

Hai Syamsul, ikut jejak bekas buah hati ke? Kalau benar, nampaknya bukan suara Diana seorang sahaja yang boleh dinikmati peminat, Syamsul juga bakal mengikut jejaknya.


SYAMSUL dan Diana tidak pernah bermusuhan antara satu sama lain.


Bicara Syamsul, dia bukannya nak mengikut jejak sesiapa tetapi bidang nyanyian merupakan minat pertamanya sebelum jatuh cinta dengan dunia filem.

Malah, sehingga kini dia sudah menyimpan banyak melodi lagu yang dicipta sendiri kala ada masa terluang.

"Dulu sebelum jadi pelakon dan pengarah, saya memang nak menyanyi tetapi ayah membantah dan ingin melihat saya fokus dalam produksi terlebih dahulu.

"Jadi apabila hasratnya sudah tercapai saya cuba tunaikan pula hasrat saya untuk jadi penyanyi. Dalam filem Evolusi KL Drift 2 pun saya ada sumbangkan suara dan tidak lama lagi saya akan muncul dengan lagu single pertama berjudul Bidadari," katanya yang akan mengusung genre R&B dalam perjuangannya melalui dunia nyanyian.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: