Monday, June 29, 2009

Dengarnya...: Tuah Rozita dan Ayu


ITULAH kalau sudah rezeki memang tak ke mana. Cik Normah merujuk kepada pelakon adik-beradik, Rozita Che Wan dan Ayu Raudah yang kali pertama bergandingan dalam filem.

Cik Normah dapat cerita ini pun daripada teman sepejabat yang pergi mengikuti penggambaran filem ke-30 arahan Prof Madya Razak Mohaideen berjudul 4 Madu, baru-baru ini.

Mula-mula Cik Normah agak cemburu juga apabila mendapat tahu, teman sepejabat itu perlu ke Goldcoast yang dijadikan lokasi penggambaran. Tetapi rupa-rupanya lokasi sekadar di Sepang Goldcoast, Bagan Lalang dan bukan di Australia. Namun jauh jugalah perjalanan ke situ dari Kuala Lumpur.

Berbalik kepada kisah dua beradik yang jelita itu, paling penting kedua-duanya menjadi idaman ramai lelaki buaya darat dan kelas atasan. Mujur Cik Normah sudah kahwin, kalau tidak makin teruk godaan duniawi ini, terutama daripada lelaki hidung belang. Tapi, bukan nak cakap besar, ramai juga lelaki muda dan tua menagih cinta Cik Normah. Tapi, zaman ‘menggedik’ Cik Normah sudah berlalu.

Cik Normah diberitahu, Rozita, janda anak dua itu mendapat rezeki terpijak berlakon filem itu selepas filem Aman yang mula dipukul canang bakal diarahkan Profesor Dr Hatta Azad Khan dibatalkan penggambarannya pada saat akhir.

Alih-alih, Prof Razak pula datang menawarkan watak untuknya. Watak itu pada mulanya ditawarkan kepada Fazura, namun disebabkan kesibukan dia terbabit mengacarakan program Anak Wayang, watak itu terpaksa dilepaskannya.

Begitu juga dengan kes adik Rozita, Ayu Raudhah. Cik Normah difahamkan watak itu mulanya mahu diberikan kepada pelakon Fouziah Gous. Namun sebab Fouziah tengah laris di pasaran dan komitmennya terhadap bidang lakonan mula, watak itu akhirnya beralih arah kepada Ayu. Filem ini adalah filem sulung lakonan Ayu, sebaliknya kalau Rozita sudah berlakon beberapa filem.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: