Monday, June 29, 2009

Cinta semakin membara

KOSMO! bukan saja berbangga kerana acara Parti Selebriti Kosmo! - One Drop Perfumes berjalan lancar dengan kehadiran lebih 50 artis. Sebaliknya kami berbangga kerana ia menjadi medan untuk pasangan artis bercinta mengukuhkan lagi kasih sayang mereka.

Selama ini beberapa pasangan selebriti yang hangat bercinta dan sedang digosipkan sering sahaja mengelak apabila ditanya tentang status hubungan mereka.

Malah, mereka juga sebolehnya mahu menyembunyikan isi hati sebenar daripada pengetahuan khalayak dan peminat.

Namun, apa yang mengejutkan pada majlis Parti Selebriti Kosmo! - One Drop Perfumes 2009 yang berlangsung pada Jumaat lalu di Sheraton Imperial, Kuala Lumpur, kebanyakan pasangan selebriti tanpa segan 'menayangkan' pujaan hati masing-masing.

Bukan itu sahaja, parti itu juga menjadi medan pertemuan semula pasangan selebriti yang hari ini cinta mereka hanya tinggal sejarah. Pendek kata, Kosmo! berjaya menyatukan semula hati-hati yang pernah bertelingkah selain menyemai cinta yang semakin bercambah.

Abby Abadi dan Zul

Antara pasangan selebriti yang secara terbuka menunjukkan kemesraan mereka ialah pelakon jelita Abby Abadi dan pelakon baru yang hangat digosip bersamanya Zulkiffli Ariffin yang hadir dan berjalan bersama di acara karpet merah.

Peminat yang tidak putus-putus mengambil gambar mereka berdua tersenyum lebar melihat Inspektor Aliza kesayangan mereka akhirnya sudah berteman walaupun apabila disoal tentang status hubungan, jawapan standard yang sering diberikan kepada media ialah 'Kami hanya kawan'.


ABBY dan Zul nampak semakin bahagia. Syukurlah!


Bila diajukan oleh pengacara karpet merah mengenai tarikh pernikahan mereka, dengan gurauan Abby hanya menjawab 'tuuuttt', sebagai reaksi tiada sebarang komen untuk soalan berkenaan.

Namun, kemesraan mereka pada malam itu telah pun memberikan jawapan yang dikehendaki peminat meskipun tidak diluahkan dari mulut masing-masing.

Bak kata peminat yang setia berdiri di tepi karpet merah, "Apa salahnya, mereka dua sama padan dan secocok."

Azza dan Firhan Yusof

Selain mereka, bekas anggota Elite, Azza juga hadir bersama kekasih barunya Firhan Yusof. Tersenyum lebar Azza sepanjang majlis berlangsung, malah dia juga tanpa segan mengatakan yang dia kini bahagia bersama kekasih yang dikenali sejak dua tahun lalu.

Walaupun tampil ringkas, Azza yang semakin jelita dan berisi tetap menjadi tumpuan peminat yang tidak henti-henti ingin bergambar dengannya.

"Perubahan yang ada pada saya hari ini mungkin sebab saya gembira dengan apa yang saya ada sekarang. Bukan nak menunjuk-nunjuk, tetapi inilah saya. Bukan macam dulu lagi," katanya ketika ditemui.

Dia yang mula berjinak-jinak dalam penerbitan drama menerusi syarikatnya sendiri iaitu Rentak Angkasa Sdn. Bhd. berkata, kehidupannya kini lebih teratur dan berharap kemunculan semulanya di persada seni mendapat restu daripada peminat.

"Apa yang lepas biar berlalu, saya bahagia sekarang ini," ujarnya yang tampak cukup gembira apabila berbicara soal kekasih hatinya.

Fahrin Ahmad dan Scha

Paling mendebarkan acara itu apakah ia bakal dihadiri oleh pasangan artis yang sebelum ini pernah bercinta tetapi terputus di tengah jalan. Kehadiran Fahrin Ahmad dan Linda Onn, misalnya, bagaimana situasinya? Apakah reaksi mereka kala berselisih di karpet merah atau ketika majlis makan malam eksklusif?


SCHA jelita, Fahrin pula tampan, sama elok sama padan.


Juga bagaimana reaksi Diana Danielle kala bertembung dengan Syamsul Datuk Yusof. Meskipun bukan lagi pasangan kekasih tetapi kehadiran mereka berempat cukup dinanti-nantikan peminat.

Fahrin yang kini bersama pelakon cantik jelita Scha, tampak segak tatkala berjalan di karpet merah. Mereka yang dulunya juga malu-malu untuk menunjukkan kemesraan sebagai pasangan bercinta, kini tidak lagi.

Jika dulu, kalau bergambar mereka pasti mengelak untuk merakamkan gambar ala-ala romantis tetapi kini tanpa dipinta semuanya berlaku dengan spontan. Malah Fahrin sesekali dilihat dari jauh turut menyentuh bahu dan pinggang Scha dengan mesra.

"Scha memang ada kerja lain. Tetapi selepas saya pujuk, dia akhirnya datang juga. Terima kasih kepada Kosmo! sebab sudi menjemput kami. Terima kasih juga kepada One Drop Perfumes sebab memilih saya untuk menjadi 'orang penting' di sebalik gambit pelancaran produk barunya," kata Fahrin yang kelihatan cukup disenangi oleh Pengarah Urusan One Drop Perfumes, Josafri Johari.

Apakah selepas ini rezeki Fahrin untuk diangkat sebagai jurucakap lelaki One Drop Perfumes? Tunggu!

Linda Onn perkenal Salleh

Jika Fahrin hadir bersama Scha, penyampai radio dan pengacara popular Linda Onn juga tidak kurang hebatnya.

Dia yang semakin cantik hadir bersama seorang jejaka tampan yang pada mulanya disangka ramai sebagai 'lelaki Inggeris' tetapi sebenarnya teman baru Linda itu memiliki nama yang cukup eksotik. Namanya Salleh.


LINDA hanya memperkenalkan si kacak di sebelahnya sebagai Salleh.


Ramai yang sangka teman baru Linda bukan berasal dari Malaysia, namun sangkaan itu meleset apabila Linda memberitahu Saleh merupakan orang tempatan.

Tetapi sekali pandang, berkemungkinan besar Saleh mempunyai darah kacukan kerana wajahnya tidak mirip lelaki Melayu tulen. Itu tidak dapat kami sahkan kerana Linda kurang berminat untuk bercakap tentang lelaki berkenaan.

"Saya tahu orang akan bercakap apabila saya bawa seorang lelaki ke majlis seperti ini. Untuk berbicara soal status hubungan, kami lebih selesa sebagai teman," ujarnya sambil menjeling manja kepada Saleh.

Diana Danielle dan Syamsul

Dalam majlis yang sama buat pertama kalinya wajah Diana Danielle dirakam bersama bekas kekasihnya iaitu pelakon dan pengarah Syamsul Datuk Yusof selepas cerita pergaduhan mereka didedahkan media.

Meskipun pernah bercakaran, mereka profesional apabila diminta untuk bergambar bersama.

"Kami masih baik walaupun sudah tiada apa-apa hubungan sebab dunia seni kita bukan besar mana, buat apa nak musuh-musuh," kata Syamsul yang hadir dengan penuh ceria dan cukup memberikan kerjasama dalam Parti Selebriti Kosmo! - One Drop Perfumes.


SYAMSUL dan Diana masih berteman, tidak bermusuh seperti anggapan sesetengah pihak.


Diana pula yang kelihatan ringkas tanpa sebarang calitan solekan tidak mampu menutup kejelitaan wajah kacukannya.

Ada suara nakal berkata imej Diana masih dalam 'mood PLKN'. Hem! Entahlah, mungkin benar dia belum dalam memisahkan diri dengan atmosfera sebagai pelatih program berkenaan.

"Pada majlis inilah pertemuan pertama kami selepas saya keluar PKLN, kami berbual dan bergambar bersama," kata Diana dalam senyuman.

Kamal Adli dan Intan Ladyana

Kalau yang lain membawa teman istimewa, Kamal Adli pula hadir berseorangan.Manakala wanita yang digosipkan dengannya, Intan Ladyana muncul bersama pelakon Rabecca Nur Islam. Walaupun datang berasingan, mereka tidak ketinggalan diterjah mengenai gosip cinta yang kini sedang hangat dibicarakan.

Meskipun tidak berjalan berpegangan tangan di karpet merah tetapi mereka berdua tidak menolak apabila diminta untuk bergambar bersama.

Ternyata keakraban hubungan mereka tidak dapat disembunyikan dan saling bercanda semasa sesi bergambar.


BENARKAH Kamal adalah cinta baru Intan?


Namun, baik Kamal mahupun Intan masing-masing mengaku cukup senang apabila bekerjasama tetapi menjelaskan gosip yang menyatakan mereka bercinta hanya wujud apabila digandingkan dalam drama.

"Macam bercinta ke? Tidaklah, kami kawan baik. Saya senang dengan dia tetapi sebagai kawan saja, tidak lebih daripada itu. Insan istimewa yang ada dalam hati akan saya simpan untuk dijadikan isteri.

"Sampai masanya pasti saya akan beritahu. Buat masa sekarang ini fokus saya hanyalah karier," ujar Kamal jujur.

Intan pula yang wajahnya semakin hari semakin banyak menghiasi drama di kaca televisyen juga tidak menolak apabila sering diganding bersama Kamal.

"Kami bekerja secara profesional, dia juga seorang baik dan saya senang apabila bekerja dengannya. Tentang gosip cinta itu, apa yang boleh diberitahu saya senang berkawan dengannya," kata Intan yang berseri-berseri wajahnya pada malam itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: